Skip to main content

Singapura

Kebakaran tercetus di Century Bakkwa jelang Tahun Baharu Cina

Anggaran Waktu Membaca:
Kebakaran tercetus di Century Bakkwa jelang Tahun Baharu Cina
Kebakaran dilaporkan berlaku di sebuah kedai di Dunlop Street pada Ahad (15 Feb). (Gambar: Instagram/@simxbian)
Diterbitkan : 15 Feb 2026 06:11PM
SINGAPURA: Kebakaran dilaporkan berlaku di sebuah kedai di Dunlop Street pada Ahad (15 Feb).

Akibatnya, sebilangan pelanggan Century Bakkwa mungkin akan menerima pesanan mereka lewat, jelas pemiliknya.

Ini dengan tinggal hanya beberapa hari sahaja sebelum Tahun Baharu Cina.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan bahawa pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu, yang berlaku di 30 Dunlop Street, pada kira-kira 11.40 pagi.

Tinjauan Mediacorp mendapati bahawa alamat tersebut berpadanan dengan sebuah rumah kedai milik Century Bakkwa.

Kebakaran itu menjejas kandungan saluran asap dapur di unit tingkat bawah kedai itu, dedah SCDF.

Mujur, kebakaran itu berjaya dipadamkan menggunakan jet air dan gelung hos, tambah SCDF.

Seorang cef di kedai itu cedera akibat kelecuran di bahagian tangannya.

Ekoran kejadian itu, dua individu didapati mengalami kesukaran bernafas dan kecederaan ringan.

Namun, kedua-duanya enggan dihantar ke hospital.

Pemilik perniagaan Century Bakkwa, Cik Simbian Chua, berkongsi menerusi catatannya di media sosial bahawa pesanan yang sepatutnya dihantar pada Ahad, akan dikirimkan lewat satu hingga dua hari akibat kejadian kebakaran itu.

Punca kebakaran itu masih disiasat, menurut SCDF.

Dalam catatannya yang dimuat naik pada 12.00 tengah hari, Cik Chua mendedahkan bahawa terdapat kira-kira 500 kilogram arang di dalam kedainya, dan kebakaran itu kelihatan "seolah-olah tidak dapat dipadamkan".

Dalam catatan susulan, beliau menasihati pelanggannya supaya tidak datang ke kedainya untuk mengambil pesanan mereka.

Seorang saksi memberitahu Mediacorp bahawa kebakaran itu berlaku pada sekitar waktu tengah hari pada Ahad, dan SCDF berjaya memadam kebakaran itu dalam masa lima minit selepas tiba di lokasi.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita