Kebakaran di flat Bukit Batok; 2 diselamatkan daripada belebas tingkap
Tiga orang diselamatkan dalam kebakaran yang berlaku di sebuah flat di Bukit Batok awal pagi tadi (1 Nov), menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Petikan video operasi menyelamat daripada belebas tingkap (Gambar: Facebook/SCDF)
SINGAPURA: Tiga orang diselamatkan dalam kebakaran yang berlaku di sebuah flat di Bukit Batok awal pagi tadi (1 Nov), menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Dalam catatan Facebook, SCDF menyatakan ia menjawab panggilan berhubung kebakaran di sebuah unit tingkat 13 Blok 210A Bukit Batok Street 21 pada 4.31 pagi.
Pasukan SCDF "terpaksa memecah masuk" ke dalam flat itu.
Seorang wanita berusia dalam lingkungan 60an tahun diselamatkan daripada tandas manakala dua lelaki berusia dalam 60an dan 30an tahun ditemui berdiri di belebas luar tingkap dapur.
"Timbunan barangan disimpan dalam dapur menghadkan ruang menyelamat bagi pasukan bomba," menurut SCDF.
"Ini, di samping kedua-dua lelaki itu terlalu lelah, menghindari pasukan bomba daripada menarik mereka masuk ke dalam flat dengan selamat."
Tangga setinggi 60 meter kemudian dikerah bagi operasi menyelamat dari udara.
Pasukan bomba mengikat kedua-dua lelaki itu dengan tali daripada dalam flat, sebelum pasukan elit SCDF turun daripada unit di atas dan mengalihkan kedua-dua lelaki itu ke dalam sangkar menyelamat tangga tersebut.
Kedua-dua lelaki itu kemudian diturunkan ke tingkat bawah lalu diperiksa oleh pasukan paramedik.
Ketiga-tiga orang itu dikejarkan ke Hospital Besar Singapura kerana mengalami luka kebakaran dan terhidu asap.
"API BESAR DAN MARAK"
Seorang saksi yang enggan namanya didedahkan, memberitahu Mediacorp bahawa beliau terdengar jeritan daripada flat itu apabila kebakaran itu berlaku.
Penduduk dari blok itu, katanya, diarahkan keluar sedang api dipadamkan oleh SCDF.
"Api itu besar dan marak," kata saksi tersebut sambil menambah kawasan itu mempunyai bau asap yang kuat.
Menurut saksi, kebakaran itu berlaku hampir satu setengah jam sebelum ia dipadamkan antara pukul 5.30 dan 5.40 pagi. Para penduduk diminta pulang ke rumah mereka pada kira-kira pukul 6.15 pagi.
Kebakaran itu melibatkan barangan dalam flat itu dan siasatan sedang dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.