Skip to main content

Singapura

Kecederaan, perlindungan terhadap kemalangan antara keprihatinan utama pekerja platform

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Oct 2022 07:40PM Dikemas Kini : 11 Oct 2022 11:21PM
SINGAPURA: Kecederaan di tempat kerja dan kurang perlindungan daripada kemalangan adalah antara keprihatinan yang disuarakan oleh pekerja platform yang bergantung kepada ekonomi gig bagi mata pencarian mereka.

Mereka berkongsi keprihatinan mereka semasa satu sesi dialog bagi memahami sentimen tentang cara memperkukuhkan perlindungan bagi golongan pekerja seperti pekerja khidmat penghantaran.

Encik Abdul Hadi Abdul Hamid, 30 tahun, yang bertugas sebagai pekerja khidmat penghantaran makanan, mengalami keretakan tulang pada lengannya selepas sebuah kereta membuat pusingan-U secara haram.

Kos perubatan dan kos membaiki motosikalnya mencapai lebih S$8,000.

Namun syarikat yang menggajikan pekerja berusia 30 tahun itu hanya memberikan bayaran sekitar S$1,000.

Encik Hadi meluahkan harapannya agar pampasan yang diberikan boleh ditambah mengikut betapa serius kemalangan itu.

Tambahnya lagi, "Saya rasa walaupun kami hanya pekerja kontrak tetapi saya rasa waktu penghantaran itu, semua (syarikat) platform harus bertanggungjawab dengan sesiapa yang menghantar makanan.

Sekitar dua daripada setiap tiga pekerja platform berkata mereka pernah mengalami kecederaan semasa bertugas.

Ini menurut hasil tinjauan melibatkan 100 pekerja yang menyertai satu sesi dialog pada Selasa (11 Okt) yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Penasihat bagi Pekerja Platform.

Hasil tinjauan itu juga menunjukkan lebih 80 peratus daripada mereka berpendapat perlindungan terhadap kemalangan seumpama itu berkurangan.

Saranan-saranan lain termasuk waktu rehat yang wajib dan menyediakan tempat berteduh khusus di pusat-pusat beli-belah bagi membolehkan para pekerja berehat, terutamanya ketika hujan lebat.

Jawatankuasa tersebut bagaimanapun menyatakan langkah-langkah infrastruktur sedemikian mungkin sukar untuk dilaksanakan.

Sungguhpun demikian, ia akan terus melakarkan saranan agar pemerintah dapat menangani isu-isu tersebut.

Para pekerja platform perlu menunggu beberapa bulan lagi sebelum jawatankuasa itu membentangkan saranan-saranannya kepada pihak berkuasa.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita