Skip to main content

Singapura

Keandalan MRT merosot pada Ogos, menurut laporan bulanan pertama LTA mengenai prestasi rel

Keandalan rangkaian MRT merosot pada Ogos, berdasarkan dapatan yang diterbitkan pada Jumaat (10 Okt) oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Anggaran Waktu Membaca:
Keandalan MRT merosot pada Ogos, menurut laporan bulanan pertama LTA mengenai prestasi rel

Papan tanda yang memaklumkan tiada khidmat MRT di Stesen MRT Boon Keng pada 12 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Tang See Kit)

SINGAPURA: Keandalan rangkaian MRT merosot pada Ogos, berdasarkan dapatan yang diterbitkan pada Jumaat (10 Okt) oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

LTA mengeluarkan kemas kini bulanan pertamanya mengenai keandalan sistem rel pada Jumaat. Sebelum ini, kemas kini tersebut dikeluarkan setiap suku tahun.

“Langkah beralih kepada kemas kini bulanan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban, serta memberikan gambaran yang lebih jelas kepada orang ramai tentang prestasi rangkaian rel dari semasa ke semasa,” menurut LTA dalam satu kenyataan media.

LTA menerbitkan angka keandalan itu menggunakan purata bergerak selama 12 bulan bagi purata kilometer antara kegagalan (MKBF) — satu metrik untuk mengukur keandalan kereta api.

MKBF menjejak purata jarak yang dilalui kereta api sebelum mengalami gangguan melebihi lima minit.

Menurut laporan itu, MKBF bagi rangkaian MRT merosot kepada 1,740,000 kilometer perjalanan kereta api pada akhir Ogos, berbanding 1,818,000 kilometer perjalanan kereta api pada akhir Julai.

Pihak berkuasa menetapkan 1 juta kilometer perjalanan kereta api sebagai sasaran MKBF untuk rangkaian MRT.
MKBF bagi Laluan Downtown (DTL) susut daripada 4,131,000 kilometer perjalanan kereta api pada akhir Julai kepada 2,760,000 kilometer perjalanan kereta api pada akhir Ogos, manakala MKBF bagi Laluan Timur Laut (NEL) susut daripada 4,262,000 kepada 2,142,000 kilometer perjalanan kereta api.

“Kemerosotan ini berpunca daripada satu kelewatan di setiap laluan pada Ogos 2025, yang menunjukkan betapa sensitifnya MKBF terhadap perubahan kecil dalam jumlah kelewatan melebihi satu juta kilometer perjalanan kereta api,” menurut LTA.

Namun, Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Laluan Circle (CCL) menunjukkan peningkatan MKBF sejak akhir Julai.

MKBF bagi NSL meningkat daripada 1,413,000 kilometer perjalanan kereta api kepada 1,648,000 kilometer perjalanan kereta api, manakala CCL meningkat daripada 1,067,000 kilometer perjalanan kereta api kepada 1,245,000 kilometer perjalanan kereta api.

“LTA akan terus menyediakan kemas kini bulanan mengenai MKBF bagi keseluruhan rangkaian MRT serta bagi setiap laluan rel secara individu,” tambah pihak berkuasa itu.
LALUAN THOMSON-EAST COAST

LTA turut memaklumkan bahawa ia akan mula menerbitkan data prestasi MKBF dan jumlah kelewatan melebihi 30 minit bagi Laluan Thomson-East Coast (TEL) bermula dari edisi laporan ini.

“Walaupun MKBF memberi gambaran yang munasabah berhubung keandalan laluan rel yang matang, metrik ini ada hadnya dan mungkin kurang tepat untuk mencerminkan prestasi laluan baharu,” jelas LTA.

“Laluan rel baharu pada peringkat awal operasi biasanya mencatat jarak operasi yang jauh lebih pendek, kerana jarak keseluruhan laluan masih terhad, dan dengan jumlah penumpang yang lebih rendah, MRT tidak beroperasi pada kekerapan biasa.

“Tambahan pula, operasi bagi laluan baharu, khususnya yang masih dalam pembinaan atau sedang dilanjutkan, memerlukan masa untuk stabil,” jelas LTA lagi.

Menurut LTA, TEL kini berada di peringkat awal kejuruteraan yang digelar sebagai tahap "bathtub" - tempoh di mana masalah kecil dijangka berlaku sedang sistem itu menjadi stabil dan matang.

“Sejak pembukaan berperingkat TEL, LTA dan pengendalinya telah bekerjasama dengan Pengeluar Peralatan Asal (OEM) untuk menyelesaikan masalah awal,” menurut LTA.

Antara isu tersebut termasuk masalah pada sistem isyarat baharu TEL yang sedang ditangani bersama OEM, jelasnya.

“Masalah yang timbul pada peringkat awal operasi dan selepas kemas kini sistem sebagai sebahagian daripada kerja berterusan mungkin menyebabkan kelewatan. Masalah seperti ini berbeza daripada kerosakan yang dihadapi oleh operasi laluan rel yang lebih matang,” menurut LTA.

Walaupun begitu, LTA menyatakan pihaknya akan mula melaporkan MKBF bagi TEL memandangkan laluan itu setakat ini sudah mengumpulkan "data yang lebih mencerminkan keadaan sebenar" bagi tempoh setahun.

“Projek TEL masih belum siap dengan sepenuhnya kerana kerja-kerja bagi Fasa 5 masih dijalankan oleh LTA, pihak pengendali dan OEM. Lebih banyak masa diperlukan sebelum prestasi TEL menjadi stabil,” jelas LTA.

“Kami menjangkakan prestasi TEL akan bertambah baik selepas ia dibuka sepenuhnya pada 2026 dan operasi laluan itu akan stabil, dengan pola kerosakannya dapat dibandingkan secara adil dengan laluan-laluan lain yang sudah matang.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita