Skip to main content

Singapura

Kebakaran libatkan alat mobiliti aktif merosot 26.9% pada 2025

Jumlah kebakaran melibatkan alat mobiliti aktif merosot sebanyak 26.9 peratus pada 2025, menurut statistik tahunan yang diterbitkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada Rabu (11 Feb).
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Feb 2026 12:19PM Dikemas Kini : 04 Mar 2026 05:00PM
SINGAPURA: Jumlah kebakaran melibatkan alat mobiliti aktif merosot sebanyak 26.9 peratus pada 2025, menurut statistik tahunan yang diterbitkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada Rabu (11 Feb).

Pada tahun lalu, terdapat 49 kejadian kebakaran sedemikian, berbanding 67 pada 2024.

Keseluruhan jumlah kes kebakaran pula meningkat 3 peratus kepada 2,050 tahun lalu, menurut statistik perkhidmatan perubatan kecemasan, kebakaran dan penguatkuasaan SCDF bagi 2025.

Kebakaran disebabkan oleh masakan tidak diawasi dan kebakaran elektrik kekal sebagai dua jenis kebakaran yang paling lazim berlaku di rumah.

Terdapat 94 kes kecederaan dan enam kematian akibat kebakaran dilaporkan pada 2025.

"Walaupun secara keseluruhan terdapat penurunan dalam jumlah kes kebakaran melibatkan AMD, ia tetap satu perkara yang membimbangkan," menurut SCDF, sambil menambah kejadian kebakaran sedemikian terutamanya membimbangkan di kawasan perumahan kerana ia merebak dengan pantas di ruang terhad.

AMD termasuk basikal elektrik (PAB), alat mobiliti peribadi (PMD) dan alat bantuan mobiliti peribadi (PMA).

Kebakaran melibatkan PAB dan PMA masing-masing merosot pada 2025, dengan jumlah kebakaran melibatkan PAB merosot sebanyak 61.3 peratus kepada 12 kes dan kebakaran melibatkan PMA merosot sebanyak 45.5 peratus kepada enam kes.

Namun, kebakaran melibatkan PMD meningkat kepada 31 kes tahun lalu, daripada 24 peratus sebelum ini.

SCDF menyatakan ia akan meneruskan usaha untuk mendidik orang awam mengenai bahaya berkaitan kebakaran AMD dan mengedarkan makluman keselamatan kebakaran menerusi media sosial.

Ini termasuk peringatan untuk tidak meninggalkan bateri atau peralatan tanpa diawasi apabila dicas selama tempoh berpanjangan atau semalaman, dan mengelakkan daripada membeli atau menggunakan bateri bukan asli.

STATISTIK KEBAKARAN BAGI 2025

Daripada 2,050 panggilan kebakaran yang diuruskan oleh SCDF pada tahun lalu, 1,051 adalah berkaitan kebakaran di premis perumahan, menandakan kenaikan 8.6 peratus daripada 2024.

Kebakaran disebabkan oleh aktiviti memasak tanpa diawasi merangkumi purata terbesar kes kebakaran di premis perumahan, dengan 318 kes dilaporkan pada 2025.

Walaupun ia merosot 5.1 peratus daripada 335 pada tahun sebelumnya, ia tetap merupakan punca utama kebakaran di bangunan perumahan.

Terdapat 304 kebakaran berpunca daripada elektrik, iaitu kenaikan 1.5 peratus daripada 299 kes pada 2024.

"Kebanyakan kebakaran disebabkan oleh kerosakan dalam wayar elektrik atau perkakas elektrik, atau disebabkan oleh lebihan beban pada soket elektrik," menurut SCDF.

Daripada 304 kebakaran yang berpunca daripada elektrik, 34 melibatkan AMD di premis-premis kediaman, di mana ia merosot 22.7 peratus berbanding 2024.

Bagi kebakaran yang berlaku di bangunan bukan kediaman, terdapat 471 kes pada 2025, meningkat 13.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bangunan bukan kediaman merangkumi premis-premis komersial, premis perindustrian serta premis sosial dan masyarakat.

Daripada jumlah itu, kebakaran yang berpunca daripada elektrik menyumbang kepada 43.5 peratus kes.

SCDF akan terus bekerjasama dengan Majlis Kesiapsiagaan Kebakaran dan Kecemasan Kebangsaan, para pemilik bangunan serta pengurus keselamatan kebakaran untuk menganjurkan program-program kesedaran keselamatan kebakaran untuk “meningkatkan tahap kesedaran keselamatan kebakaran dalam kalangan pemilik dan penghuni bangunan”.

“Pemeriksaan penguatkuasaan berkala juga akan dijalankan di premis-premis ini bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan keselamatan kebakaran,” kata SCDF.

Jumlah panggilan kecemasan kebakaran di premis bukan bangunan juga merosot kepada 528 kes pada 2025, iaitu kurang 13 peratus berbanding 2024.

Kebakaran kenderaan merangkumi jumlah terbesar kes kebakaran bukan bangunan. Sungguhpun begitu, jumlah kes kebakaran seumpamanya merosot sebanyak 12.3 peratus kepada 193 kes pada 2025.

Di Singapura, kebakaran kenderaan lazimnya berpunca daripada sumber pencucuhan seperti pemanasan berlebihan dan kerosakan elektrik dalam kompartmen enjin, menurut SCDF.

Kebakaran kenderaan melibatkan kenderaan elektrik (EV) kekal rendah. Daripada 226 kebakaran kenderaan pada 2025, hanya empat melibatkan EV.

Punca utama bagi kebakaran EV adalah kerosakan elektrik pada bateri.

Sementara itu, kebakaran tumbuh-tumbuhan merosot sebanyak 39.4 peratus kepada 109 kes tahun lalu.

Kebakaran yang berpunca daripada barangan yang dibuang pula meningkat kepada 107 kes, naik 10.3 peratus berbanding 2024.

LEBIH BANYAK PANGGILAN KECEMASAN PADA 2025

SCDF menerima 257,158 panggilan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) tahun lalu, meningkat 4.8 peratus berbanding 2024.

Daripada jumlah tersebut, 239,855 adalah panggilan kecemasan, 11,064 adalah panggilan bukan kecemasan dan 6,239 adalah panggilan palsu.

Daripada kesemua panggilan kecemasan itu, 78.6 peratus berkaitan kes perubatan, 16.9 peratus kes trauma dan selebihnya sebanyak 4.5 peratus terdiri daripada kemalangan jalan raya.

Hampir separuh daripada semua panggilan EMS melibatkan warga emas berusia 65 tahun ke atas.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang, jumlah panggilan EMS dijangka terus meningkat, sebahagian besar disebabkan oleh peningkatan permintaan daripada penduduk yang semakin menua,” kata SCDF.

Panggilan bukan kecemasan dan panggilan palsu masing-masing meningkat sebanyak 3.1 peratus dan 9.2 peratus pada tahun lalu.

SCDF mengingatkan orang ramai supaya menghubungi NurseFirst, talian triaj perubatan, bagi keadaan perubatan yang tidak mengancam nyawa.

Talian yang dikendalikan Hospital Woodlands itu memberikan nasihat perubatan berhubung keadaan pemanggil dan membimbing mereka ke lokasi yang sesuai untuk mendapatkan bantuan perubatan.

“Ini membolehkan talian 995 dikhaskan untuk kecemasan perubatan yang kritikal dan mengancam nyawa,” katanya.

PEMERIKSAAN PENGUATKUASAAN KEBAKARAN

SCDF menjalankan 14,750 pemeriksaan penguatkuasaan keselamatan kebakaran pada 2025.

Berbanding 2024, jumlah Notis Pengurangan Bahaya Kebakaran (FHAN) yang dikeluarkan meningkat sebanyak 3.5 peratus kepada 2,668 tahun lalu.

Antara sebab utama notis itu dikeluarkan adalah kerana peralatan memadam kebakaran tidak diselenggara, iaitu meliputi 28.7 peratus daripada keseluruhan notis FHAN yang dikeluarkan.

Jumlah notis kesalahan yang dikeluarkan juga meningkat pada 2025, iaitu naik sebanyak 13.9 peratus kepada 1,209.

Sebab paling utama mengapa NOO dikeluarkan adalah kerana kerja-kerja keselamatan kebakaran dijalankan tanpa kelulusan, yang merangkumi 41.4 peratus daripada semua NOO yang dikeluarkan.

Jumlah tindakan mahkamah yang diambil juga merosot tahun lalu kepada 82 kes, iaitu pengurangan sebanyak 23.4 peratus.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita