Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kebanyakan pelanggan bawa beg sendiri pada hari pertama bayaran beg plastik dilaksanakan

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Rangkaian pasar raya utama di Singapura mula mengenakan bayaran 5 sen untuk setiap beg plastik pakai buang hari ini (3 Jul).

Inisiatif itu melibatkan pasar raya dengan kadar pusing ganti tahunan lebih S$100 juta.

Ia merangkumi sekitar 400 atau dua pertiga daripada kesemua pasar raya di Singapura.

Ini termasuk pasar raya NTUC FairPrice, Cold Storage, Giant, Sheng Siong dan Prime Supermarket.
Gambar: BERITAmediacorp/Rosli A Razak

Tinjauan BERITAmediacorp di tiga pasar raya - NTUC FairPrice, Giant dan Sheng Siong pagi tadi mendapati, kebanyakan pelanggan membawa beg mereka sendiri.

Sepanjang kira-kira lebih sejam BERITAmediacorp di cawangan NTUC FairPrice di North Point City, NTUC FairPrice, lebih separuh pelanggan yang beratur di kaunter pembayaran membawa beg sendiri.

Untuk mengelak daripada membayar untuk mendapatkan beg plastik, Cik Ramona Rais, membawa beberapa beg kitar semula yang besar.

"Sejak diumumkan, saya sudah siapkan. Mesti ada dua tiga beg kitar semula. Saya tidak mahu membayar lima sen," kata Cik Ramona.

Cik Rohani Mohamad turut mengamalkan membawa beg sendiri, namun sanggup membayar lima sen sekiranya benar-benar perlu.

"Saya memang bawa beg saya sendiri tetapi adakalanya terlupa tetapi kalau (barangan yang dibeli) boleh diletakkan ke dalam satu tempat, saya tidak mengambilnya," ujar beliau.

BAWA BEG SENDIRI, JIMAT WANG

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri


Para pelanggan pasar-pasar raya Giant di Ghim Moh dan Sheng Siong di Tanglin Halt turut menunjukkan tabiat pembeli yang serupa.

Kira-kira separuh daripada pelanggan Sheng Siong membawa beg atau troli sendiri.

Bagi sebilangan mereka, ia tabiat yang sudah lama diamalkan, sebelum pembayaran beg plastik dikenakan.

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri


"Kalau nak ikutkan boleh (beli) sahaja tetapi banyak di rumah, jadi membawa lebih baik daripada kita membayar," kongsi Cik Hawa Abas, 72 tahun.

"Kadang-kadang (saya) bawa beg sendiri, kadang-kadang saya bawa plastik begini sahaja, kerana tidak membeli barang yang banyak sangat. Jadi saya ingat kalau jimat bagus daripada plastik itu dibuangkan? Jadi kalau kena (bayaran) seperti ini ini, ada yang disimpan di rumah itu saya bawa sahaja," tambahnya.

PELANGGAN SAMBUT BAIK INISIATIF BARU, KURANG PEMBAZIRAN PLASTIK

Cik Roosnah Md Nor, 72 tahun, yang berbelanja di Sheng Siong pula menyambut baik inisiatif itu kerana dapat mengelakkan pembaziran.

"Saya memang sentiasa menyiapkan beg plastik dalam beg ini. Sebab dari Sweden yang saya pergi, sudah lama mereka tidak adakan beg plastik," kongsi Cik Roosnah.

"Jadi saya sentiasa membawa beg plastik bukan sahaja yang ini (beg plastik pakai buang) tetapi beg yang boleh dicuci balik atau boleh kita gunakan kembali. Itu yang saya gunakan," tambah beliau yang sering mengumpul plastik-plastik di rumah.

Bagi Cik Roosnah, bayaran 5 sen untuk setiap beg plastik pakai buang menyumbang kepada usaha memupuk gaya hidup mampan dalam kalangan penduduk Singapura.

"Memang bagus dia buat macam ini kerana apa yang saya lihat di mana-mana, orang membuang beg-beg plastik. Daripada membuang, beg plastik itu sepatutnya boleh diguna semula apabila berbelanja di pasar raya, atau sebagai plastik sampah," tambah Cik Roosnah.

Dengan kurangnya bekalan beg plastik pakai buang, Cik Ramona Rais perlu lebih kreatif apabila membuang sampah.

"Saya akan balut sampah dengan suratkhabar atau kertas seperti waktu dahulu. Cara itu juga lebih mampan," kata beliau.

BAYARAN 5 SEN "MUNASABAH"

Namun ada pelanggan yang BERITAmediacorp temui bersedia untuk membayar bagi mendapatkan beg plastik.

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri
Antaranya termasuk Cik Nur Zahirah, 25 tahun, yang membeli belah di Pasar Raya Giant di Ghim Moh siang tadi.

"(Saya) sanggup (membayar) sebab ada kedai pun yang mengenakan 10 sen untuk beg plastik jadi 5 sen itu kira ok juga," kongsi Cik Zahirah kepada BERITAmediacorp.

Menurutnya, beliau adakalanya membawa begnya sendiri namun bergantung kepada keadaan.

"Jika saya di rumah, saya akan ambil sahaja beg 'shopping' saya dan saya akan pergi ke kedai dan menggunakan beg itu. Namun, jika saya berada di luar, saya perlu beli beg itu dan membayar jika saya perlu menggunakannya," ujar beliau.

Untuk seorang lagi pelanggan, bayaran 5 sen yang dikenakan itu juga dianggap sebagai munasabah.

"Bagi saya, 5 sen ok sahaja, sebab dia bukan minta 20 hingga 30 sen," kongsi Cik Khatijah.

"Barang banyak pun tidak kisah sebab sekiranya kita pergi kedai dan kita terlupa untuk membawa (beg plastik), kita perlu beli jugakan?" tambahnya apabila ditanya sama ada sanggup membeli lebih daripada satu beg plastik.

NTUC FAIRPRICE PANTAU KAUNTER LAYAN DIRI
Gambar: BERITAmediacorp/Rosli A Razak
NTUC FairPrice menyatakan ia akan terus memantau kaunter pembayaran sendiri untuk memastikan orang ramai membayar beg plastik mereka.

Pasar raya yang mempunyai lebih 100 cawangan merata negara ini juga akan mengurangkan pembelian beg plastik secara beransur-ansur.

Ia telah juga melaksanakan inisiatif 'Bawa Beg Anda Sendiri' bagi pelanggan yang terlupa membawa beg sendiri.

Di bawah inisiatif itu, rak-rak disediakan di 33 cawangan pasar raya NTUC bagi membolehkan orang ramai menderma beg yang tidak lagi digunakan.
Gambar: BERITAmediacorp/Rosli A Razak
Menteri Negara Kanan bagi Kemampanan dan Sekitaran Dr Amy Khor berkata kementeriannya bekerja rapat dengan para pengendali pasar raya besar untuk melaksanakan inisiatif itu.

Inisiatif baru yang melibatkan kira-kira 400 cawangan pasar raya ini diharap dapat mengubah tabiat pembeli sekali gus mengurangkan sisa plastik di negara ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan