Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kebanyakan pengundi kali pertama faham peranan Presiden, kurang jelas hubungan dengan pemerintah: Tinjauan CNA-TODAY

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 31 Jul 2023 12:21PM Dikemas Kini : 31 Jul 2023 10:13PM
SINGAPURA: Kebanyakan pengundi kali pertama faham akan peranan dan fungsi Presiden dipilih tetapi kurang jelas tentang hubungan jawatan tertinggi negara itu dengan pemerintah, parlimen dan Kabinet.

Demikian menurut dapatan tinjauan yang dijalankan CNA dan TODAY.

Tinjauan tersebut dijalankan secara bersemuka dengan 1,500 warga Singapura berusia 21 hingga 33 tahun yang kesemuanya layak untuk mengundi di pilihan raya presiden tahun ini buat pertama kalinya, jika pilihan raya itu diadakan.

Tinjauan itu turut mendapati bahawa responden kurang jelas sama ada Presiden dipilih mempunyai bidang kuasa untuk mengubah undang-undang sedia ada serta hubungan Presiden yang dipilih dengan parti-parti politik.

Pilihan raya presiden mungkin diadakan dalam bulan akan datang, dengan mantan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam, mantan ketua pegawai pelaburan GIC Ng Kok Song dan pengasas Harvey Norman Ossia George Goh mengumumkan masuk gelanggang persaingan.
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NTUC Income, Encik Tan Kin Lian pada Ahad (30 Jul) berkata sudah menyerahkan permohonan bagi Sijil Kelayakan pada 11 Julai lalu.
Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden akan menilai kelayakan setiap calon untuk bertanding bagi pilihan raya tersebut.

Kali terakhir rakyat Singapura keluar mengundi bagi pilihan raya presiden ialah pada 2011. Presiden Halimah Yacob menyandang jawatan tersebut pada 2017, selepas pilihan raya yang dikhususkan bagi calon Melayu sahaja tidak menyaksikan sebarang persaingan. Penggalnya bakal berakhir pada 13 September.


PERANAN DAN FUNGSI PRESIDEN

Tinjauan Pilihan Raya Presiden Singapura CNA-TODAY itu dijalankan antara 18 Mei dengan 23 Jun.

Ia mendapati bahawa pengundi kali pertama secara amnya tahu fungsi serta peranan Presiden dipilih. Secara keseluruhannya, 88.4 peratus responden tahu salah satu peranan Presiden ialah untuk melindungi rizab lampau negara Singapura.

Sebilangan besar daripada mereka, iaitu 84.5 peratus, juga tahu bahawa pemerintah hanya boleh menggunakan rizab lalu dengan kelulusan Presiden.

Kebanyakan responden juga maklum tentang bidang kuasa Presiden berhubung undang-undang tertentu.

Kira-kira 81.4 peratus responden maklum bahawa Presiden boleh menggunakan kuasa pembatal atau tidak bersetuju dengan cadangan pemerintah mengenai Perintah Sekatan di bawah Akta Mengekalkan Keharmonian Agama, jika nasihat Kabinet bertentangan dengan saranan Majlis Presiden bagi Keharmoniaan Agama.

79.9 peratus juga sedia maklum bahawa Presiden boleh menggunakan kuasa veto terhadap cadangan pemerintah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, manakala 64.3 peratus tahu bahawa Presiden boleh melakukan yang sama sekiranya pemerintah enggan membenarkan siasatan dijalankan oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).

BIDANG KUASA PRESIDEN

Sebilangan besar responden (83.9 peratus) tahu peranan Presiden selaku penjaga atau ‘custodial’ dan bukan kuasa eksekutif, bermakna mereka ada kuasa veto atau menyekat tindakan pemerintah dalam bidang tertentu, tetapi tidak mempunyai peranan untuk memajukan agenda dasar mereka sendiri.

Hasil tinjauan itu juga menunjukkan bahawa kebanyakan pengundi kali pertama tahu bahawa Presiden harus berunding dengan Majlis Penasihat Presiden apabila menggunakan kuasa veto mereka berhubung rizab Singapura atau pelantikan pemegang jawatan utama.

Lebih separuh daripada responden, atau 57.7 peratus, sedar bahawa Presiden dilipih tidak mempunyai kuasa untuk meminda undang-undang sedia ada.

AFILIASI POLITIK


Berdasarkan soalan mengenai hubungan Presiden dengan parti politik, 65.4 peratus responden tahu bahawa individu yang dipilih itu tidak harus anggota mana-mana parti politik.


HUBUNGAN DENGAN KABINET DAN PARLIMEN

Tinajuan CNA-TODAY itu juga bertanya pengundi kali pertama mengenai hubungan antara Presiden dipilih dengan Kabinet serta parlimen.

Berbanding soalan mengenai peranan dan fungsi Presiden dipilih, di mana secara amnya ada tahap kesedaran yang tinggi, hanya segelintir responden mampu menjawab kebanyakan soalan mengenai hubungan tersebut dengan betul.

Kira-kira 66.5 peratus responden tahu bahawa Presiden yang dipilih secara amnya mengambil arahan daripada Kabinet.

Jumlah yang agak sama iaitu 63.9 peratus tidak tahu bahawa Presiden yang dipilih tidak mengambil arahan dari parlimen.

Lebih separuh, atau 57.7 peratus, tahu bahawa Kabinet tidak menerima arahan daripada Presiden dipilih, dan 51.3 peratus tahu bahawa parlimen tidak menerima arahan daripada Presiden dipilih.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan