Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kebakaran Henderson Rd: kontraktor disaman dirikan khemah yang hadang kenderaan SCDF

Anggaran Waktu Membaca:
Kebakaran Henderson Rd: kontraktor disaman dirikan khemah yang hadang kenderaan SCDF

Khemah yang menempatkan sebuah upacara persemadian di Henderson Road. (Tangkapan skrin: Reddit/cheekyjie)

Diterbitkan : 10 Jan 2023 06:14PM Dikemas Kini : 10 Jan 2023 06:39PM
SINGAPURA: Kontraktor yang bertanggungjawab mendirikan khemah yang menempatkan sebuah upacara persemadian, dikenakan saman oleh Majlis Bandaran Tanjong Pagar.

Ini kerana khemah tersebut didapati menghadang laluan masuk, yang sekali gus menyebabkan kelewatan tindak balas Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) terhadap kebakaran di Henderson Road.

Memandangkan laluan akses kenderaan bomba dihadang, ketibaan para pegawai SCDF di tempat kejadian pada 8 Disember 2022, dilengahkan selama 18 minit.

Menteri Negara Kementerian Dalam Negeri Muhammad Faishal Ibrahim berkata di Parlimen pada Isnin (9 Jan): "Para pegawai mengalihkan tonggak jalan yang dikunci pada lantai berhampiran khemah tersebut untuk membuka laluan masuk. Ini melengahkan ketibaan mereka selama 18 minit."
Seorang anggota perkhidmatan negara (NSF) sepenuh masa berusia 19 tahun, Edward H Go meninggal dunia kemudiannya pada hari yang sama.

Majlis bandaran tersebut mengesahkan bahawa khemah tersebut didirikan di sebuah tempat akses kebakaran.

Mereka menambah: "Majlis Bandaran (Tanjong Pagar) mengambil langkah penguatkuasaan terhadap kontraktor khemah berdasarkan undang-undang kecil majlis bandaran dan mengenakan saman kepada syarikat itu kerana menghadang laluan masuk."

Menurut agensi berita Lianhe Zaobao, syarikat kontraktor Tai Tiong (Red/White) Metal Tents Centre menyatakan bahawa khemah tersebut, yang panjangnya sekitar 9.8 meter dan lebarnya sekitar 5.5 meter, didirikan mengikut peraturan.

Kontraktor tersebut menambah khemah itu didirikan bagi urusan pengendalian upacara persemadian. Mereka mendakwa bahawa ia didirikan berdasarkan saiz yang ditentukan.

Majlis bandaran itu menyatakan bahawa undang-undang kecil yang ditetapkan pihaknya bagi hartanah dan ruang terbuka yang dikongsi bersama "menyenaraikan peraturan bagi penggunaan hartanah bersama". Pihaknya juga menjelaskan bahawa pegawai mereka menjalankan pemeriksaan secara berkala.

"Bagi kes ini, khemah itu didirikan pada lewat petang 7 Disember dan insiden kebakaran berlaku pada pagi 8 Disember," tambah majlis bandaran tersebut.

Seorang jurucakap dari Association of Funeral Directors Singapore, iaitu sebuah persatuan yang mengendalikan upacara persemadian, menyatakan bahawa ruang awam HDB digunakan bagi banyak acara termasuk upacara persemadian, majlis perkahwinan dan acara akar umbi.

"Pemohon perlu menggunakan ruang umum di dalam kawasan tersebut, (sekali gus) mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa acara itu dijalankan dengan kesulitan yang dikekalkan pada tahap minimum dan mematuhi terma dan syarat yang ditetapkan oleh majlis bandaran," kata jurucakap tersebut.

"Pengarah upacara persemadian sedia maklum bahawa upacara itu dijalankan menggunakan ruang umum dan mereka menekankan kepada keluarga yang sedang berkabung bahawa mereka perlu mematuhi peraturan penggunaan ruang bersama."

Sarjan 1 Edward H Go rebah sedang dia berjuang memadamkan api dan kemudian meninggal dunia di hospital. Beliau merupakan anggota bomba pertama yang meninggal semasa operasi oleh SCDF.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan