Skip to main content

Singapura

Keandalan MRT hampiri rekod tertinggi sedang prestasi CCL meningkat 50%

Anggaran Waktu Membaca:
Keandalan MRT hampiri rekod tertinggi sedang prestasi CCL meningkat 50%

Gambar fail kereta api SMRT. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 12 Jun 2026 03:02PM Dikemas Kini : 12 Jun 2026 03:03PM
SINGAPURA: Tahap keandalan rangkaian MRT menghampiri rekod tertinggi pada bulan Mei, manakala keandalan Laluan Circle (CCL) meningkat sebanyak 50 peratus, menurut laporan bulanan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (12 Jun).

LTA menerbitkan angka keandalan menggunakan purata bergerak 12 bulan bagi purata kilometer antara gangguan (MKBF) - satu metrik yang mengukur keandalan kereta api. Ia menjejaki jarak purata yang dilalui oleh sesebuah kereta api sebelum ia mengalami kelewatan melebihi lima minit.

Pada bulan Mei, MKBF keseluruhan rangkaian MRT mencecah 2,500,000 kilometer perjalanan MRT, meningkat daripada 2,220,000 kilometer perjalanan MRT pada bulan April.

Ini merupakan bulan kedua berturut-turut di mana MKBF keseluruhan rangkaian MRT kekal berada di atas paras 2,000,000 kilometer perjalanan MRT, menurut LTA. Menurut data LTA, angka tersebut berada di bawah rekod tertinggi iaitu 2,627,000 kilometer perjalanan MRT yang dicapai pada Jun 2024.

Angka keandalan bagi bulan Mei ini disumbangkan oleh prestasi Laluan Circle (CCL), yang meningkat kira-kira 50 peratus berbanding bulan April.

MKBF bagi CCL meningkat kepada 3,550,000 kilometer perjalanan MRT pada bulan Mei, naik daripada 2,360,000 kilometer perjalanan MRT pada bulan sebelumnya.

Sambil menyifatkan peningkatan tersebut sebagai "ketara", LTA menyatakan ia juga mencerminkan "keberkesanan MKBF terhadap perubahan kecil dalam bilangan penundaan pada tahap prestasi ini".

Laluan MRT yang lain sebahagian besarnya kekal stabil pada bulan Mei, tanpa sebarang perubahan pada MKBF bagi Laluan Timur-Barat (EWL) dan Laluan Downtown (DTL) berbanding bulan April.

Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Laluan Timur-Laut (NEL) mencatatkan sedikit peningkatan, dengan NSL meningkat kepada 1,650,000 kilometer perjalanan MRT daripada 1,420,000 kilometer perjalanan MRT, manakala NEL meningkat kepada 4,460,000 kilometer perjalanan MRT daripada 4,450,000 kilometer perjalanan MRT.

Tiada juga gangguan yang melebihi 30 minit dicatatkan pada mana-mana laluan MRT pada bulan Mei, dengan insiden terakhir seumpamanya berlaku pada November 2025.

GANGGUAN TEL PADA BULAN MEI

Terdapat satu gangguan besar yang melebihi 30 minit berlaku di Laluan Thomson-East Coast (TEL) pada 3 Mei, namun prestasi keandalan TEL, iaitu laluan MRT terbaharu di Singapura, tidak dimasukkan ke dalam laporan bulanan LTA.

Ini kerana laluan yang lebih baharu cenderung mencatatkan jumlah perjalanan yang jauh lebih rendah memandangkan jumlah penumpang yang masih relatif rendah dan kereta api tidak beroperasi pada kekerapan biasa berbanding laluan yang sudah lama beroperasi.

"Oleh itu, prestasinya tidak dimasukkan ke dalam prestasi MKBF keseluruhan rangkaian MRT kami. LTA dan pengendali kereta api sedang memantau rapat laluan berkenaan, dan akan terus bekerjasama untuk mempertingkat prestasinya serta memastikan perjalanan yang lancar dan andal untuk semua penumpang," menurut LTA.

Mengenai gangguan tersebut, pihak penguasa menambah bahawa mereka "sedang bekerjasama rapat dengan pengendali kereta api untuk membuat penambahbaikan susulan gangguan besar di TEL pada 3 Mei, termasuk dengan menjalankan latihan simulasi bagi mempertingkat tindak balas terhadap gangguan".

MKBF bagi TEL mengekalkan rekod pada 355,000 kilometer perjalanan MRT, turun sedikit daripada 356,000 kilometer perjalanan MRT pada bulan April.

LTA menarik perhatian bahawa prestasi keandalan TEL akan terus turun naik memandangkan laluan itu masih menjalani kerja-kerja pembinaan, pelanjutan, dan integrasi sistem di samping operasi rutin serta kerja-kerja penyelenggaraan.

LTA juga menggunakan metrik lain untuk mengukur keandalan kereta api, termasuk penyampaian perkhidmatan MRT, yang mengukur sama ada MRT beroperasi mengikut jadual yang ditetapkan.

Ia dikira dengan mengukur jarak sebenar yang dilalui oleh MRT berbanding jarak yang dijadualkan, dan dinyatakan dalam bentuk peratusan.

Prestasi penyampaian khidmat MRT adalah bercampur-campur pada bulan Mei, dengan penurunan dicatatkan bagi laluan EWL, CCL, dan DTL.

Bagaimanapun, laluan NSL dan NEL mencatatkan sedikit peningkatan.

Satu lagi metrik yang digunakan untuk mengukur keandalan kereta api ialah ketepatan masa MRT, yang mengira peratusan perjalanan kereta api yang tamat tepat pada masanya di penghujung setiap laluan dalam tempoh dua minit daripada jadual.

Ketepatan masa MRT dipengaruhi oleh gangguan perkhidmatan dan isu operasi lain yang tidak menyebabkan penghentian penuh perkhidmatan.

Ketepatan masa yang lebih rendah mencerminkan kekerapan kereta api yang kurang tetap, yang boleh menyebabkan masa menunggu menjadi lebih lama dan keadaan menjadi lebih bersesak-sesak.

Secara keseluruhan, rangkaian MRT menyaksikan ketepatan masa kereta api yang lebih rendah pada bulan Mei.

Kesemua laluan, kecuali NSL, mencatatkan penurunan dalam ketepatan masa berbanding bulan April.

LTA menyatakan ketepatan masa kereta api bagi CCL menurun pada bulan Mei disebabkan oleh ujian integrasi sistem yang sedang dijalankan sebagai persediaan bagi pembukaan CCL6, yang menyebabkan "gangguan kecil" pada rangkaian sedia ada.

"LTA menjangkakan kedua-dua penunjuk ini akan kembali ke paras yang lebih biasa selepas pembukaan CCL6," tambahnya.

LTA mengeluarkan kemas kini bulanan sejak Ogos tahun lalu bagi membolehkan penumpang meneliti rangkaian kereta api Singapura dengan lebih dekat, susuli rantaian insiden gangguan perkhidmatan. Sebelum Ogos 2025, kemas kini hanya disediakan pada setiap suku tahun.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita