Skip to main content

Singapura

Kebakaran berkaitan basikal elektrik naik kepada dua kali ganda pada 2020: SCDF

Jumlah kebakaran berkaitan basikal elektrik (PAB) naik kepada dua kali ganda pada 2020, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada Jumaat (5 Feb), yang turut menyifatkannya sebagai "perkara yang menimbulkan keprihatinan".

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Feb 2021 02:01PM Dikemas Kini : 06 Feb 2021 12:04AM

SINGAPURA: Jumlah kebakaran berkaitan basikal elektrik (PAB) naik kepada dua kali ganda pada 2020, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada Jumaat (5 Feb), yang turut menyifatkannya sebagai "perkara yang menimbulkan keprihatinan".

Terdapat sebanyak 26 kebakaran berkaitan PAB pada 2020, naik daripada 13 tahun sebelumnya, menurut perangkaan tahunan yang dikeluarkan oleh SCDF. Perangkaan sejak beberapa tahun lalu mencatatkan naik turun dengan 22 kes pada 2018, tujuh pada 2017 dan 17 pada 2016.

Sementara itu, kebakaran berkaitan alat mobiliti peribadi (PMD) merosot sebanyak 58.8 peratus, dari 102 pada 2019 kepada 42 pada 2020. Kejadian kebakaran pada tahun lalu melibatkan alat mobiliti peribadi aktif termasuk PAB dan PMD, juga mencatat kemerosotan sebanyak 40.9 peratus.

"Orang awam yang memilki PAB dan PMD patut terus bersikap waspada semasa menggunakan peralatan mereka kerana kebakaran ini boleh membabitkan mangsa dan kemusnahan teruk pada harta benda," menurut SCDF.

"SCDF akan terus meningkatkan kesedaran awam mengenai risiko keselamatan kebakaran berkaitan PMD dan PAB, dan mendidik orang awam mengenai tindakan yang mereka boleh ambil untuk mengurangkan risiko-risiko tersebut."

Pengarah kanan operasi SCDF Penolong Kanan Pesuruhjaya Daniel Seet berkata SCDF dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sedang "meneliti dengan rapi" kenaikan dalam kebakaran PAB.

"Satu pemerhatian utama adalah mereka yang memilki peralatan itu menggunakan pek bateri tambahan bukan daripada pengeluar peralatan asal dan mengubah suai peralatan mereka," menurutnya. "Ia bukan sesuatu perkara yang selamat untuk dilakukan."

SCDF menggalak orang awam untuk hanya membeli PAB dengan sijil keselamatan EN15194 dan tanda kelulusan berwarna jingga LTA.

Pensijilan EN15194 itu memerlukan ujian ketat terhadap kekuatan bateri PAB, dan risiko litar pintas, dan pengecasan berlebihan.

Pada Julai tahun lalu, tiga lelaki didenda antara S$3,000 dengan S$3,500 dalam kes-kes melibatkan pengubahan PAB secara haram yang mana bateri-bateri itu terbakar.

Mereka yang didapati bersalah mengubah suai PAB secara haram boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga bulan dan didenda maksimum S$5,000.

KURANG INSIDEN KEBAKARAN, LEBIH BANYAK KECEDERAAN PADA 2020

Secara keseluruhan, terdapat 1,877 insiden kebakaran pada 2020, merosot 34.4 peratus daripada 2,862 setahun sebelumnya. SCDF menyatakan bahawa ini terutamanya disebabkan oleh kes kebakaran belukar yang merosot kerana musim panas lebih singkat tahun lalu.

Insiden kebakaran dalam semua tiga kategori - premis kediaman, premis bukan kediaman dan tempat bukan bangunan - juga merosot.

Bagaimanapun, SCDF melaporkan kenaikan dalam kecederaan akibat kebakaran, daripada 142 pada 2019 kepada 184 pada 2020. Terdapat satu kematian tahun lalu - seorang lelaki berusia 66 tahun yang meninggal dunia setelah unitnya di Blok 123 Ang Mo Kio Avenue 6 terbakar pada 13 Feb.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita