Skip to main content

Singapura

Kebakaran di Tampines: Bangunan perindustrian 'selamat dari segi struktur', ditutup sebagai langkah berjaga-jaga

Anggaran Waktu Membaca:
Kebakaran di Tampines: Bangunan perindustrian 'selamat dari segi struktur', ditutup sebagai langkah berjaga-jaga

Asap dari kebakaran bangunan perindustrian dapat dilihat dari kawasan SAFRA Tampines pada 9 Mei 2025. (Gambar: CNA/Calvin Oh)

Diterbitkan : 11 May 2025 10:11AM Dikemas Kini : 11 May 2025 10:12AM
SINGAPURA: Bangunan perindustrian Tampines yang terbakar telah mengalami kerosakan dan akan ditutup sebagai langkah berjaga-jaga, menurut Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) lewat Sabtu (10 Mei) semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

Sekalipun jurucakap BCA berkata bangunan itu, yang terbakar pada Jumaat (10 Mei), "kekal selamat dari segi strukturnya", pemeriksaan menunjukkan kerosakan pada bahagian struktur konkrit dan bumbung keluli bangunan setinggi dua tingkat yang terletak di 18 Tampines Street 92.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyelesaikan operasi memadamkan kebakaran pada pagi Sabtu (10 Mei).

Ini membolehkan para jurutera BCA memasuki dan menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dengan terperinci. SCDF juga mendedahkan dalam kemas kini di Facebook sebelum ini bahawa bangunan itu setinggi tiga tingkat.

Jurucakap BCA menarik perhatian bahawa kekuda bumbung menunjukkan tanda-tanda kerosakan akibat pendedahan haba yang berpanjangan dan terdapat juga kesan pengelupasan pada beberapa tiang.

"Walaupun terdapat tanda-tanda kerosakan akibat kebakaran tersebut, tiada ubah bentuk struktur yang ketara pada tiang konkrit, justeru bangunan itu kekal selamat dari segi strukturnya."

Pondok pengawal keselamatan di bangunan itu, tempat letak kereta dan unit jiran tidak terjejas oleh kebakaran itu, tambah jurucakap BCA.

BCA menyatakan bahawa pihaknya akan mengeluarkan arahan kepada pemilik bangunan untuk menutup seluruh bangunan, tidak termasuk pondok pengawal keselamatan dan tempat letak kereta, sebagai "langkah berjaga-jaga".

"Pemilik bangunan juga telah diarahkan untuk melantik jurutera profesional bagi menjalankan siasatan terperinci mengenai keadaan struktur, menyarankan langkah keselamatan segera untuk mengurangkan risiko, dan mencadangkan kerja-kerja pembetulan dan pembaikan," tambah jurucakap itu.

KEPULAN ASAP TEBAL DAN ABU

Selain kepulan asap tebal dan abu, kebakaran itu turut menyebabkan para pekerja dari tempat kerja berhampiran dan para pelajar dari sebuah sekolah dipindahkan pada Jumaat.

SCDF menyatakan bahawa ia dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 12.50 tengah hari dan kebakaran itu melibatkan barangan tekstil. SCDF menggunakan lima jet air, alat pemantau udara dan dua mesin pemadam kebakaran tanpa pemandu untuk memadamkan kebakaran.

"Seorang individu dari premis terbabit telah diperiksa dan dirawat oleh pasukan paramedik SCDF bagi kecederaan pada lengannya. Individu itu enggan dihantar ke hospital," katanya dalam kemas kini Facebook pada Jumaat.

Gambar di laman Facebook SCDF menunjukkan asap berkepul-kepul keluar dari tingkap TC Homeplus, sebuah syarikat yang mengedarkan perkakas rumah dan kain linen.

Video dan gambar lain menunjukkan kepulan asap tebal dari tempat kejadian yang terletak berhampiran dengan SAFRA Tampines dan tidak jauh dari Tampines Mall.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita