Skip to main content

Singapura

Kebanyakan penduduk Upper Bukit Timah lega tiada kerosakan pada rumah mereka selepas pelupusan bom Perang Dunia II

Anggaran Waktu Membaca:
Kebanyakan penduduk Upper Bukit Timah lega  tiada kerosakan pada rumah mereka selepas pelupusan bom Perang Dunia II

(Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 26 Sep 2023 11:20PM
SINGAPURA: Penduduk yang terpaksa berpindah untuk membolehkan bom Perang Dunia II di Upper Bukit Timah diletupkan berasa lega selepas mendapati tiada kerosakan pada kediaman mereka apabila mereka pulang pada petang Selasa (26 Sep).

Mediacorp difahamkan lebih 4,000 orang terjejas akibat operasi pelupusan bom itu. Mereka terpaksa meninggalkan kawasan itu pada 8.00 pagi dan hanya dibenarkan pulang sekitar 5.10 petang.

Penduduk yang ditemui Mediacorp sepanjang hari, tenang dan reda dengan keadaan tersebut.

Beberapa daripada mereka turut membuat aturan khas untuk menjaga ahli keluarga dan haiwan peliharaan mereka. Yang lain pergi kerja dan sekolah seperti biasa.

Pada sebelah pagi, penduduk yang berpindah dari Blok 154 Gangsa Road menganggap tindakan itu sebagai satu kesulitan kecil.

Ketika wartawan Mediacorp tiba di situ kira-kira pada 7.00 pagi, beberapa rumah telah ditampal tag hijau yang diberi pihak berkuasa sebelum ini di sekitar pintu pagar mereka untuk menunjukkan bahawa semua penghuni sudah keluar.
 
RUMAH, KEDAI DALAM KEADAAN SAMA

Penduduk dimaklumkan melalui WhatsApp bahawa mereka sudah boleh pulang ke rumah dan meneruskan aktiviti seperti biasa sekitar jam 5.10 petang.

Perniagaan yang terjejas di beberapa rumah kedai di sepanjang Upper Bukit Timah Road terus ditutup sepanjang hari, tetapi beberapa orang yang bekerja di kawasan itu kembali untuk melakukan pemeriksaan selepas tali keselamatan dilepaskan.

KEADAAN DI KELAB MASYARAKAT SENJA-CASHEW

Beberapa penduduk menuju ke Kelab Masyarakat Senja-Cashew, yang ditetapkan unutk penduduk. Meskipun sebuah keluarga mengambil langkah berjaga-jaga untuk meninggalkan rumah dengan pasport mereka, kebanyakannya dilihat berlegar-legar dan tenang menantikan masa untuk dibenarkan pulang ke rumah mereka.

Semua penduduk menyatakan rasa yakin terhadap pasukan pemusnah bahan letupan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang dihantar untuk melakukan tugas itu.

"Saya pasti orang yang melakukannya berpengalaman dan terlatih," kata Syed Imtiaz Ahsan, 38 tahun, yang tinggal di kondominium Hazel Park yang terjejas bersama isteri dan anak kecilnya.

Semasa lawatannya ke kelab masyarakat itu pada sebelah pagi, Anggota Parlimen kawasan undi Cashew di GRC Holland-Bukit Timah Dr Vivian Balakrishnan berkata "setakat ini semuanya berjalan mengikut rancangan", daripada pemindahan penduduk hingga pengurusan trafik.

Dua letupan dijalankan untuk melupuskan bom Perang Dunia Kedua itu pada kira-kira 12.30 tengah hari dan 1.45 petang.

Penduduk di Blok 153 Gangsa Road berkata mereka terkejut dengan bunyi letupan yang kuat, tetapi ia tidak menjejas aktiviti harian mereka. Blok perumahan itu terletak di luar zon pemindahan dan bersebelahan dengan Blok 154 yang terjejas.

Seorang penduduk yang tinggal di tingkat yang lebih tinggi di Blok 153, Cik Irene Tang, sedang berjalan di ruang makannya apabila letupan berlaku kira-kira 12.30 tengah hari.

"Saya agak terkejut dan saya berkata 'Wow'. Suami saya yang sedang membaca, berkata, 'Wah agak kuat'," tambah Cik Tang, 61 tahun.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita