Skip to main content

Singapura

Kebanyakan insiden tangga bergerak berpunca dari cara penggunaan salah: BCA

Anggaran Waktu Membaca:
Kebanyakan insiden tangga bergerak berpunca dari cara penggunaan salah: BCA

Gambar hiasan sebuah tangga bergerak (Gambar: AFP)

SINGAPURA: Kebanyakan insiden tangga bergerak pada 10 bulan pertama tahun ini berpunca daripada kelakuan pengguna.

Menurut Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) pada Isnin (27 Nov), insiden utama berpunca daripada tindakan membawa barang-barang berat.

Sebanyak 632 insiden tangga bergerak dilaporkan dari Januari sehingga Oktober, dengan 97 peratus kes terkait dengan cara penggunaan yang salah.

Kurang daripada tiga peratus, iaitu 16 kes, berpunca daripada kerosakan mesin seperti susur tangan yang terhenti ketika sedang beroperasi.

Punca utama disebabkan tindakan pengguna yang membawa barang-barang berat termasuk kereta sorong, bagasi dan troli beli-belah, menyumbang kepada 17 peratus daripada kesemua kes.

16 peratus kes berpunca daripada pengguna yang tidak memegang susur tangan ketika menggunakan tangga bergerak. Kira-kira 12 peratus kes dikaitkan dengan keadaan kesihatan fizikal pengguna yang mungkin berasa pening atau kurang sihat ketika menggunakan tangga bergerak.

Sekitar 11 peratus insiden disebabkan pengguna yang sibuk menggunakan telefon bimbit. Punca kelima, sekitar sembilan peratus, berpunca daripada tali kasut atau anggota badan yang tersepit di tangga bergerak, terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Berkaitan kes pengguna yang membawa barang-barang berat, lebih dari separuh daripadanya melibatkan pengguna berusia 55 tahun dan ke atas, dedah BCA.

"Data ini menggariskan keperluan bagi lebih banyak inisiatif, bagi golongan tertentu untuk tidak menggalakkan individu yang mempunyai barang-barang berat untuk menggunakan tangga bergerak demi keselamatan mereka," tambah BCA.

"Disebabkan kadar insiden tinggi yang berkaitan dengan kelakuan pengguna, kita menggesa semua orang untuk lebih berjaga-jaga dan berhati-hati ketika menggunakan tangga bergerak," kata pengarah kumpulan BCA bagi kumpulan kejuruteraan elektrik dan mekanikal Teo Orh Hai.

Agensi tersebut menasihatkan pengguna untuk berhati-hati ketika menggunakan tangga bergerak dan elak daripada menggunakan peranti mudah alih. Pengguna digalakkan memegang susur tangan dan berdiri di dalam garisan kuning pada tangga bergerak.

Menurut BCA, kanak-kanak harus ditemani dan diawasi orang dewasa. Ia menambah bahawa orang ramai tidak sepatutnya berdiri di kawasan tangga bergerak, serta di tepi anak tangga kerana pakaian atau kasut mungkin tersepit di antara jurang anak tangga.

"Pengguna yang menggunakan troli, kereta sorong, bagasi, membawa barang-barang berat, mempunyai kesukaran bergerak, mabuk atau kurang sihat, sebaiknya menggunakan lif," tambah BCA.

"Jika berlakunya kemalangan, orang awam dinasihatkan memicit butang kecemasan dan meminta bantuan dengan segera."

Sekiranya pengguna berdepan masalah ketika menggunakan tangga bergerak, BCA menyatakan mereka boleh menghubungi pemilik bangunan atau ejen pengurusan kerana ia adalah tanggungjawab mereka untuk memastikan tangga bergerak dalam keadaan berfungsi.

Penyenggaraan dan pemeriksaan dijalankan seperti yang ditetapkan peraturan, dedah BCA, sambil menambah bahawa tangga bergerak akan dihentikan sekiranya terdapat sebarang risiko.

BCA menambah bahawa ia sedang berusaha untuk melaksanakan langkah-langkah keselamatan dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang cara penggunaan yang selamat.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita