Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kebakaran seluas padang bola tercetus di Gul Lane; 1 dibawa ke hospital

Anggaran Waktu Membaca:

INGAPURA: Kebakaran yang tercetus di kawasan perindustrian Gul Lane pada Jumaat (21 Jan) dipadamkan oleh 20 kenderaan kecemasan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan kira-kira 70 anggota bomba. 

Kebakaran yang dianggarkan seluas padang bola itu melibatkan beberapa premis perindustrian yang kebanyakannya mengandungi tong-tong dengan cecair mudah terbakar dan juga kimia-kimia perindustrian. 

Menurut SCDF, pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran tersebut pada kira-kira 2.50 petang dan sekitar 40 pekerja sudahpun meninggalkan kawasan berkenaan sebelum SCDF tiba di tempat kejadian.

Apabila tiba di tempat kejadian, "api sedang marak dan mengancam akan merebak ke kawasan longkang yang mengelilingi premis tersebut". Sumber-sumber SCDF dengan segera dikerahkan untuk mengepung dan mengawal kebakaran tersebut, menurut SCDF. 

"Sekalipun memakai alat pernafasan, pasukan bomba berdepan dengan kepanasan dan asap tebal berwarna hitam ketika cuba menyekat kebakaran tersebut daripada merebak ke tong-tong penyimpanan yang lain dan premis-premis yang terletak berdekatan," tambah SCDF. 

"Pada kemuncak operasi memadamkan kebakaran itu, tujuh jet air, termasuk satu Mesin Memadamkan Kebakaran Tanpa Pengendali (UFM) digunakan untuk memadamkan kebakaran tersebut." 

SCDF turut menyemburkan bebuih untuk menutup atau menyelubungi permukaan-permukaan cecair mudah terbakar, yang menurut SCDF adalah strategi yang lebih berkesan bagi memadamkan kebakaran sedemikian. 

Kebakaran itu berjaya dipadamkan sekitar 3.30 petang. 

Seorang lelaki dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong kerana mengalami kelecuran pada bahagian lengannya, menurut SCDF. Tiada kecedaraan lain dilaporkan. 

Operasi memadamkan saki- baki kebakaran masih diteruskan, menurut SCDF dalam catatannya di Facebook pada petang Jumaat (22 Jan), di mana air disembur untuk membasahkan permukaan-permukaan yang terbakar selepas kebakaran berjaya dipadamkan untuk mencegah kebakaran tercetus daripada permukaan terbakar yang panas.

Punca kebakaran masih disiasat.

(Gambar: SCDF/Facebook)
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan