Kebakaran di Jurong: Rakyat China terjejas dibantu Pusat Pekerja Asing
Dua pekerja warga China yang cedera dalam kebakaran besar di kemudahan gas petroleum cecair (LPG) di Jalan Buroh, Jurong sedang beransur pulih. Salah seorang daripada mereka sudah dibenarkan pulang dari hospital.
SINGAPURA: Dua pekerja warga China yang cedera dalam kebakaran besar di kemudahan gas petroleum cecair (LPG) di Jalan Buroh, Jurong sedang beransur pulih. Salah seorang daripada mereka sudah dibenarkan pulang dari hospital.
Pekerja yang seorang lagi masih dirawat di hospital.
"Kami difahamkan bahawa keadaannya stabil dan beliau akan beransur pulih setelah menerima rawatan dan diberi masa untuk sembuh," menurut Pusat Pekerja Asing (MWC) pada Sabtu (22 Jun).
Pekerja itu dikejarkan ke Hospital Besar Singapura pada Jumaat (21 Jun) kerana mengalami kelecuran.
Kebakaran tersebut berlaku di kemudahan LPG sebesar dua padang bola dan melibatkan beratus-ratus tong LPG yang mudah terbakar. Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengambil masa sekitar enam jam untuk memadamkan api.
Dalam catatan Facebooknya, MWC menyatakan pihaknya sedang berhubungan dengan syarikat yang terbabit dengan kebakaran itu.
"Kami yakin menyusuli perhubungan kami bahawa syarikat itu komited dan sedang mengambil setiap langkah untuk memastikan kebajikan kakitangannya - termasuk menaja jamin kesemua kos rawatan perubatan dan menfailkan laporan-laporan yang perlu dan tuntutan bagi pampasan pekerja, menurut MWC.
Pertubuhan bukan pemerintah itu menambah pihaknya juga sedang membantu syarikat tersebut dari segi urusan pekerja yang maut, juga seorang rakyat China.
Urusan-urusan itu termasuk, menghantar pulang mayatnya dan menghulurkan bantuan kepada keluarga mendiang, menurut MWC.
MWC menyatakan: "Kami ingin meyakinkan rakyat Singapura dan pekerja-pekerja asing yang prihatin bahawa para pekerja yang terjejas sedang dan akan terus dijaga sedang siasatan terhadap punca kebakaran dijalankan."
Sejumlah 35 kenderaan kecemasan dan sekitar 120 anggota bomba dikerah untuk melawan kebakaran pada sebelah malam Jumaat.
SCDF menyatakan kebakaran itu merupakan yang terbesar melibatkan tong-tong LPG yang pernah ditangani.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.