Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kecekalan, disiplin umat Islam S'pura bantu selamatkan nyawa, wujudkan peluang baru semasa pandemik, kata Masagos

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Iktibar yang disematkan pada sanubari umat Islam semasa mengharungi penularan COVID-19 di sini akhirnya membawa kepada sambutan Aidilfitri yang lebih meriah pada tahun ini.

Ini sekalipun umat Islam tempatan terpaksa mematuhi pelbagai sekatan sepanjang dua tahun lalu bagi membendung penularan koronavirus dan membiasakan diri dengan peraturan-peraturan baru untuk mengawal penularannya di sini.

Ini termasuk disiplin serta pelaksanaan ibadah solat Aidilfitri yang lebih selesa dan teratur di masjid dengan sistem tempahan diperkenalkan.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata peraturan itu akan dipertimbangkan sama ada ia diteruskan pada masa akan datang.

Encik Masagos menyertai 4,500 jemaah yang menunaikan solat Aidilfitri pada sesi kedua di Masjid Al-Islah pagi tadi.

Secara keseluruhannya, seramai 9,000 jemaah dapat menunaikan solat Aidilfitri di masjid di Punggol itu hari ini (3 Mei).

"Hari ini saya melihat jemaah dalam kita menjalankan ibadah sembahyang hari raya ini, kita dapat menjalankannya dengan selesa dan teratur kerana kita dapat menyusun kehadiran jemaah dengan berfasa-fasa,"

"Inilah saya fikir satu kebaikan yang dapat kita pelajari daripada pandemik ini supaya kita dapat gunakan kemudahan masjid dengan tenang, ibadah kita selesa dan kita dapat menjalankannya dalam suasana yang hening tanpa berasak-asak atau memberatkan lagi tugas sukarelawan." kata Encik Masagos.

Suasana Hari Raya tahun ini lebih meriah tetapi masyarakat Muslim diingatkan untuk kekal berwaspada kerana pandemik belum berakhir.

Mengulas tentang khutbah solat Hari Raya Aidilfitri yang disampaikan Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir di Masjid Sultan pagi tadi, Encik Masagos berkata pengalaman mengharungi COVID-19 dapat dijadikan iktibar bersama.

"Saya fikir dua daripada aspek di mana kita menangani krisis COVID-19 selama ini adalah sikap empati kita kepada satu sama lain seperti diisyaratkan dalam khutbah yang disampaikan Mufti. Kedua, sikap disiplin untuk melalui proses-proses penjarakan yang begitu susah pada satu waktu dulu.

"Kerana berkat kita tekal dan dapat menjalankannya dengan disiplin, hari ini kita lihat tidak ramai yang meninggal atau terkesan daripada COVID-19," kata beliau.

Selain itu, pengalaman mengharungi pandemik juga menunjukkan bahawa masyarakat Islam setempat berupaya menyesuaikan diri dengan norma-norma baru termasuk yang berkaitan dengan ibadah.

<p>Gambar: Rosli Razak</p>

"Ini telah mewujudkan peluang baru untuk memahami bagaimana kita dapat menjalankan atau menyesuaikan apa yang kita telah lama memikirkan adalah perkara biasa. Umpamanya masyarakat sekarang kalau ke masjid berwuduk dahulu dan membawa sejadah sendiri."

<p>Gambar: Rosli Razak</p>

Dalam pada itu, Encik Masagos juga mengingatkan masyarakat agar kekal berwaspada dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri kali ini.

"Kita masih dalam suasana pandemik. Walaupun hampir semua sekatan telah diangkat, kita diingatkan masih harus berjaga-jaga supaya kita menjaga kelestarian dan kesihatan bersama," kata beliau.

Ini termasuk menjaga kebersihan dan kesihatan semasa berkunjung-kunjungan atau menghadiri "rumah terbuka" pada Hari Raya ini.

<p>Gambar: Rosli Razak</p>
Sumber : BERITA Mediacorp/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan