Kebanyakan pegawai awam bakal terima kenaikan gaji melebihi kadar inflasi teras SG

SINGAPURA: Hampir semua pegawai perkhidmatan awam akan menikmati kenaikan gaji melebihi kadar inflasi teras Singapura, iaitu 5.1 peratus, selepas menimbangkan penyesuaian yang dibuat baru-baru ini ke atas pendapatan mereka.
Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi perkhidmatan awam, Chan Chun Sing.
Berucap di Parlimen pada Isnin (28 Nov), Encik Chan berkata kenaikan yang dibuat daripada semakan gaji baru-baru ini, di samping kenaikan gaji tahunan dan pembayaran Komponen Berubah-ubah Tahunan (AVC), akan lebih daripada menjangkaui kadar inflasi tahun ini bagi semua yang memenuhi kriteria.
Sekalipun demikian, beliau berkata, mungkin terdapat "segelintir" orang yang tidak memenuhi kriteria prestasi dan oleh itu kenaikan yang diperolehi tidak melebihi 5.1 peratus.
"Pemerintah menyediakan pakej-pakej lain untuk semua keluarga Singapura, yang kami rasa akan dapat memenuhi keperluan untuk membantu mereka yang paling memerlukan," kata beliau, sambil merujuk kepada langkah-langkah sokongan baru-baru ini seperti bayaran khas kos sara hidup dan tambahan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).
"Langkah-langkah sokongan ini bersama-sama akan membantu mengurangkan kesan inflasi yang berubah-ubah dengan pantas dan memberikan lebih banyak kelegaan kepada keluarga Singapura, dengan lebih banyak sokongan bagi kumpulan berpendapatan rendah hingga pertengahan."
Encik Chan, yang juga Menteri Pendidikan, berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Ang Wei Nang (PAP-West Coast) tentang sama ada Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) akan mempertimbangkan penyesuaian gaji sekali sahaja bagi semua pegawai awam untuk megimbangi kadar inflasi teras yang dijangka melonjak tahun ini.
Minggu lalu, Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) mengumumkan para pegawai perkhidmatan awam akan menerima bonus akhir tahun sebagai mengiktiraf kerja keras mereka.
Pegawai awam akan menerima 1.1 bulan bonus akhir tahun dan pegawai gred junior akan menerima bayaran tambahan sekali sahaja sebanyak S$700. Bayaran itu juga mengambil kira unjuran ekonomi.
Sekali dengan bonus pertengahan tahun, bermakna para pegawai perkhidmatan awam akan menerima sebanyak 1.45 bulan bayaran Komponen Berubah-ubah Tahunan (AVC), dengan mereka dalam kumpulan gred junior menerima bayaran tambahan sekali sahaja sebanyak S$1,100 pada 2022.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.