Skip to main content

Singapura

Kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) masalah kesihatan lazim di S'pura

Kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) merupakan salah satu masalah kesihatan mental yang lazim di negara ini. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Dec 2018 10:20PM Dikemas Kini : 29 Dec 2018 11:59PM

SINGAPURA: Kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) merupakan salah satu masalah kesihatan mental yang lazim di negara ini.

Menurut kajian Institut Kesihatan Mental (IMH) baru-baru ini, ia menjejas satu daripada setiap 28 orang.

Orang ramai tidak takut untuk dekati orang yang sakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi ataupun barah. Tetapi orang ramai takut untuk mendekati orang yang sakit mental sehingga stigma "gila" dikeluarkan.

Itulah yang diluahkan salah seorang pesakit yang mengalami OCD, Encik Mohd Shafique Mohd.

Itulah juga di antara sebabnya ramai yang mempunyai masalah gangguan mental seperti kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) memilih untuk berdiam diri.

ANTARA SEBAB RAMAI PILIH BERDIAM DIRI

"Salah satu sebab adalah kekurangan kesedaran tentang simptom dan ini bermakna bahawa orang yang mengalami OCD mungkin tidak menganggapnya sebagai satu penyakit. Mungkin juga kerana mereka bimbang jika mereka tampil ke hadapan mungkin sangat sukar bagi mereka untuk menerima diagnosis OCD," jelas Konsultan Bersekutu, IMH, Dr Lau Boon Jia.

Gangguan yang dialami Encik Mohd Shafique, 31 tahun, bermula selepas dihantui kebimbangan kedua orang tuanya akan berpisah ketika usianya lima tahun. Ia menjadi lebih kronik setelah beliau dewasa.

"Kalau macam saya dekat rumah, saya selalu periksa kalau dekat pintu sudah dikunci ke belum. Saya selalu periksa banyak-banyak kali sampai saya naik letih," kata Encik Shafique Mohd Yusoff.

Fenomena seperti itu, menurut Dr Lau, sering didorong perasaan yang mendadak dalam bentuk imej atau gerak hati yang sering berulang, sebagaimana dialami para penghidap OCD.
Ia sering membuat mereka menjadi resah.

"Ada juga yang datang selepas beberapa dekad menghadapi penyakit tersebut. Secara umumnya, ini selaras dengan dapatan jurang rawatan kajian kesihatan mental baru-baru ini, iaitu, secara purata kira-kira antara 10-11 tahun atau lebih, sebelum mereka datang mendapatkan bantuan," kata Dr Lau.

Encik Shafique sendiri hanya disahkan mempunyai OCD pada 2012 selepas adik perempuannya merujuknya kepada doktor pakar.

Menurut IMH, secara purata, ia menerima antara 170 hingga 180 pesakit OCD baru yang berumur 18 tahun ke atas setiap tahun, antara 2013 dengan 2017.

Bagi pesakit seperti Encik Shafique, beliau kini berusaha mencari pekerjaan yang sesuai dengan keadaanya walaupun akur ia agak mencabar.

"Kalau saya isi borang, secara jujur saya katakan saya ada penyakit OCD. Majikan tanya, apakah itu penyakit OCD? Jadi saya jujur saya beritahu bos itu apa OCD - ini adalah satu penyakit mental. Bila diorang dengar mental stigma itu, terus serta merta mereka tak nak ambil saya," kata Encik Shafique.

Sementara itu, beliau yang masih menjalani terapi di Club Heal, mahu berkongsi kisah pemulihannya agar dapat membantu mengubah tanggapan masyarakat terhadap golongan sepertinya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita