Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kedai jual pelitup kurangkan bekalan sehingga separuh, syarikat pengeluar kurangkan penghasilan & kakitangan

Kedai-kedai menjual pelitup muka mula mengurangkan pesanan pelitup daripada pembekal sehingga 50 peratus bagi bulan-bulan mendatang. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kedai-kedai menjual pelitup muka mula mengurangkan pesanan pelitup daripada pembekal sehingga 50 peratus bagi bulan-bulan mendatang. 

Sekurang-kurangnya satu syarikat pengeluaran pelitup juga sudah mula mengurangkan kakitangan di gudang-gudangnya sebanyak 10 peratus. 

Ini menyusuli pelonggaran langkah-langkah pengurusan selamat (SMM) yang tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup kecuali dalam pengangkutan awam dan di kemudahan jagaan kesihatan mulai Isnin (29 Ogos). 

KEDAI JUAL PELITUP KURANGKAN PESANAN BEKALAN SEBANYAK 50 PERATUS

Kedai runcit Zhen Tat Pte Ltd yang terletak di Vista Point, Woodlands antaranya menjual lebih 6 jenis pelitup. 

Pelitup-pelitup itu dibekalkan oleh syarikat-syarikat tempatan. 

''

Menurut kakitangan kedai tersebut, mereka akan mengurangkan tempahan untuk pelitup-pelitup daripada syarikat-syarikat pembekal untuk bulan-bulan mendatang. 

Jika sebelum ini mereka lazimnya memesan sehingga 40 karton pelitup setiap bulan, mereka akan mengurangkannya kepada tidak melebihi 20 karton buat bulan-bulan mendatang.  

''

Ini memandangkan jumlah pelanggan yang membeli pelitup daripada kedai itu menjunam sekitar 30 peratus sejak pengumuman itu dibuat oleh Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian COVID-19 (MTF) minggu lalu. 

Namun, kakitangan kedai tersebut tidak terlalu risau berkenaan trend tersebut dan merasakan bahawa permintaan untuk pelitup akan terus berkekalan. 

''

Dalam tempoh sejam kru BERITAmediacorp berada di kedai tersebut, sekurang-kurangnya lima pelanggan membeli pelitup dari sana. 

Kedai Zhen Tat turut menawarkan promosi S$10 bagi empat paket pelitup untuk beberapa jenama, bagi mendorong penjualan. 

Ini hampir 30 peratus lebih murah berbanding harga asalnya S$14. 

SYARIKAT PENGELUARAN PELITUP KURANGKAN TENAGA KERJA SEBANYAK 10 PERATUS, PERMINTAAN PELITUP SUDAH BERKURANGAN

Selain kedai-kedai, syarikat pengeluar pelitup muka juga merasa tempiasnya.

MediDent International Ptd Ltd, salah sebuah syarikat pengeluar pelitup tempatan antaranya terpaksa mengambil langkah untuk mengurangkan jumlah kakitangan yang bekerja di gudangnya. 

''

Pengasas MediDent International Ptd Ltd, Dr Samintharaj Kumar berkata: "Kita sudah tahu akan ada kekurangan untuk permintaan pelitup, jadi kita mengurangkan juga jumlah pekerja kita. Para pekerja kita merangkumi pengendali mesin pelitup, para pembungkus serta pasukan e-dagang. Sekarang, kita sudah mengurangkan jumlah pekerja kami sebanyak 10 peratus." 

''

Dengan jumlah tenaga manusia yang berkurangan, Dr Kumar juga akur bahawa syarikatnya akan mengurangkan jumlah pelitup yang akan dihasilkan syarikat itu pada bulan-bulan mendatang. 

Walau bagaimanapun, Dr Kumar enggan mendedahkan sejauh mana syarikatnya itu akan mengurangkan penghasilan pelitup. 

Syarikat tersebut mengeluarkan pelitup jenama Surgisyl. 

''

"Dahulu apabila diumumkan bahawa kita perlu menggunakan pelitup di tempat-tempat awam, kita boleh menjual jumlah pelitup daripada seluruh gudang dalam masa sehari. Namun dalam beberapa hari yang lalu ini, kita sudah menyaksikan jumlah tersebut berkurangan 40 peratus. Pada hari pengumuman mengenai pelonggaran SMM pada minggu lalu, jumlahnya menjunam 90 peratus," kata Dr Kumar, yang juga Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Nuffield Dental Holdings.

Dalam pada itu, Dr Kumar merasakan bahawa para penduduk Singapura masih membeli pelitup, meskipun dalam jumlah yang lebih kecil. 

"Kita kadangkala mengadakan jualan murah untuk pelitup dan sambutannya masih agak tinggi, menunjukkan orang masih membeli pelitup," kata Dr Kumar. 

Buat masa sekarang ini, Dr Kumar mengatakan bahawa sebahagian besar pembeli pelitup Surgisyl merupakan pembeli berulang.

Beliau juga akur bahawa industri pengeluaran pelitup tidak akan "lenyap", lebih-lebih lagi dengan kemungkinan berlakunya gelombang jangkitan COVID-19 di Singapura dalam bulan-bulan mendatang.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan