Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kebaya ke UNESCO: Ratianah Tahir lancarkan siri anak patung ORKIDS, tarik minat generasi muda

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Usaha memperkenalkan kebaya sebagai simbol warisan budaya Nusantara kepada generasi muda kini direalisasikan melalui pendekatan permainan interaktif.

Inilah inisiatif terbaharu pereka dan usahawan kebaya, Ratianah Tahir, yang telah mengilhamkan koleksi anak patung ORKIDS.

Koleksi itu menampilkan tiga watak utama iaitu Orchid, Jasmine, dan Rose yang lengkap berpakaian kebaya.

Menurut Cik Ratianah, ia adalah satu usaha penting untuk memelihara dan mempromosikan kebaya sebagai lambang warisan budaya yang bernilai.

Ia juga selaras dengan satu usaha berbilang negara iaitu Singapura, Brunei, Malaysia, Indonesia dan Thailand untuk mengiktiraf kebaya sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO.

Ini di samping usaha untuk memupuk kesedaran dan minat generasi muda terhadap warisan berharga itu.
MEMBINA GENERASI PELAPIS PENCINTA KEBAYA

ORKIDS yang menggabungkan elemen fizikal dan digital diharap dapat menarik perhatian generasi muda untuk mencintai dan menghargai budaya mereka sendiri.

"Saya percaya melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak ini adalah pelapis masa depan. Jika kita tidak menanam minat terhadap kebaya, kita akan kehilangan satu aspek penting dalam tradisi kita," kata Cik Ratianah.
(Gambar: Rosli A Razak/BERITA Mediacorp)
Menurutnya, rekaan kebaya dan kain bagi ketiga-tiga anak patung itu diilhamkan daripada kebaya-kebaya yang dijual di kedainya di Bussorah Street.

Kebaya bagi anak-anak patung itu juga dijahit oleh para artisan.

"Apabila idea ini tercetus, saya perlu mengilhamkan ciri-ciri anak patung ini berdasarkan persekitaran saya, termasuk pelanggan dan rakan-rakan saya. Anak patung ini menggambarkan ciri-ciri Nusantara kita melalui mata, mulut, rambut, dan pakaian mereka. Saya rasa inilah kehidupan kita di Nusantara dan kebaya yang dipakai oleh mereka mewakili identiti budaya di rantau ini.

"Cabaran utamanya banyak, terutama dalam memastikan pakaian anak patung ini tepat saiznya dan kain yang digunakan betul-betul mencerminkan apa yang kita pakai. Saya memilih bahan yang sama seperti yang saya gunakan dalam kehidupan sebenar seperti kain sulam, 'voile' dan kebaya yang dijahit dengan sulaman halus," jelas Cik Ratianah.

DILENGKAPI DENGAN PERMAINAN DIGITAL

Selain patung fizikal, para pemilik boleh ke "dunia maya" bersama patung-patung itu untuk menikmati permainan digital yang dibangunkan.
Dengan mengimbas kod QR, kanak-kanak akan dibawa ke "Bandar ORKIDS" di mana mereka berpeluang untuk menyertai pelbagai aktiviti menyeronokkan yang dapat mengasah minda mereka.

"Di alam maya, anak-anak kita akan dibawa ke Bandar ORKIDS, yang diilhamkan oleh daerah dan kedai-kedai di Kampong Gelam. Di sini, mereka boleh mencuba pelbagai pengalaman, seperti memilih minyak wangi, menikmati teh tarik, serta bermain permainan tradisional. Selain itu, mereka juga boleh melawat kedai kebaya untuk memilih kebaya dan memahami lebih lanjut tentang warisan budaya kita," ujar beliau.

Permainan digital itu dibangunkan dengan kerjasama syarikat Mini Monsters dan sesuai untuk kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas.

Bagi menjayakan projek ORKIDS ini, Cik Ratianah memanfaatkan Geran Transformasi Pertubuhan (OTG) yang disediakan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB).
Geran itu bukan sahaja bertujuan untuk menyokong perniagaan menjual produk warisan tetapi juga menggalakkan dan menyokong pelaksanaan projek transformasi serta inovasi bagi memastikan kelestarian dan daya maju jangka panjang perniagaan-perniagaan tersebut.

OTG menawarkan sokongan sehingga 80 peratus daripada pembiayaannya dengan had S$40,000 bagi setiap projek.

Siri anak patung ORKIDS akan dilancarkan secara rasmi di kedai Kebaya by Ratianah pada 7 Disember ini.

Keputusan bagi pencalonan kebaya sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO dijangka diumumkan di sesi ke-19 Mesyuarat Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Melindungi Warisan Tidak Ketara di Paraguay yang akan berlangsung dari 2 hingga 7 Disember nanti.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan