Skip to main content

Singapura

Kedai buku Haji Hashim rai ulang tahun ke-100, pemilik generasi ketiga sukar cari pengganti

Anggaran Waktu Membaca:
Kedai buku Haji Hashim rai ulang tahun ke-100, pemilik generasi ketiga sukar cari pengganti

(Gambar: Nurfazirah Azman)

SINGAPURA: Kedai buku Haji Hashim di Joo Chiat Complex yang cukup sinonim dengan masyarakat Melayu/Islam meraikan ulang tahunnya yang ke-100 tahun pada Ahad (1 Okt).

Perniagaan keluarga Haji Hashim Enterprise itu kini diuruskan pemilik generasi ketiga iaitu Encik Abdul Aziz Yusof, 68 tahun.

Dalam temu ramahnya bersama wartawan Nurfazirah Azman, beliau melahirkan rasa syukur kedai keluarganya itu mendapat sokongan masyarakat Melayu/Islam hingga ke hari ini.

Bagi meraikan para pelanggan dan sempena sambutan Maulidur Rasul, mereka juga mengagihkan makanan dan minuman percuma dari jam 11 pagi pada Ahad (1 Okt).
(Gambar: Nurfazirah Azman)
"Tahun lepas kita buat untuk Maulud Nabi sahaja tapi tahun ini ada tambah untuk 100 tahun. Ada tiga jenis (makanan), roti kirai 200 (bungkus), nasi ayam cili hijau 100 (bungkus) dan 100 (bungkus) gado-gado," kata Encik Haji Abdul Aziz.

Ini menyebabkan barisan panjang yang mengular sehingga ke luar bangunan Joo Chiat Complex.

Selain makanan, Haji Hashim Enterprise juga mengagihkan sekitar 200 buku bacaan surah Yasin dan pelekat doa-doa.

Rata-rata mereka yang ditemui bersyukur dan berharap kedai buku itu akan terus makmur.

"Alhamdulillah tak payah masak, makcik tinggal seorang," kata Cik Fatimah, 72 tahun.

"Insya-Allah muda-mudahan dipermudahkan urusan perniagaan, mudah-mudahan maju jaya dalam perniagaannya ke 100 tahun," kata Encik Muhammad Tahir, 65 tahun.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
MASIH ADA PERMINTAAN UNTUK BUKU FIZIKAL

Meskipun peredaran zaman dengan ramai yang membaca buku-buku dalam bentuk digital, Encik Abdul Aziz berkongsi masih terdapat permintaan bagi buku-buku fizikal.

"Yang beli buku fizikal itu masih ramai juga kerana yang kita tahu Penjara Changi, mereka perlukan buku-buku tafsir Al-Quran, buku novel, buku-buku agama. Para pegawai akan datang sebulan dalam dua tiga kali dan kita akan siapkan apa-apa yang perlu.

"Kalau buku tafsir Al-Quran mereka mahu yang kulit lembut, kita boleh tukar daripada kulit keras ke kulit lembut," kongsi Encik Haji Abdul Aziz.

Selain buku-buku, kedai yang terletak di lantai satu pusat beli-belah Joo Chiat Complex itu juga menjual barangan lain.

Antaranya termasuk peralatan tulis, barang kelengkapan solat, alat permainan tradisional seperti congkak, capteh dan bola sepak takraw.
BERDEPAN CABARAN CARI PENGGANTI

Selepas pengasas kedai buku ini, Haji Hashim Haji Abdullah meninggal dunia pada 1968, kedai tersebut diuruskan oleh anaknya, Yusof Haji Hashim.

Ini sehingga pemilik generasi kedua itu meninggal dunia pada 2009 dan ia diambil alih oleh anaknya, Abdul Aziz Yusof.

Setelah 14 tahun menguruskannya, beliau agak gusar memikirkan tentang masa depan kedai buku itu.

"Yang paling mencabar sampai kini saya belum dapat cari siapa yang nak gantikan saya, pelan-pelan, insya-Allah," ujar Encik Haji Abdul Aziz.

Beliau juga berkongsi bahawa beliau sedang cuba untuk dapatkan anak saudara atau anaknya sendiri untuk mengambil alih dan meneruskan legasi itu.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita