Skip to main content

Singapura

'Kebanyakan barang sudah musnah': Flat penduduk Toa Payoh hangus dijilat api dari unit tingkat bawah

Walaupun kebakaran tidak bermula dari unitnya, seorang penduduk hanya mampu melihat dari jauh sahaja apabila api merebak dan memusnahkan rumahnya pada Selasa (29 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
'Kebanyakan barang sudah musnah': Flat penduduk Toa Payoh hangus dijilat api dari unit tingkat bawah

Api dari unit tingkat bawah merebak ke flat Cik Cheryl Chan yang terletak di tingkat 11. Gambar ini diambil di flat Cik Chan sehari selepas kebakaran pada 30 Julai 2025. (Gambar: CNA/Justin Ong)

SINGAPURA: Walaupun kebakaran tidak bermula dari unitnya, seorang penduduk hanya mampu melihat dari jauh sahaja apabila api merebak dan memusnahkan rumahnya pada Selasa (29 Jul).

Cik Cheryl Chan, 70 tahun, sedang bekerja apabila beliau menerima berita bahawa berlakunya kebakaran di blok perumahannya. Kebakaran bermula pada pukul 1.00 petang di sebuah unit di tingkat 10 Blok 229 Toa Payoh Lorong 8, sebelum merebak dengan cepat ke flatnya di tingkat 11, yang terletak betul-betul di atas unit tersebut.

Tujuh individu, termasuk seorang anggota bomba dan seorang kanak-kanak, dibawa ke hospital.

Cik Chan dan iparnya, yang tinggal bersamanya, tidak berada di rumah semasa kejadian berlaku. Namun, mereka kini berdepan dengan kehilangan barangan peribadi dan tempat kediaman yang hampir musnah sepenuhnya.

Cik Chan kembali ke flatnya buat kali pertama pada Rabu petang untuk meninjau kerosakan yang berlaku.

“Kebanyakan barang, saya rasa semuanya dah musnah,” kata Cik Chan, seorang pembantu pentadbiran.

Semasa Mediacorp melawat rumahnya, ia sudah dikepung Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). Bahagian dalam flat kelihatan hangus teruk, walaupun beberapa perabot yang hitam legam masih kekal utuh.

Namun, beliau tetap tabah, sambil menyatakan sekurang-kurangnya beliau dan iparnya selamat.

“Dalam dialek Kantonis, mereka kata ‘suey lor’ (malang)... perkara macam ini boleh berlaku, kita kena terima dengan tenang,” katanya. “Masalah ini bukan sesuatu yang kita mahukan.”

Walaupun kelihatan tenang ketika bercakap kepada para wartawan, Cik Chan kelihatan sebak apabila jiran tetangga datang untuk memeluk dan menenangkannya, sambil menyatakan rasa syukur kerana beliau tidak cedera.

“Mereka tawarkan apa sahaja, sambil mengatakan kalau perlukan bantuan, beritahu mereka,” katanya. “Mereka semua sangat baik... kami memang bertuah kerana ada jiran yang sangat prihatin.”

Cik Chan berkata flatnya dilindungi di bawah skim insurans kebakaran HDB, namun beliau masih belum tahu jumlah pampasan yang boleh dituntut.

"Tiada apa yang boleh saya katakan, kerana kami juga tidak tahu apa yang sedang berlaku, dan kami perlu menunggu maklumat lanjut," katanya. "Apa sahaja yang boleh kami tuntut, kami akan tuntut.

Beliau dan iparnya kini dipindahkan ke flat sewa di Toa Payoh Lorong 5.

JIRAN BERKUMPUL UNTUK LARIKAN DIRI DARIPADA ASAP TEBAL

Butiran mengerikan mengenai kejadian itu mula muncul beberapa jam selepas kejadian.
Related article image
Unit di tingkat 10 Blok 229 Toa Payoh Lorong 8 di mana kebakaran bermula, dalam gambar yang diambil pada 30 Julai 2025. (Gambar: CNA/Justin Ong)
Mediacorp bercakap dengan pemilik flat di tingkat 10, tempat di mana kebakaran bermula, yang terkesan selepas isteri dan pembantu rumahnya dimasukkan ke hospital dan rumahnya musnah dalam kebakaran itu.

Api kebakaran tersebut bukan sahaja menjejas penduduk di dua unit yang terlibat, malah turut menyebabkan gangguan besar di seluruh blok.

Encik Jeffrey Foo, yang tinggal di tingkat 15, berkata asap hitam turut memasuki rumahnya. Beliau bersama beberapa jiran naik ke tingkat 24 untuk menyelamatkan diri.

Pesara berusia 79 tahun itu dan beberapa jiran lain menaiki tangga ke tingkat paling atas blok tersebut.

Seorang pemilik rumah di tingkat itu membuka pintunya dan membenarkan penduduk untuk berlindung di dalam, sambil berdoa agar api tidak merebak lebih jauh ke atas.

“Ada yang menangis, kasihan, mereka terkejut,” kata Encik Foo. “Asap memang teruk.”

Pada pukul 2.30 petang, lebih sejam selepas kebakaran bermula, barulah anggota SCDF berjaya mengawal kebakaran dan mengiringi para penduduk turun dengan selamat.

Seorang wanita, yang bapanya tinggal di unit bertentangan flat Cik Chan, berkata unit ayahnya tidak rosak namun beliau bimbang tentang kesan asap terhadap kesihatan warga emas itu. Anggota SCDF berjaya membawa bapanya keluar dengan selamat. Wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu berkata bapanya tidak cedera dan kini tinggal bersamanya.

Menurut para penduduk, mereka yang tinggal di tingkat 10 dan 11 masih belum dapat pulang ke rumah masing-masing kerana bekalan elektrik masih terputus dan dijangka hanya akan dipulihkan selepas 4 Ogos.

Mediacorp turut mendapati terdapat kerosakan akibat air di sebuah unit di tingkat 9, yang terletak betul-betul di bawah unit punca kebakaran. Air masih menitis dari siling dan para penghuni yang kelihatan tertekan enggan ditemubual.

SERUAN AGAR KESELAMATAN DI BLOK LAMA DITELITI SEMULA

Seorang lagi penduduk, yang tinggal di tingkat 13 bersama isteri dan dua anak kecil, berkata flat mereka terputus bekalan elektrik semalaman dan mereka terpaksa menumpang di rumah ibu bapanya. Bekalan elektriknya dipulihkan pada Rabu.

Beliau menyuarakan kebimbangan tentang prosedur pemindahan penduduk, memandangkan blok tersebut adalah blok jenis lama dengan hanya satu tangga. Beliau turut mengimbas kembali satu kebakaran yang berlaku 20 tahun lalu yang mendorong penduduk memohon agar satu tangga tambahan dibina, tetapi ia tidak dilaksanakan.

Menurut beliau lagi, ramai penduduk yang tinggal di atas unit yang terbakar tidak dapat turun untuk menyelamatkan diri kerana api berada berhampiran dengan tangga, dan mereka tiada pilihan selain naik ke tingkat yang lebih tinggi untuk berlindung.

“Terpulang pada pihak berkuasa, majlis bandaran atau HDB sama ada mereka mahu melaksanakan langkah seperti ini, atau langkah lain seperti penyediaan alat pemadam api,” kata beliau.

Anggota Parlimen kawasan itu, Encik Saktiandi Supaat, memberitahu Mediacorp bahawa beliau sudah menerima maklum balas serupa tentang aspek keselamatan di blok jenis "point block", dan sudah menyampaikan kebimbangan tersebut kepada HDB, majlis bandaran serta SCDF.

Encik Saktiandi juga berkata bahawa keluarga yang terjejas sudah dipindahkan untuk sementara waktu oleh HDB ke unit-unit berhampiran, kemungkinan sehingga kerja-kerja pembaikan selesai. Jiran-jiran dengan unit yang terjejas teruk turut ditawarkan penginapan sementara.

Dalam satu catatan di Facebook pada Rabu, beliau menyatakan bahawa barangan keperluan asas seperti tilam, keperluan harian dan air botol sudah diagihkan melalui Dana Kebajikan dan Pembangunan Komuniti Toa Payoh East serta rakan komuniti seperti Toa Payoh Seu Teck Sean Tong. Beberapa kumpulan bantuan turut menyumbang pakaian kepada para penduduk yang terjejas.

Satu saluran WhatsApp masyarakat juga sudah ditubuhkan untuk memaklumkan kemas kini berhubung kerja-kerja pembaikan blok tersebut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita