Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kebun Bunga S'pura dedah rancangan perluasan Gallop

Lembaga Taman Negara (NParks) hari ini (9 Jan) mendedahkan rancangan bagi perluasan Kebun Bunga Singapura sebanyak lapan hektar di Gallop Road, yang bakal dibuka pada lewat tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Jan 2019 03:15PM Dikemas Kini : 09 Jan 2019 11:21PM

SINGAPURA: Lembaga Taman Negara (NParks) hari ini (9 Jan) mendedahkan rancangan bagi perluasan Kebun Bunga Singapura sebanyak lapan hektar di Gallop Road, yang bakal dibuka pada lewat tahun ini.

Ciri-ciri baru di kebun itu termasuk sebuah kawasan permainan bagi kanak-kanak hasil ilham alam semula jadi, jambatan kanopi, galeri seni dan arboretum baru.

Diumumkan pada 2015, perluasan di Gallop Road itu akan menjadikan keseluruhan kawasan Kebun Bunga Singapura menjadi seluas 82 hektar - iaitu hampir empat kali ganda berbanding saiz kebun itu apabila ia dibuka pada 1859. Perluasan terbaru itu adalah yang terbesar dalam sejarahnya.

"Kebun Bunga amat disayangi semua rakyat Singapura dan ia juga merupakan Tapak Warisan Sedunia UNESCO kami. Ia adalah suatu tempat istimewa untuk kami semua nikmati dan hargai, serta bangunkan dan pertingkatkan lagi," kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong di majlis bagi mendedahkan rancangan tersebut.

Antara tumbuhan-tumbuhan baru yang boleh didapati di Arboretum OCBC baru adalah pokok jenis dipterokarpa iaitu sejenis pokok gergasi yang hanya boleh didapati di kawasan-kawasan tropika.

Satu lagi tambahan pada kebun itu adalah Pusat Tafsiran Pemuliharaan Hutan, yang menurut NParks akan dijadikan sebagai hab pentafsiran bagi pemuliharaan ekosistem hutan-hutan tropika.

Di pusat berkenaan, para pengunjung berpeluang mempelajari mengenai pelbagai habitat hutan di Singapura dan bagaimana mereka boleh menyumbang kepada usaha pemulihan hutan.

Sementara itu, jambatan kanopi baru yang dirancang akan meningkatkan lagi akses di kebun itu kerana ia akan menghubungkan Pusat Pembelajaran Kebun Bunga Singapura ke kawasan perluasan Gallop.

Menurut kenyataan media NParks, perluasan Gallop itu juga akan merangkumi sebuah taman permainan untuk kanak-kanak mempelajari mengenai tumbuh-tumbuhan asli.

Sempena ulang tahun Kebun Bunga Singapura yang ke-160, pelbagai siri pesta, konsert, bengkel dan lawatan bertemakan alam semula jadi juga akan dijalankan sepanjang tahun. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan