Keandalan MRT sepanjang 12 bulan lalu merosot ke paras terendah sejak 2020
Para penumpang tunggu untuk naik kereta api dari Stesen MRT Jurong East menuju ke Stesen MRT Boon Lay pada 25 Sep 2024. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)
Menurut laporan keandalan khidmat rel yang diterbitkan oleh LTA pada Jumaat (5 Sep), rangkaian MRT secara purata mencatatkan sekitar 1.6 juta kilometer kereta api dari Julai 2025 hingga Jun 2025 tanpa mengalami sebarang kelengahan yang lebih daripada lima minit.
Ia adalah jarak perjalanan paling singkat sejak 2020, apabila MRT pada ketika itu mencatatkan kira-kira 1.45 juta kilometer kereta api sebelum mengalami kelengahan.
LTA mengukur keandalan rangkaian MRT dengan mencari purata jarak perjalanan yang dilakukan MRT sebelum mengalami kegagalan (MKBF).
Pihak berkuasa menetapkan sasaran MKBF sejauh 1 juta kilometer kereta api bagi setiap rangkaian MRT.
Dari Julai 2024 hingga Jun tahun ini, keandalan kereta api merosot bagi tiga daripada lima laluan MRT - Laluan Downtown, Laluan Utara-Selatan dan Laluan Timur-Barat.
Laluan Downtown menyaksikan penurunan terbesar MKBF dalam tempoh tersebut - dari 8.13 juta kilometer kereta api pada 2024 kepada 4.12 juta kilometer kereta api sepanjang 12 bulan hingga ke Jun.
Keandalan Laluan Utara-Selatan juga merosot kepada 1.24 juta kilometer kereta api daripada kira-kira 2.49 juta kilometer kereta api.
Ia juga adalah tahap terendah keandalan rel yang pernah disaksikan bagi laluan itu sejak 2020, apabila ia mencatatkan 1.08 juta kilometer kereta api.
Laluan Timur-Barat juga menyaksikan penurunan kepada 1.44 juta kilometer kereta api daripada 1.69 juta kilometer kereta api pada tahun lalu.
Ia juga adalah jarak purata paling singkat yang pernah dicatatkan bagi laluan itu sejak 2020, di mana ia mencatatkan 1.26 juta kilometer kereta api.
Laluan Utara-Selatan dan Circle pula menyaksikan kemajuan dalam 12 bulan sebelum ini hingga Jun, berbanding dengan 2024.
Laluan Utara-Selatan mencatatkan 4.23 kilometer kereta api berbanding 4.1 juta kilometer kereta api pada 2024, manakala Laluan Circle juga mencatatkan kemajuan kepada 1.07 juta kilometer kereta api daripada 919,000 kilometer kereta api.
Laluan Thomson-East Coast bagaimanapun tidak disertakan dalam laporan itu kerana laluan itu belum dibuka sepenuhnya.
Peringkat kelima laluan itu yang terdiri daripada stesen Bedok South dan Sungei Bedok - dijangka dibuka pada separuh kedua 2026.
MKBF tidak mengambil kira tahap kelewatan, sebaliknya hanya jarak perjalanan sebelum berlaku kelewatan.
Menurut laporan itu, terdapat dua kelengahan yang berlaku selama lebih 30 minit - satu di Laluan Circle dan di Laluan Downtown - pada separuh pertama tahun ini.
Terdapat tujuh kelengahan demikian berlaku sepanjang 2024.
Kelengahan paling ketara antara Julai 2024 dengan Jun tahun ini adalah kelengahan selama enam hari di Laluan Timur-Barat pada September tahun lalu.
Disebabkan itu, pengendali pengangkutan awam SMRT didenda S$3 juta.
Berbanding khidmat kereta api di negara-negara lain, sistem MRT Singapura bergerak sejauh 7.7 juta kilometer kereta api sebelum mengalami kelewatan lebih lima minit.
Ini dibandingkan dengan: MTR Hong Kong yang mencatatkan 4.29 juta kilometer kereta dari April hingga Jun 2025; Kereta api bawah tanah New York City, yang merekodkan 187,000 kilometer kereta api dari Julai 2024 hingga Jun tahun ini; dan metro Taipei, yang mencapai 19.12 juta kilometer kereta api pada 2023.
Walaupun keandalan rangkaian MRT Singapura merosot secara keseluruhan, laluan LRTnya menyaksikan tahap keandalan yang lebih memberangsangkan.
Laluan LRT merekodkan purata 534,000 kilometer kereta api tanpa kelengahan yang berlaku sebelum mengalami kelengahan selama lebih lima minit dari Julai 2024 hingga Jun tahun ini. Ini adalah peningkatan daripada 382,000 kilometer kereta api pada 2024.
LRT Bukit Panjang menyaksikan sedikit peningkatan kepada 247,000 kilometer kereta api daripada 232,000 kilometer kereta api pada 2024.
LRT Sengkang-Punggol mencatakan 1.25 juta kilometer kereta api, meningkat daripada 549,000 kilometer kereta api pada 2024.
Tiada kelengahan selama lebih 30 minit dilaporkan berlaku di kedua-dua laluan LRT pada separuh pertama tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.