Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kebanyakan kedai kopi belum benarkan pelanggan duduk 5 semeja; kekangan tenaga kerja antara sebab

Hampir kesemua 110 pusat penjaja yang kini dikendalikan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) atau pengendali yang dilantik sudah melaksanakan langkah-langkah bagi membenarkan kumpulan seramai lima orang untuk duduk makan semeja. Namun setakat ini, hanya bilangan kecil (sekitar 5 peratus) daripada 2,200 kedai kopi dan kantin yang dikendalikan oleh pengusaha swasta sudah berbuat demikian.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hampir kesemua 110 pusat penjaja yang kini dikendalikan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) atau pengendali yang dilantik sudah melaksanakan langkah-langkah bagi membenarkan kumpulan seramai lima orang untuk duduk makan semeja. Namun setakat ini, hanya bilangan kecil (sekitar 5 peratus) daripada 2,200 kedai kopi dan kantin yang dikendalikan oleh pengusaha swasta sudah berbuat demikian.

Ini bermakna masih terdapat banyak kedai kopi dan kantin yang hanya membenarkan para pengunjung untuk duduk makan berdua sahaja semeja. Ini termasuk kantin-kantin yang dikendalikan secara privet seperti di sekolah-sekolah atau tempat kerja tertentu, yang mempunyai lesen di bawah Agensi Makanan Singapura (SFA).

Beberapa kedai kopi memberitahu Mediacorp bahawa kekangan tenaga kerja serta susun atur premis merupakan antara kesukaran yang dihadapi apabila menjalankan pemeriksaan terhadap status vaksinasi pelanggan dan memantau pergerakan keluar masuk mereka.

Sejak 23 November lalu, pusat penjaja dan kedai kopi sudahpun dibenarkan untuk menerima kumpulan sehingga lima individu lengkap divaksin yang tidak tinggal serumah untuk makan semeja di premis-premis mereka - selagi tempat-tempat makanan itu dapat mengawal akses masuk para pengunjung dan memeriksa status vaksinasi mereka.

Mereka juga mesti menampal poster bagi memaklumkan kepada para pengunjung bahawa hanya individu lengkap divaksin yang dibenarkan untuk duduk semeja.

NEA, yang mengendalikan sebahagian besar daripada pusat-pusat penjaja di sini, menyatakan bahawa hampir semua 110 pusat penjaja di bawah kendaliannya membenarkan kumpulan seramai lima orang untuk makan bersama.

Bagaimanapun, peraturan itu tidak tertakluk kepada pusat-pusat penjaja yang sedang menjalani kerja-kerja pembersihan menyeluruh atau kerja-kerja pembaikan dan penghiasan semula yang dijadualkan.

Ini seperti Pusat Makanan Dunman yang sedang menjalani kerja-kerja pembaikan dan penghiasan semula sehingga hujung bulan depan.

Bagi kedai-kedai kopi dan kantin, laman SFA menyenaraikan 112 tempat sedemikian yang membenarkan lima pengunjung lengkap divaksin untuk duduk semeja dan makan bersama. Jumlah itu daripada sekitar 2,200 premis yang mempunyai lesen kedai kopi, tempat makan dan kantin.

Kedai-kedai kopi seperti yang dikunjungi oleh Mediacorp di Fernvale di Sengkang West pada Khamis (13 Jan) menyatakan bahawa ia tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk melaksanakan langkah-langkah kawalan jangkitan berkaitan vaksin, terutama sekali semasa waktu sibuk.

Penyelia kedai kopi itu, Cik Serene Tan, berkata: "Semasa waktu sibuk, kami tidak dapat melakukan semuanya dan ia sukar untuk memeriksa setiap meja.

"Kami tidak mempunyai cukup pekerja dan kedai kopi ini sangat besar. Para pekerja sendiri tergapai-gapai kerana mereka juga perlu memastikan bahawa setiap dulang dipulangkan," tambahnya.

Walaupun peraturan sedia ada menghadkan para pelanggan untuk duduk semeja seramai dua orang sahaja, para pelanggan tetap melanggar peraturan itu, kata Cik Tan.

Beliau berkongsi beberapa insiden di mana para pelanggan, setelah didenda oleh pihak berkuasa kerana duduk semeja beramai-ramai, menyalahkan para pemilik gerai kerana tidak memaklumkan kepada mereka tentang peraturan tersebut.

Di 94 Eating House, sebuah kedai kopi di Yishun Avenue 4, kos tenaga kerja adalah sebab utama mengapa pihak pengurusan tidak membenarkan lebih daripada dua orang untuk duduk semeja.

Encik Shone Lim, 22 tahun, seorang penolong gerai di sebuah gerai minuman di sana, berkata bahawa ia akan menelan belanja yang banyak sekiranya pihak pengurusan menggajikan lagi dua pekerja untuk menguruskan tempat masuk dan keluar kedai kopi tersebut jika kumpulan pengunjung seramai lima orang dibenarkan.

Beliau menganggarkan kos menggajikan pekerja-pekerja tambahan adalah sekitar S$300 hingga S$400 setiap hari.

"Kami juga mahu membenarkan kumpulan pengunjung sehingga lima orang kerana ia lebih baik (untuk perniagaan kami) tapi masanya sukar sekarang. Apa nak buat?"

LEBIH RAMAI BUAT PEMBELIAN BAWA PULANG

Sekatan terhadap makan di luar juga menjejas perniagaan kedai kopi dan sesetengah daripadanya menyaksikan kemerosotan dalam jumlah pengunjung.

Encik Ravindren Jvelayautham, penyelia di Aisa Restaurant iaitu sebuah kedai kopi di Teban Gardens, berkata jumlah pengunjung berkurangan sejak langkah-langkah sekatan dilaksanakan. Beliau menambah kebanyakan pelanggan hanya membeli makanan untuk dibawa pulang dan tidak makan di premis itu.

"Kami tidak mempunyai pekerja yang mencukupi sekarang. Semua pekerja saya pulang ke India dan tidak dapat pulang kerana COVID-19," jelasnya tentang sebab mengapa kedai kopinya mengekalkan peraturan dua orang semeja dan tidak melaksanakan kawalan akses untuk menampung kumpulan pengunjung dengan lebih ramai orang.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan