Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kebanyakan pengunjung pusat-belah terus pakai pelitup pada hari pertama sekatan dilonggarkan

Anggaran Waktu Membaca:
 Kebanyakan pengunjung pusat-belah terus pakai pelitup pada hari pertama sekatan dilonggarkan

Para pengunjung tidak memakai pelitup ketika berada di pusat beli-belah City Square Mall pada 29 Ogos 2022. (Gambar: Gaya Chandramohan/CNA)

Diterbitkan : 29 Aug 2022 05:01PM Dikemas Kini : 29 Aug 2022 05:12PM
SINGAPURA: Kebanyakan orang masih memakai pelitup ketika berada di pusat beli-belah sekalipun sekatan sudah dilonggarkan mulai Isnin (29 Ogos).

Antara mereka ialah Cik Aminah Johari di pusat beli-belah NEX di Serangoon yang tidak sedar akan pemansuhan sekatan berhubung pemakaian pelitup.

Sungguhpun demikian, Cik Amina, yang bertugas sebagai kakitangan pentadbiran secara sambilan, berkata beliau akan terus memakai pelitup sehingga Singapura mencatatkan kurang 100 kes dalam masyarakat setiap hari.

Wanita berusia 61 tahun itu berkata beliau prihatin tentang pengumuman tersebut memandangkan jumlah kes boleh meningkat menjelang hujung tahun ini.

“Lagipun, mereka kata kes mungkin naik lagi pada hujung tahun dan kerana sesetengah orang, apabila mereka selesema atau batuk, mereka tidak menutup mulut mereka walaupun sebelum pandemik," kata beliau.

Sementara itu, seperti Cik Aminah, ada juga orang lain yang tidak tahu menahu tentang penarikan balik sekatan pelitup.

Apabila Mediacorp berada di pusat beli-belah City Square Mall, seorang lelaki yang berada di sebuah kedai dilihat bertanya mengapa seorang kakitangan tidak memakai pelitup ketika memasuki bilik menyalin pakaian. Kakitangan runcit itu kemudian didengar menjelaskan kepada lelaki berkenaan tentang sekatan baru bagi pemakaian pelitup.

Mulai Isnin, sekatan pelitup di tempat tertutup ditarik balik di seluruh Singapura, kecuali apabila berada di pengangkutan awam dan kemudahan jagaan kesihatan.

Pelitup masih diwajibkan di MRT, LRT dan bas awam serta kemudahan pengangkutan awam tertutup seperti kawasan menunggu di pusat pertukaran bas dan platform MRT. Namun, pelitup tidak diwajibkan di mod pengangkut persendirian seperti teksi dan kereta sewa privet.
Apabila Mediacorp mengunjungi pusat-pusat beli-belah di merata Singapura pada Isnin, kebanyakan pengunjung dilihat masih memakai pelitup mereka di tempat tertutup, dengan hanya segelintir daripada mereka menanggalkan pelitup sewaktu berjalan-jalan. Apabila ditanya, pengunjung yang memakai pelitup berkata mereka berbuat demikian atas tanggungjawab sosial atau kerana ia sudah menjadi satu kebiasaan.

Lebih ramai orang disaksikan tidak berpelitup di Lapangan Terbang Changi pada waktu makan tengah hari, dengan kebanyakan daripada mereka membawa bagasi.

Pelajar politeknik Lim Meng Loek, yang sedang menunggu rakannya di Lapangan Terbang Changi, memberitahu Mediacorp beliau memakai pelitup kerana sudah terbiasa dengannya.

“Sekarang masih ada COVID-19, ia belum berakhir sepenuhnya. Jadi saya hanya terus memakai (pelitup)," kata pelajar berusia 20 tahun itu, sambil menambah beliau biasanya akan menanggalkan pelitup apabila berada di tempat terbuka.

Encik Lim berkongsi bahawa beliau sudahpun dijangkiti koronavirus sekurang-kurangnya tiga kali. Maka itu, pelajar berkenaan merasakan beliau seakan sudah mempunyai sedikit kekebalan terhadap COVID-19. Memandangkan beliau ada masalah pendengaran dan memakai alat bantuan pendengaran, ia lebih mudah baginya untuk memahami orang ramai apabila mereka bercakap kepadanya tanpa memakai pelitup.

Suri rumah Shaleen Agrawal, yang dilihat sedang duduk di Jewel Lapangan Terbang Changi, berkata beliau terus memakai pelitup di kawasan lapangan terbang kerana ramai pelawat datang dari seluruh pelusuk dunia.

Menurutnya lagi, beliau memakai pelitup kerana ia sudah menjadi satu tabiat dan akan terus berbuat demikian ketika berada di kawasan yang sesak.

Singapura mencatatkan 1,361 kes jangkitan tempatan COVID-19 pada Ahad (28 Ogos), menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Berdasarkan satu tinjauan yang dijalankan oleh YouGov pada 25 dan 26 Ogos, hampir separuh - atau 48 peratus daripada 1,046 responden - berkata mereka akan terus memakai pelitup ketika berada di pusat beli-belah.

Sebanyak 60 peratus responden menyatakan mereka akan sentiasa memakai pelitup apabila menaiki mod pengangkutan persendirian. Sementara itu, 58 peratus responden pula berkata mereka akan sentiasa memakai pelitup ketika berada di lapangan terbang atau di stesen kereta api.

Tinjauan tersebut juga menunjukkan, dengan pelitup kini tidak lagi diwajibkan, para responden merasakan tempat tertutup yang paling tidak selesa bagi mereka adalah mod pengangkutan persendirian dan lapangan terbang.

Bagi yang tidak memakai pelitup di tempat tertutup pada Isnin pula, mereka memberitahu Mediacorp bahawa mereka akan tetap memakai pelitup sekiranya orang di sekeliling mereka meluahkan rasa kurang senang atau jika premis berkenaan mewajibkan pengunjung untuk memakai pelitup.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan