Kebanyakan pekerja tidak perlu jalani ujian rutin berjadual COVID-19 mulai 18 Feb
Pusat pemeriksaan daerah bagoi COVID-19 di Pusat Rekreasi Cochrane. (Gambar: MOM)
SINGAPURA: Kebanyakan sektor yang sekarang ini perlu menjalani Ujian Rutin Berjadual (RRT) tidak perlu lagi berbuat sedemikian mulai Jumaat (18 Feb), menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (16 Feb).
Hanya sektor-sektor tertentu yang terdedah kepada kumpulan-kumpulan mudah dijangkiti dan sebilangan pekerja khidmat penting harus terus menjalani RRT.
Kini, mereka yang harus melakukan sedemikian termasuk para pekerja barisan hadapan di sempadan, pekerja barisan hadapan COVID-19, pekerja jagaan kesihatan dan warga tua, mereka yang bekerja dengan kanak-kanak bawah usia 12 tahun, pekerja yang tinggal di asrama, pekerja pengangkutan, pekerja khidmat penting dan juga industri perkhidmatan seperti kakitangan jualan.
Para pekerja yang harus terus mematuhi langkah RRT adalah mereka yang bekerja di sektor jagaan kesihatan, jagaan warga tua dan mereka yang bekerja dengan kanak-kanak bawah usia lima tahun.
Para pekerja khidmat penting yang tertentu juga harus kekal menjalani ujian secara berkala, dan akan diberitahu kemudian.
Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata semasa sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 bahawa kadar positif bagi RRT tidak tinggi, kurang 0.2 peratus secara purata.
"Pada masa individu itu menjalani RRT dan disahkan positif, dia berkemungkinan besar sudah menularkan virus itu kepada orang lain," kata Encik Ong.
"Lantaran itu, lebih baik jika kami beralih kepada rejim di mana masyarakat awam dinasihatkan supaya berhati-hati dan bertimbang rasa. Jika tidak sihat, segera lakukan ujian ART. Pastikan anda diuji negatif sebelum tinggalkan rumah, terutama sekali jika bertemu dengan seorang yang senang dijangkiti virus itu."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.