Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kebangkitan China harus ditangani dengan 'bertolak ansur', kata PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Kebangkitan China harus ditangani dengan 'bertolak ansur', kata PM Lee

(Gambar: MCI)

Diterbitkan : 24 Mar 2023 11:24PM Dikemas Kini : 24 Mar 2023 11:27PM

SINGAPURA: Seluruh dunia harus menyedari bahawa China hari ini bukan seperti China yang dahulu dan menerima hakikat bahawa ia kini memainkan peranan yang lebih besar di pentas dunia, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Jumaat (24 Mac). 

Kerjasama dan penyesuaian daripada kedua-dua pihak adalah penting bagi mengelak konflik - khususnya antara China dan Amerika Syarikat (AS), tambahnya. 

Perdana Menteri turut menyentuh tentang hubungan Beijing dengan negara-negara lain, termasuk Singapura, dalam wawancaranya bersama penyiar China Central Television (CCTV) bagi program 'Leaders Talk' yang disiarkan pada pukul 9.30 malam pada Jumaat. 

Dalam transkrip wawancara tersebut yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO), PM Lee berkata, China mesti juga menimbangkan semula aturan yang berkesan semasa ia adalah sebuah ekonomi yang lebih kecil dan menentukan semula kedudukannya sendiri. 

Wartawan CCTV juga bertanya bagaimana kebangkitan China boleh diterima oleh seluruh dunia dengan cara yang lebih baik lagi, memandangkan sesetengah negara mempunyai tindak balas yang berbeza - dengan ada yang menyifatkan negara itu sebagai satu ancaman. 

Sambil menarik perhatian bahawa pertumbuhan China sudah berkembang dari dua hingga tiga peratus daripada perdagangan global kepada 15 hingga 20 peratus sekarang, PM Lee berkata: "Dari sudut pandangan yang tidak memihak, ia adalah satu perkara yang baik kerana 1.4 bilion penduduk kini mempunyai taraf kehidupan yang lebih baik." 

China kini lebih makmur, dengan sumbangan yang lebih besar kepada ekonomi dunia dan memainkan peranan yang lebih penting dalam ehwal antarabangsa, tambah Perdana Menteri. 

"Tetapi dari sudut pengoperasian, bagaimana boleh kita pastikan transformasi ini dilakukan tanpa mencetuskan sebarang ketegangan dan salah faham dan cabaran yang boleh mewujudkan masalah baru yang amat sukar untuk dihuraikan?" tanya PM Lee. 

"Ia memerlukan banyak sikap bertolak ansur." 

Dalam temu bualnya, PM Lee juga ditanya mengenai visinya bagi hubungan antara AS dan China. 

Menurut PM Lee, kedua-dua kuasa besar itu harus menstabilkan hubungan, memupuk kepercayaan secara bertahap-tahap sebelum mengorak langkah seterusnya. 

Ketegangan semakin memuncak sejak beberapa bulan kebelakangan ini setelah belon perisik China yang disyaki digunakan bagi tujuan risikan ditembak jatuh oleh AS, menyebabkan Setiausaha Negara AS Antony Blinken membatalkan lawatannya ke China. 

Washington menyifatkan insiden itu sebagai tindakan "mencabuli kedaulatan AS secara terang-terangan", manakala Beijing pula mendakwa tindak balas AS itu "keterlaluan dan tidak munasabah". 

PM Lee berkata: "Saya berharap hubungan kedua-dua negara akan pulih. Dan situasi akan menjadi stabil, dan tiada masalah akan timbul. Dan kemudian, anda boleh melihat pemulihan secara bertahap-tahap.

"Tetapi ia akan mengambil masa. Ia bukan sesuatu yang mudah dan terdapat tekanan politik pada kedua-dua pihak," tambahnya. 

Apabila ditanya mengenai hubungan antara Singapura dengan China, Perdana Menteri menyifatkannya sebagai "sangat baik". Kedua-dua negara sedang dalam proses menyemak semula perjanjian perdagangan bebas, dengan rundingan masih diteruskan. 

Kali terakhir PM Lee bertemu dengan Presiden China Xi Jinping adalah di Bangkok pada November lalu di mana kedua-dua pemimpin turut mengesahkan hubungan rapat antara Singapura dan China. Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan juga melakukan lawatan rasmi ke Beijing bulan lalu. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan