Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kebakaran libatkan alat mobiliti aktif naik 21.8% pada 2024: SCDF

Jumlah kebakaran yang melibatkan alat mobiliti aktif (AMD) meningkat sebanyak 21.8 peratus pada 2024, menurut statistik tahunan yang dikeluarkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada Khamis (13 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Kebakaran libatkan alat mobiliti aktif naik 21.8% pada 2024: SCDF

Alat mobiliti peribadi yang terbakar pada 2021. (Gambar: Facebook/SCDF)

Diterbitkan : 13 Feb 2025 02:03PM Dikemas Kini : 13 Feb 2025 02:04PM
SINGAPURA: Jumlah kebakaran yang melibatkan alat mobiliti aktif (AMD) meningkat sebanyak 21.8 peratus pada 2024, menurut statistik tahunan yang dikeluarkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada Khamis (13 Feb).

Sebanyak 67 kes dilaporkan pada tahun lalu berbanding 55 pada 2023.

Secara keseluruhannya, SCDF menangani sebanyak 1,990 kebakaran pada 2024, peningkatan sebanyak 1.8 peratus berbanding 2023. Kebakaran disebabkan oleh elektrik dan memasak yang terbiar tanpa jagaan adalah kebakaran paling biasa berlaku di rumah.

Sebanyak 80 kecederaan akibat kebakaran dan lima kematian dilaporkan pada 2024.

Kebakaran yang melibatkan AMD, seperti basikal elektrik, alat mobiliti peribadi (PMD) dan alat bantuan mobiliti peribadi (PMA) kekal menimbulkan keprihatinan, terutamanya di premis kediaman, kata SCDF.

SCDF akan terus mengeluarkan nasihat keselamatan mengenai kebakaran AMD kepada orang ramai.

Ini termasuk peringatan supaya jangan mengecas bateri bagi tempoh yang panjang atau membiarkannya mengecas pada sebelah malam tanpa pengawasan, dan mengelak daripada membeli atau menggunakan bateri bukan yang asli

PECAHAN KEBAKARAN PADA 2024

Daripada 1,990 kebakaran yang ditangani oleh SCDF tahun lalu, 968 adalah kebakaran yang melibatkan bangunan kediaman - turun sedikit daripada 970 pada 2023.

Kebakaran akibat memasak yang terbiar tanpa jagaan membentuk jumlah terbesar kebakaran di bangunan kediaman, dengan 335 kes dilaporkan pada 2024, turun daripada 384 pada 2023.

Bagi kebakaran yang berpunca daripada elektrik, sebanyak 299 kes dilaporkan pada 2024, meningkat 8.3 peratus berbanding 2023.

"Majoriti kebakaran berpunca daripada kerosakan pada dawai elektrik atau peralatan elektrik, atau disebabkan oleh beban keterlaluan pada soket elektrik," kata SCDF.

AMD terlibat dalam 44 daripada kebakaran di premis kediaman, meningkat 25.7 peratus berbanding 2023.

Sementara itu, sebanyak 607 kebakaran bukan bangunan dicatatkan pada 2024, meningkat 4.7 peratus daripada 2023.

Daripada jumlah itu, kebakaran kenderaan membentuk jumlah majoriti dengan 220 kes. Hanya satu kebakaran melibatkan kenderaan elektrik.

"Punca utama kebakaran kenderaan di Singapura disebabkan oleh sumber pencucuhan (ignition) seperti terlalu panas dan kerosakan elektrik dalam ruang enjin," kata SCDF.

Terdapat juga 180 kebakaran tumbuh-tumbuhan pada 2024, meningkat 35.3 peratus daripada 2023. Kebakaran yang melibatkan barang buangan turun sebanyak 8.5 peratus kepada 97 pada 2024.

Kebakaran di bangunan bukan kediaman seperti premis komersial, perindustrian dan sosial meningkat 2.7 peratus kepada 415 kes pada tahun lalu.

Menurut SCDF, ia akan terus bekerjasama dengan Majlis Kebakaran dan Kesediaan Kecemasan Nasional, pemilik bangunan dan pengurus keselamatan kebakaran untuk menganjurkan program mendekati masyarakat untuk "mengekalkan tahap kesedaran keselamatan kebakaran yang tinggi dalam kalangan penghuni bangunan".

“Pemeriksaan penguatkuasaan berkala juga akan dijalankan di premis-premis sedemikian untuk memastikan peraturan keselamatan kebakaran dipatuhi,” kata SCDF.

KEMEROSOTAN PANGGILAN KECEMASAN PADA 2024

SCDF menjawab 245,279 panggilan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) pada 2024 - turun sedikit sebanyak 0.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 228,838 adalah panggilan kecemasan, 10,728 adalah panggilan bukan kecemasan dan 5,713 adalah panggilan palsu.

Daripada panggilan kecemasan, 79.5 peratus adalah berkaitan perubatan, 16.3 peratus adalah kes trauma, dan 4.2 peratus adalah kemalangan jalan raya.

Panggilan EMS yang melibatkan warga emas berumur 65 tahun ke atas merangkumi hampir separuh daripada kesemua panggilan EMS.

"Walaupun permintaan telah berkurangan sedikit berikutan lonjakan ketara pada 2022, kami memerhatikan trend yang meningkat secara amnya dalam tempoh lima tahun yang lalu," kata SCDF.

SCDF menambah bahawa dengan penduduk yang semakin menua di Singapura, ia menjangkakan permintaan akan terus meningkat selepas 2025.

Walaupun panggilan bukan kecemasan secara amnya kekal konsisten, panggilan kecemasan palsu mengalami penurunan sejak 2021.

Pada 2024, terdapat 5,713 panggilan kecemasan palsu berbanding 6,285 pada 2023, yang menurut SCDF sebahagiannya disebabkan oleh pendidikan awam mengenai penggunaan talian kecemasan 995.

PEMERIKSAAN PENGUATKUASAAN KEBAKARAN

SCDF menjalankan 15,075 pemeriksaan penguatkuasaan keselamatan kebakaran pada 2024, meningkat 0.2 peratus berbanding 15,044 yang dijalankan pada 2023.

Ia mengeluarkan 1,061 notis kesalahan (NOO) dan 2,579 notis pengurangan bahaya kebakaran (FHAN) pada 2024, kedua-duanya merosot berbanding 2023.

"FHAN paling biasa dikeluarkan adalah disebabkan oleh ketidakselenggaraan peralatan memadam kebakaran, yang menyumbang 25.9 peratus daripada semua notis yang dikeluarkan," kata SCDF.

"NOO yang paling biasa dikeluarkan adalah disebabkan pertukaran penggunaan premis tanpa kebenaran, yang menyumbang 33.6 peratus daripada semua NOO yang dikeluarkan."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan