Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kebakaran East Coast Rd: Penutup pili bomba terdekat pada awalnya tersekat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penutup pili bomba paling dekat semasa kebakaran di East Coast Road awal minggu ini tersekat, dan percubaan untuk membukanya pada mulanya tidak berjaya, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada Jumaat (13 Jan).

Kenyataan itu datang selepas video di TikTok tular, mendakwa bahawa anggota bomba berdepan kesukaran untuk menghubungkan hos air ke pili bomba. Video itu juga menunjukkan air dari hos tidak dapat sampai kepada kebarakan tersebut, yang dipercayai disebabkan tekanan air yang tidak mencukupi.

Menjawab soalan media, jurucakap SCDF menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang kebakaran itu pada pukul 11.50 malam pada Isnin (9 Jan). Kenderaan Respons Pantas Bomba (LFAV) tiba di tempat kejadian dalam masa enam minit.

"Kebakaran dilihat marak di dua unit dan mengancam untuk merebak ke dua unit bersebelahan menerusi bumbung," kata jurucakap SCDF.

Anggota LFAV dengan segera menuju ke pili bomba terdekat untuk mendapatkan bekalan air yang diperlukan oleh pasukan LFAV.

Sementara itu, sebuah kereta bomba tiba kira-kira jam 11.57 malam, dan operasi memadam api tidak lama kemudian dimulakan dengan dua jet air yang mengeluarkan air dari tangki dalam kenderaan tersebut.

Jurucakap SCDF berkata: "Penutup pili bomba terdekat yang cuba digunakan oleh anggota LFAV tersekat dan percubaan untuk menanggalkannya pada mulanya tidak berjaya."

Menurut SCDF, pemeriksaan operasi pili bomba sebelum kejadian itu adalah pada Disember 2021, di mana ia didapati berfungsi dengan baik. Ia sepatutnya diperiksa sekali lagi pada Mac ini.

Kereta bomba membawa air yang mencukupi untuk segera menyokong operasi memadam api sekurang-kurangnya sekitar 10 minit sebelum ia perlu diisi semula, tambah jurucakap itu.

Penilaian kemudian dibuat untuk menggunakan pili bomba terdekat yang seterusnya, iaitu "prosedur standard". Bekalan air dari pili bomba, yang terletak kira-kira 100m daripada unit yang terjejas diperolehi kira-kira pukul 12.06 pagi.

“Walaupun hos bekalan air dari pili itu pada mulanya disalurkan ke monitor air LFAV, keputusan dibuat untuk segera mengalihkannya ke tangki air kereta bomba, yang diperlukan untuk memastikan tiada gangguan air pada kedua-dua jet air tersebut, ” kata jurucakap itu.

"Ini adalah untuk membolehkan usaha memadam api tanpa gangguan pada dua jet air pertama."

Kira-kira oukul 12.11 pagi, sumber yang tiba seterusnya dikerahkan ke bahagian belakang unit yang terjejas untuk menyokong operasi memadam api. Dua pili bomba tambahan, yang terletak di kawasan itu digunakan untuk membekalkan air kepada sumber-sumber ini.

"Pada waktu ini, api sudah semakin besar dan merebak ke empat unit," kata jurucakap SCDF itu.

Penutup pili bomba pertama akhirnya berjaya dicabut selepas percubaan lain kira-kira pukul 12.35 pagi. Air segera diambil daripada pili itu untuk menyokong operasi memadam api.

Kebakaran tersebut berjaya dikawal sekitar pukul 12.40 pagi, kira-kira 45 minit selepas ketibaan SCDF. Jet air kemudian dikerahkan ke unit yang terjejas untuk memadamkan api sepenuhnya.

Sebanyak 15 kenderaan kecemasan, 60 pegawai dan enam jet air - termasuk jet air udara dari Tangga Platform Gabungan - digunakan dalam operasi itu.

SCDF memadamkan kebakaran dalam masa kira-kira dua jam.

Seorang individu yang diperiksa oleh paramedik mengalami kelecuran ringan dan dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH). Kira-kira 20 penduduk turut dipindahkan.

Menurut siasatan awal, kebakaran bermula dari bilik tidur di tingkat dua di salah sebuah unit. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menentukan punca kebakaran.

Pada Rabu (11 Jan), agensi air PUB berkata bahawa ia menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian pada pagi selepas kebakaran, dan mendapati pili bomba berhampiran berada dalam keadaan baik.
Ia juga menyatakan tekanan air mencukupi dalam rangkaian bekalan pili bomba tersebut untuk menyokong operasi SCDF.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan