Skip to main content

Singapura

Kebakaran di pusat data Loyang, operasi SCDF masih dijalankan selepas 12 jam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Satu kebakaran tercetus di sebuah pusat data di Loyang pada pagi Selasa (10 Sep).

Anggota bomba Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) masih menjalankan operasi mengawal kebakaran, lebih 12 jam selepas ia berlaku.

Menurut syarikat Digital Realty, kebakaran tersebut berlaku di pusat datanya di 3 Loyang Way pada sekitar pukul 7.45 pagi semalam.

SCDF dimaklumkan tentang kejadian itu pada pukul 8.00 pagi.

Menurut SCDF, kebakaran tersebut melibatkan bateri litium ion yang disimpan dalam bilik-bilik bateri di tingkat tiga bangunan empat tingkat itu.

Empat jet air dan sistem pemercik air dihidupkan bagi mengawal kebakaran tersebut.

SCDF menyatakan sekitar 20 individu sudah keluar daripada bangunan itu sebelum para anggotanya tiba di tempat kejadian.

Tiada kecederaan dilaporkan.

Setakat pukul 9.00 malam semalam, sebuah robot pemadam kebakaran dikerahkan untuk menyejukkan bateri-bateri yang terjejas dalam kebakaran itu.

Menurut SCDF, operasi menyejukkan kesemua bateri itu mungkin berpanjangan.

Pusat data di Loyang itu merupakan salah satu daripada tiga pusat data milik Digital Realty. Dua pusat data yang lain terletak di Loyang dan Jurong.

Menurut Digital Realty, pihaknya sudah melaksanakan protokol responsnya sebaik sahaja penggera kebakaran dihidupkan.

Kesemua kakitangannya telah dipindahkan dengan selamat sejurus selepas kebakaran itu berlaku, jelas syarikat tersebut kepada Mediacorp. "Kami segera memaklumkan dan menasihati pelanggan yang terjejas supaya mengaktifkan rancangan kesinambungan perniagaan mereka."

Syarikat itu enggan memperincikan pelanggan mana yang terjejas oleh kebakaran berkenaan.

W.Media, sebuah syarikat penerbit teknologi yang memberi tumpuan kepada berita pusat awan dan data, melaporkan "gangguan ketara" bagi syarikat seperti Lazada dan Bytedance.

Alibaba Cloud mengesahkan perkhidmatannya terjejas. Dalam kemas kini yang dikeluarkan pada pukul 8.04 malam, pihaknya menyatakan suhu tinggi menjejaskan sambungan rangkaian beberapa produk awannya.

"Jika kenaikan suhu seterusnya tidak dikawal dengan berkesan, kemungkinan gangguan rangkaian lengkap di Zon Ketersediaan C Singapura akan meningkat," tambah Alibaba.

Zon ketersediaan ialah lokasi pusat data terpencil yang berbeza dalam infrastruktur pembekal awan. Alibaba Cloud mempunyai tiga zon ketersediaan sedemikian di Singapura.

CNA sudahpun menghubungi Alibaba, Lazada dan Bytedance untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Sumber : CNA/HA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita