Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kebakaran flat Whampoa: Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau berjaya kumpul derma '5 angka'

Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau tampil ke depan untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada sebuah keluarga Melayu di Whampoa yang flatnya terbakar Ahad lalu (28 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau tampil ke depan untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada sebuah keluarga Melayu di Whampoa yang flatnya terbakar Ahad lalu (28 Feb).

BERITAmediacorp difahamkan, pihak masjid berjaya mengumpul sumbangan wang berjumlah "lima angka" bagi usaha bantuan itu.

Keluarga lapan orang anggota itu tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di tingkat dua Blok 22 Jalan Tenteram dijilat api dengan segala isi rumah itu hancur sama sekali dijilat api.

(Gambar: SCDF)

(Gambar: SCDF)

Enam daripada anggota keluarga Muslim itu juga terpaksa dikejarkan ke hospital untuk dirawat ekoran kejadian itu. Antara penghuninya termasuklah tiga orang remaja belasan tahun dan seorang bayi berusia 3 bulan.

Demi membantu mereka membina semula kehidupan mereka, Masjid Hajjah Rahimabi, yang terletak beberapa minit sahaja daripada flat yang terbakar itu,
segera menggerakkan satu usaha kempen mengumpul derma sehari kemudian.

"PENUHI SASARAN" DERMA KURANG 24 JAM

Pengumpulan dana itu sepatutnya berjalan selama 12 hari.

Bagaimanapun sambutannya begitu baik dari masyarakat sehingga kempen itu ditamatkan kurang 24 jam selepas dilancarkan kerana sudah "memenuhi sasaran" derma.

Dalam catatan di laman Facebook masjid tersebut, wakil masjid menulis: "Bagi pihak para mangsa kebakaran yang dalam kesedihan, Lembaga Pengurusan Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau merakamkan rasa terima kasih yang mendalam kerana memberi respons kepada rayuan kemanusiaan kami. 

"Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau berbesar hati menjadi sebahagian daripada inisiatif ini dan kami gembira mengumumkan bahawa pengumpulan dana ini sudah memenuhi sasarannya.

"Kini kami menamatkan pengumpulan dana ini."

Menerusi hebahan akaun media sosial masjid itu orang ramai diberitahu bahawa kempen derma menerusi PayNow sudah ditutup.

Namun demikian, pihak masjid menyatakan kepada BERITAmediacorp bahawa pengumpulan derma akan ditutup secara rasmi Jumaat ini, sekiranya masih ada sumbangan yang terus dihulurkan orang ramai. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan