Kebajikan rakyat semasa COVID-19 tetap keutamaan Pemerintah; pembangkang jangan terburu-buru, tegas Chan Chun Sing
Keutamaan Pemerintah buat masa ini adalah untuk mengawal dan menangani penularan virus korona COVID-19 dan memastikan mata pencarian rakyat Singapura dijaga dengan baik.
Chan Chun Sing di Taman Haiwan Singapura bagi mempelajari kangkah-langkah epncegahan COVID-19 di sana. (Gambar: Najeer Yusof / TODAY)
SINGAPURA: Keutamaan Pemerintah buat masa ini adalah untuk mengawal dan menangani penularan virus korona COVID-19 dan memastikan mata pencarian rakyat Singapura dijaga dengan baik.
Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata demikian pada Sabtu (14 Mac) bagi membalas kritikan parti-parti pembangkang yang menuduh Pemerintah tidak bersikap bertanggungjawab jika ia mengadakan Pilihan Raya Umum (GE) di tengah-tengah penularan virus tersebut.
"Kita fokus sepenuhnya kepada kehidupan dan mata pencarian rakyat Singapura. Kita sama-sama mengharunginya. Kita akan terus berusaha untuk memastikan Singapura dapat mengatasi penularan virus ini," kata Encik Chan.
Beliau turut menegaskan bahawa parti-parti pembangkang tidak seharusnya menjadi tidak keruan dan bertindak terburu-buru kerana laporan Jawatankuasa Semakan Kawasan Undi (EBRC) yang dikeluarkan Jumaat lalu 'ada kaitan tetapi tidak semestinya berhubung kait' dengan bila pilihan raya umum akan diadakan.
"Ini setakat laporan EBRC saja. Ia tidak membuat komen mengenai bila pilihan raya akan diadakan," kata Encik Chan kepada para wartawan di akhir lawatan beliau ke Taman Haiwan Singapura untuk meninjau langkah-langkah pencegahan yang dilaksanakan terhadap penularan COVID-19.
Pembentangan laporan tersebut, yang dikeluarkan tujuh bulan selepas jawatankuasa berkenaan dibentuk, menandakan langkah kedua yang terakhir sebelum Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada GE dan biasanya dilihat sebagai satu tanda yang menunjukkan bahawa pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi.
Berdasarkan empat GE yang lalu, pilihan raya biasanya diadakan antara sebulan hingga tiga bulan selepas laporan tersebut dikeluarkan.
GE seterusnya mesti diadakan selewat-lewatnya sebelum April tahun depan dan tanggungjawab untuk mengadakan pilihan raya terletak di tangan Perdana Menteri, kata Encik Chan.
"Sebelum laporan EBRC dikeluarkan, ramai orang bertanya bilakah laporan tersebut akan dikeluarkan dan apabila ia sudah dikeluarkan, ada yang bertindak dengan cara yang sangat aneh dan mungkin terlalu terburu-buru sehingga menjadi tidak keruan," tambah beliau lagi.
Apabila ditanya bila pakej rangsangan ekonomi kedua yang bermatlamat untuk membantu syarikat-syarikat perusahaan dan pekerja yang terjejas teruk akibat COVID-19 akan dilaksanakan, Encik Chan menjawab ia akan 'diumumkan tidak lama lagi'.
Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mendedahkan pada awal minggu ini bahawa Pemerintah sedang melakar pakej bantuan yang kedua.
Encik Chan juga ditanya oleh para wartawan sama ada tempoh pengumuman pakej kedua ini akan dikaitkan dengan GE kerana Pemerintah memerlukan mandat yang kukuh daripada para pengundi untuk menggunakan rizab negara bagi menampung pakej kedua itu.
Sekali lagi beliau menekankan bahawa rakyat Singapura tidak seharusnya terlalu gusar kerana belum lagi terdapat tanda-tanda bila GE seterusnya akan diadakan.
"Buat masa ini, semua kementerian dan agensi pemerintah sedang bekerja keras untuk memastikan jika dan apabila pakej kedua disediakan, kita perlu menjaga rakyat Singapura dan mata pencarian mereka," tambah beliau lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.