"Kecewa dan dikhianati pemimpin WP saya hormati", dedah Raeesah Khan pada hari kedua perbicaraan kes Pritam Singh
Mantan anggota Parti Pekerja (WP) Raeesah Khan berkata beliau berasa "sangat kecewa dan dikhianati" selepas para pemimpin parti itu mempersoalkan tingkah lakunya sebagai Anggota Parlimen (AP) semasa disoal siasat dalam sesi panel disiplin parti tersebut.

Semasa memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan Setiausaha Agung WP Pritam Singh pada Selasa (15 Okt), Cik Raeesah berkata bahawa panel itu membuatnya berasa sperti orang yang paling dipercayainya telah menggunakan panel disiplin untuk mengkritiknya, dan "berpura-pura" seolah-olah mereka tidak mendorongnya untuk membuat keterangan palsu di Parlimen.
Prosiding panel disiplin mendorong Cik Raeesah, mantan AP GRC Sengkang, berfikir bahawa mereka memintanya meletak jawatan.
Pihak pendakwa meneruskan pemeriksaan balas terhadap Cik Raeesah, yang bermula pada Isnin (14 Okt). Timbalan Pendakwa Raya Sivakumar Ramasamy telah membawa Cik Khan melalui garis masa peristiwa mengikut kronologi, bermula dari hari beliau menyampaikan ucapannya yang mengandungi pembohongan di Parlimen pada 3 Ogos 2021.
Cik Raeesah telah berbohong tentang menemani mangsa rogol ke balai polis, di mana seorang pegawai polis didakwa membuat komen mengenai pakaian wanita itu dan pengambilan alkohol.
Beliau mengulangi pembohongan itu apabila diminta menjelaskan butirannya semasa sidang berikutnya pada 4 Okt 2021.
Pendedahannya mencetuskan beberapa siri perbincangan, tanda tanya dan penjelasan, akhirnya mendorong Cik Raeesah untuk mengaku bahawa beliau berbohong, dan perkara itu dirujuk kepada siasatan Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP).
Encik Pritam, 48 tahun, juga dipanggil untuk menghadap COP. Beliau dituduh membuat dua pembohongan di hadapan COP pada 10 Dis dan 15 Dis 2021:
SESI PERTAMA PANEL DISIPLIN
Pada Selasa (15 Okt), Encik Sivakumar meneruskan soal siasat pihak pendakwa mengenai peristiwa yang berlaku selepas 1 Nov 2021, iaitu ketika Cik Raeesah mengaku tentang pembohongannya di Parlimen.
Pada 2 Nov 2021, Cik Raeesah menerima mesej dan emel daripada pengerusi WP Sylvia Lim mengenai panel disiplin yang bersidang untuk menyiasat tingkah lakunya.
Emel itu, yang dibacakan oleh Encik Sivakumar, menyatakan bahawa panel itu terdiri daripada Encik Pritam, Cik Lim dan naib pengerusi WP Encik Faisal, dan meminta Cik Raeesah memberikan penjelasan lanjut tentang kumpulan sokongannya dan akaunnya pada 1 Nov 2021.
Cik Raeesah berkata beliau "sangat terkejut" dengan pendekatan emel itu, terutamanya kerana pemimpin parti telah membimbingnya "sejak dari awal".
Cik Raeesah bertemu para pemimpin parti pada 8 Nov 2021 dan 29 Nov 2021 untuk sesi panel disiplin di ibu pejabat parti tersebut.
Semasa sesi pertama, Cik Raeesah memberi keterangan bahawa beliau tidak ingat pemimpin parti banyak bertanya kepadanya tentang ucapannya itu, sebaliknya menumpukan soalan mereka kepada keperibadian dan tingkah lakunya sebagai AP GRC Sengkang.
Mengulas lanjut, Cik Raeesah berkata: "Satu perkara besar yang dipertikaikan semasa mesyuarat ialah saya tidak mengemukakan soalan Parlimen yang mencukupi. Saya tidak begitu hadir dengan kerap di Parlimen."
Cik Raeesah teringat beliau berasa terkejut kerana beliau baru menjadi AP dan telah mengambil cuti bersalin selama tiga bulan.
"Saya fikir saya telah mencapai kemajuan yang baik dengan prestasi saya di Parlimen dan ia tidak pernah dibangkitkan sebelum itu. Dan terdapat juga persoalan sama ada saya hadir di lapangan yang saya juga sangat terkejut mendengarnya.
"Saya melakukan semua lawatan ke estet kawasan undi saya, saya pergi ke setiap Sesi Bertemu Rakyat (MPS) melainkan ... sesuatu yang benar-benar penting berlaku," katanya sambil menambah bahawa beliau bergegas dari Parlimen ke MPS sebelum kembali ke Parlimen pada satu ketika.
"Jadi perkara-perkara kecil yang saya fikir saya lakukan dengan baik - yang tiada siapa yang memberikan maklum balas - tiba-tiba dibangkitkan dalam panel tersebut.
"Saya sangat terkejut bahawa itu adalah laluan yang diambil oleh panel tersebut. Maksud saya, saya sangat terkejut sebenarnya sehingga saya tidak tahu bagaimana untuk bertindak balas."
Semasa sesi itu, Encik Pritam turut menyebut tentang "kekurangan disiplin dan ketepatan masa" menurut nota Cik Lim mengenai mesyuarat tersebut.
"Beliau berkata bahawa kedudukan saya rapuh jika Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) membenarkan saya untuk meneruskan tugas saya ... Saya rasa beliau fikir saya akan gagal," kata Cik Raeesah.
Encik Pritam juga berpendapat bahawa Cik Raeesah tidak "cukup lantang" dalam mesyuarat.
“Tanggapan saya terhadap pandangannya itu ialah, maksud saya, saya adalah yang paling muda di sana dalam masa beberapa tahun dan bagi saya - ini kali pertama saya dalam persekitaran seperti itu dan saya baru dipilih untuk menjadi AP.
"Saya cuba sedaya upaya untuk memerhati dan belajar seberapa banyak yang saya boleh daripada orang-orang yang sangat saya hormati dalam persekitaran ini."
"Saya rasa seperti saya fikir sesiapa pada usia saya pada masa itu yang akan dipilih, dan akan mempunyai tanggungjawab yang begitu besar, juga akan berasa seperti mereka tidak layak untuk menyandang jawatan itu."
Mesyuarat berakhir dengan para pemimpin parti bertanya Cik Raeesah sama ada meneruskan tugasnya sebagai AP adalah langkah yang wajar.
Timbalan Ketua Hakim Daerah Luke Tan kemudian mencelah untuk bertanya sama ada Cik Raeesah menyedari bahawa Cik Lim telah mengambil nota.
Cik Raeesah berkata bahawa beliau fikir Cik Lim telah mengambil nota secara tidak rasmi dan beliau tidak terfikir tentang matlamat sebenar di sebalik mesyuarat tersebut ketika itu.
"Saya tidak tahu betapa pentingnya mesyuarat itu kerana dari pemahaman saya dengan apa yang telah berlaku, yang membawa kepada kenyataan peribadi saya (adalah) bahawa mereka akan menyokong saya dan ia sesuatu yang mengejutkan bahawa, anda tahu, mereka duduk di sana di atas pentas dan mengatakan semua ini," kata Cik Raeesah.
"Rasanya seperti (mereka) berdepan dengan perkara-perkara itu dan lantaran itu saya tidak terfikir bahawa beliau benar-benar mengambil nota atau bahawa nota ini akan menjadi scatatan rasmi."
MESYUARAT KEDUA PANEL DISIPLIN
Sesi panel kedua pada 29 Nov 2021, dihadiri oleh para pemimpin parti yang sama.
Cik Raeesah memberi keterangan bahawa dalam mesyuarat itu, beliau berkongsi kejayaan yang diperolehinya di Compassvale, usaha beliau di kawasan undinya dan perjuangan kesulitan yang dihadapinya.
Cik Raeesah bagaimanapun memberi keterangan yang mendakwa bahawa para pemimpin parti tidak kelihatan "benar-benar ingin mendengar", menyebabkan beliau berfikir bahawa mereka telah membuat keputusan untuk beliau meletak jawatan.
Apabila ditanya tentang perasaannya semasa sesi kedua panel tersebut, Cik Raeesah berkata: "Saya berasa sangat kecewa dan dikhianati oleh orang-orang yang paling saya hormati, dan paling dipercayai berpaling tadah dan menggunakan panel disiplin untuk mengkritik saya, dan berpura-pura seolah-olah mereka tidak membimbing saya sejak dari pertemuan itu di rumah Pritam pada 8 Ogos."
Cik Raeesah juga merasakan bahawa parti itu "pasti" akan memintanya untuk meletak jawatan.
Cik Raeesah meletak jawatan daripada WP dan sebagai AP pada 30 Nov 2021.
Pihak pendakwa menamatkan soal siasat terhadap Cik Raeesah pada pukul 10.54 pagi.
Prosiding mahkamah kemudian ditangguhkan untuk berehat, dengan pihak pembela akan memulakan pemeriksaan balas terhadap Cik Raeesah selepas itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.