Kebun bandar mekar di tujuh perhentian bas; semua hasil tanaman didermakan ke dapur amal
SINGAPURA: Tujuh perhentian bas di Singapura diubah menjadi kebun bandar dan dianggarkan dapat menghasilkan lebih 100 kilogram sayur-sayuran segar. Semua hasil tanaman itu akan disalurkan kepada dapur amal menjelang pertengahan Januari, kata GIC pada Jumaat (17 Dis).
Inisiatif tersebut adalah hasil kerjasama antara firma pelaburan dana pemerintah itu dengan Gardens with Purpose, iaitu sebuah sekolah perkebunan tempatan.
Ia dilancarkan sempena ulang tahun ke-40 GIC.
Pelbagai tanaman segar termasuk daun salad, kobis Cina dan juga Kai Lan sudah ditanam di perhentian bas tersebut.
Gardens with Purpose menanam sayur-sayuran tersebut menggunakan biji benih di kebun mereka, dan ia dibiarkan tumbuh di perhentian bas sehingga masa untuk dituai.
Sayur-sayuran tersebut dijaga sepasukan 50 penggemar berkebun setiap minggu.
Setiap minggu sayur yang sudah boleh dituai akan dibawa ke Willing Hearts, sebuah dapur amal yang menyediakan dan mengagihkan 9,500 makanan setiap hari kepada mereka yang memerlukan di Singapura.
Pasukan pekebun kemudian akan menggantikan sayur yang sudah dituai dengan tanaman baru.
Menurut GIC perhentian bas dipilih bagi projek tersebut kerana ia dikunjungi ramai orang sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai penghasilan makanan yang mampan.
Perhentian bas yang terbabit adalah:
1. Kampus NUS di Bukit Timah
2. Bertentangan Cold Storage Jelita
3. CHIJ Katong Convent
4. Kompleks Fu Lu Shou
5. Ibu Pejabat St John
6. Sekolah Sains dan Teknologi di Politeknik Singapura
7. Sebelum Pintu Keluar A di Stesen Bencoolen
Menjawab pertanyaan Mediacorp, GIC menyatakan struktur kebun bandar itu dibina mengikut lakaran yang biasanya digunakan untuk iklan-iklan di perhentian bas. Namun, ia enggan mengulas tentang kos untuk membangunkan setiap kebun itu.
Kebun bandar itu akan dipamerkan selama empat minggu sehingga 12 Januari 2022. Selepas itu, semua hasil tanamannya akan disalurkan kepada Willing Hearts, kata GIC.
Peralatan seperti kotak menanam sayur, kipas, lampu dan juga tangki air akan dipulangkan kepada Gardens with Purpose, di mana beberapa peralatan itu akan digunakan oleh penggemar berkebun yang lain untuk menanam sayur-sayuran mereka sendiri di rumah.
GIC menambah semua peralatan berkebun yang digunakan di perhentian bas ini akan dikitar semula untuk memastikan tiada pembaziran.
"Kami berharap kebun-kebun bandar ini akan mendorong orang ramai untuk memikirkan bagaimana kita boleh berkebun di rumah ataupun dalam masyarakat," kata ketua pegawai pelaburan bagi pendapatan tetap dan pengerusi jawatankuasa kemampanan, Liew Tzu Mi.
Gardens with Purpose juga berkata pihaknya telah menganjurkan kelas bagi orang awam dan pelajar untuk meningkatkan kesedaran tentang cara berkebun di bandar.
"Kami amat ghairah dapat mengusahakan projek ini kerana kami percaya ia akan menggalak orang ramai untuk memikir semula tentang berkebun di bandar dan bagaimana mereka pun boleh mula menanam sayur kegemaran mereka," kata Cik Joanne Ng, pemilik sekolah perkebunan tempatan itu.
Daya usaha kebun di bandar semakin popular sejak kebelakangan ini di Singapura. Ini termasuk kebun yang dibina di atas tempat meletak kereta di estet perumahan, di tepi bangunan HDB dan juga di makmal.
Pandemik COVID-19 juga menekankan betapa pentingnya pengeluaran makanan tempatan sebagai penimbal semasa gangguan bekalan sedunia.
Tahun lepas, Pemerintah mengumumkan rancangan untuk mengubah kawasan di Lim Chu Kang menjadi kelompok pertanian- makanan berteknologi tinggi bagi mempertingkat usaha penghasilan makanan Singapura dan mencipta pekerjaan.
Singapura sudah menetapkan sasaran menghasilkan 30 peratus keperluan zat makanan negara secara setempat menjelang tahun 2030. Ini berbanding sekarang di mana Singapura mengimport lebih 90 peratus bekalan makanannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.