Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kebakaran berkaitan PMD merosot pada separuh pertama 2021: SCDF

Jumlah kes kebakaran berkaitan alat mobiliti peribadi (PMD) dan basikal bermotor (PAB) pada separuh pertama tahun ini merosot berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Anggaran Waktu Membaca:
Kebakaran berkaitan PMD merosot pada separuh pertama 2021: SCDF

(Gambar fail: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 12 Sep 2021 09:25PM Dikemas Kini : 12 Sep 2021 09:30PM

SINGAPURA: Jumlah kes kebakaran berkaitan alat mobiliti peribadi (PMD) dan basikal bermotor (PAB) pada separuh pertama tahun ini merosot berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Menurut perangkaan pertengahan tahun yang dikeluarkan pada Ahad (12 Sep), SCDF menyatakan terdapat 29 kes kebakaran sedemikian iaitu merosot 32.6 peratus daripada 43 kes pada enam bulan pertama 2020, dan 54 pada separuh pertama 2019.

17 kes melibatkan PMD - satu penurunan sebanyak 34.6 peratus berbanding 26 kes yang dilaporkan pada separuh pertama 2020. Sementara itu, lagi 12 kes melibatkan PAB, iaitu kemerosotan sebanyak 29.4 peratus berbanding 17 kes yang dilaporkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

SCDF menasihatkan pengguna supaya tidak membiarkan bateri atau alat itu dicas tanpa diawasi bagi tempoh yang lama atau semalaman. Ia juga menggesa pengguna agar tidak mengubah suai atau cuba membaiki sendiri alat itu serta elakkan daripada membeli alat PMD yang tidak mempunyai sijil pengiktirafan UL2272.

Semua e-skuter yang dijual dan digunakan di Singapura mesti mempunyai sijil UL2272 - iaitu piawai keselamatan kebakaran yang memenuhi sistem ujian keselamatan.

KEBAKARAN BERKAITAN MEMASAK

SCDF juga menyatakan bahawa ia memberi respons kepada sebanyak 944 panggilan kebakaran pada separuh pertama tahun ini, kurang 0.6 peratus berbanding 950 panggilan yang dibuat pada tempoh yang sama tahun lalu.

Daripada jumlah panggilan yang dibuat, 513 berlaku di kediaman privet dan awam, iaitu penurunan sebanyak 2.7 peratus berbanding tahun lalu.

"Kebakaran melibatkan aktiviti memasak merupakan punca utama kebakaran berlaku di tempat kediaman pada separuh pertama 2021, membentuk 188 atau 36.6 peratus daripada kesemua kebakaran yang berlaku di tempat tinggal," menurut SCDF.

Ini diikuti dengan kebakaran yang disebabkan oleh sumber elektrik - atau yang melibatkan pemasangan wayar tidak betul dan peranti elektrik rosak yang menyebabkan kebakaran. Sebanyak 131 kes sedemikian dilaporkan manakala lagi 84 kes pula melibatkan kebakaran ringan yang disebabkan oleh bahan-bahan seperti arang yang sedang membakar atau puntung rokok.

Selain itu, SCDF juga menjawab 97,485 panggilan Khidmat Kecemasan Perubatan (EMS) pada separuh pertama 2021. Jumlah ini adalah 1.4 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu sebanyak 96,105.

Panggilan EMS bukan kecemasan menyaksikan kemerosotan ketara sebanyak 15.4 peratus kepada 3,978, berbanding 4,704 pada 2020 manakala panggilan palsu merosot 16.4 peratus kepada 2,674.

"Jumlah panggilan bukan kecemasan dan panggilan palsu yang merosot mungkin disebabkan oleh faktor-faktor seperti lebih ramai orang duduk di rumah kerana keadaan COVID-19 dan usaha SCDF untuk meningkatkan kesedaran awam untuk tidak membuat panggilan 995 jika tiada kecemasan," tambahnya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan