Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kebakaran Henderson Rd: kelengahan respons SCDF disebabkan hadangan laluan masuk

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Laluan masuk kereta bomba menuju ke blok Henderson Road, di mana kebakaran berlaku pada bulan lalu dihadang oleh khemah tempat upacara persemadian diadakan, menyebabkan kelewatan tindak balas bomba terhadap kebakaran itu.

Demikian didedahkan Menteri Negara Kementerian Dalam Negeri Muhammad Faishal Ibrahim di Parlimen pada Isnin (9 Jan).

Seorang anggota perkhidmatan negara (NSF) sepenuh masa berusia 19 tahun, Edward H Go, pengsan semasa memadamkan api dan kemudian meninggal dunia. Beliau merupakan anggota bomba pertama yang meninggal semasa operasi oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Menjawab soalan Anggota Parlimen Murali Pillai (PAP-Bukit Batok) mengenai cabaran yang dihadapi SCDF semasa operasi memadam api pada 8 Disember, Dr Faishal berkata hadangan oleh khemah di tempat upacara persemadian itu melengahkan ketibaan SCDF selama 18 minit.

"Pegawai mengalihkan tonggak jalan yang dikunci pada lantai berhampiran khemah tersebut untuk membuka laluan masuk. Ini melengahkan ketibaan mereka selama 18 minit," katanya kepada Dewan.

"Berdasarkan penilaian komander di lokasi mengenai sumber-sumber yang diperlukan bagi operasi itu, 22 kenderaan kecemasan dan 61 anggota bomba dari enam balai bomba dikerahkan untuk menangani kejadian itu."

Beliau menambah bahawa kira-kira 40 peratus daripada anggota bomba merupakan anggota perkhidmatan negara. Baki 60 peratus adalah pegawai tetap.

Sarjan 1 Edward H Go diberikan upacara penghormatan dan persemadian penuh istiadat pada 13 Disember dan dianugerahi pangkat anumerta, iaitu sebagai Sarjan Pertama.

"Polis kini sedang menjalankan siasatan bebas dan menyeluruh mengenai keadaan kematian SGT1 Edward, dan akan memberitahu Koroner mengenai penemuannya," kata Prof Madya Faishal.

"Pada peringkat ini, adalah terlalu awal untuk menentukan faktor yang menyumbang kepada kematian SGT1 Edward. Koroner akan mempertimbangkan dapatan siasatan polis, dalam menentukan punca kematian.

"Disebabkan siasatan masih dijalankan, kami tidak dapat berkongsi butiran lanjut pada peringkat ini. SCDF akan berusaha untuk memahami apa yang berlaku, termasuk sama ada prosedur dan protokol operasi standard dipatuhi dan bagaimana ini mungkin perlu diperketatkan untuk melindungi pegawai kami ketika mereka berkhidmat untuk negara kita."
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan