Kealpaan bawa padah; pendarahan otak semasa warga SG bercuti di Korea Selatan

Cik Raha Rahmat pada hari pertama beliau di Seoul, Korea Selatan pada 5 Disember (2022), dan di Hospital Universiti Soon Chun Hyang selepas mengalami pendarahan di otak (kanan). (Gambar: Nur Amiliya Arba'a)
SINGAPURA: Percutian pertama mereka sejak pandemik COVID-19 melanda sekelip mata berubah menjadi mimpi ngeri bagi Cik Raha Rahmat dan anak remaja perempuannya apabila wanita itu rebah pada malam pertama mereka berada di Korea Selatan.
Ibu tunggal berusia 48 tahun itu digegaskan ke hospital terdekat di mana beliau didiagnos dengan pendarahan di otaknya yang boleh mengancam nyawa.
Lebih mengeruhkan lagi keadaan, keluarga itu tidak membeli insurans perjalanan.
Apabila mendapat tahu bahawa mereka harus mengeluarkan beribu-ribu dolar untuk menanggung bil hospital dan pemindahan perubatan kecemasan ke Singapura, anak perempuan Cik Raha, Cik Nur Amiliya Arba'a, 18 tahun, berasa buntu.
Ketika dihubungi Mediacorp, pasangan anak-beranak itu - yang berada di Hospital Universiti Soon Chun Hyang di Seoul - berkata mereka tidak mendapatkan insurans perjalanan kerana menganggapnya tidak penting.
"Saya tidak sangka perkara seteruk ini akan berlaku," tambah Cik Raha.
Percutian itu juga dirancang pada masa yang singkat, dengan Cik Amiliya - seorang peminat budaya Korea - menyarankan idea tersebut pada Oktober.
Pasangan anak-beranak itu, bersama-sama makcik dan sepupu Cik Amiliya, menempah percutian mereka ke Korea Selatan dari 5 hingga 14 Disember. Semua orang, kecuali sepupu Cik Amiliya, melanjutkan waktu percutian mereka di Seoul untuk membantu Cik Raha apabila beliau jatuh sakit.
Cik Amiliya terpaksa bergantung pada wadah kutipan dana GIVE.asia untuk membayar bil hospital ibunya. Cik Raha, seorang pekerja kontrak, tidak lagi bekerja setelah kontrak kerjanya tamat sebelum mereka pergi bercuti.
Dalam masa seminggu, Cik Amiliya berjaya mengumpulkan sekitar S$37,000 - melebihi sasaran awalnya sebanyak S$35,000 untuk membayar bil hospital dan pemindahan perubatan.
Pelajar dari Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) itu dan ibunya pulang ke Singapura pada malam Hari Krismas menerusi penerbangan berasingan. Cik Raha kemudian dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) untuk rawatan lanjut.
TIADA MASALAH KESIHATAN
Sewaktu temu bual selama sejam menerusi panggilan telefon sebelum mereka berangkat pulang, Cik Amiliya dan Cik Raha, yang kini dalam keadaan sedar dan boleh bercakap, mengimbas kembali bagaimana insiden tersebut berlaku.
Kali terakhir mereka melancong ke luar negara adalah ke Dubai di Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2018. Cik Raha juga tidak mengalami sebarang masalah kesihatan, selain penggantian lutut sepenuhnya tahun lalu.
"Beliau tiada tekanan darah tinggi. Apabila beliau menjalani pemeriksaan di poliklinik, beliau biasa saja. Beliau tiada masalah," kata Cik Amiliya.
Setibanya di Seoul pada petang hari 5 Disember, mereka meninggalkan barangan mereka di apartmen Airbnb sebelum menuju keluar untuk mendapatkan makanan. Suhu pada waktu itu sekitar -6 darjah Celsius dan pakaian Cik Raha "sangat tipis", katanya.
Setelah pulang ke penginapan mereka, Cik Raha berasa pening dan terus berehat di katil. Cik Amiliya tidak mengganggu ibunya sehingga beliau kemudian menyedari bahawa Cik Raha rebah dan terjatuh di lantai.
Cik Amiliya menghubungi ambulans dan mencuba sedaya upaya untuk memanaskan tubuh ibunya. Setibanya para anggota paramedik di apartmen itu, mereka mendapati bahawa bahagian kiri badan Cik Raha tidak responsif dan tekanan darahnya sudah melambung tinggi.
Bimbang jika Cik Raha mengalami pendarahan otak, pasukan paramedik membawa beliau ke hospital di mana wanita itu menjalani imbasan di wad kecemasan.
Cik Amiliya berkata punca pendarahan itu berkemungkinan akibat perubahan tekanan udara apabila mereka berada dalam penerbangan ke Seoul, yang mungkin menyebabkan urat putus dalam otak Cik Raha.
Cuaca juga sangat sejuk, walaupun mereka sudah membuat persiapan dengan membawa pakaian tebal dan pek panas.
Ibu saudara Cik Amilya membantu dengan urusan pentadbiran seperti menghubungi kedutaan Singapura dan mengirimkan emel untuk mencari jalan bagi membawa Cik Raha pulang ke Singapura.
Cik Raha berada di unit jagaan rapi (ICU) selama kira-kira seminggu disebabkan keadaannya yang teruk. Beliau kemudian dibenarkan keluar hospital pada 19 Disember untuk pulang ke Singapura, namun diberitahu bahawa beliau perlu terus diusung.
Keluarga itu berhubung dengan kakitangan SGH yang membantu mereka untuk mendapatkan khidmat Hope Medflight Asia. Cik Raha pulang ke Singapura bersama pegawai perubatan SGH, manakala Cik Amiliya pula menerusi penerbangan komersil tambang murah.
Berikutan nasib yang menimpanya, Cik Raha menitipkan nasihat kepada orang ramai yang ingin bercuti ke luar negara agar membeli insurans perjalanan.
"Beli insurans perjalanan, sekalipun jika anda rasa tiada apa-apa yang akan berlaku kerana tekanan udara kadangkala berpotensi menjejas otak anda - terutama sekali mereka yang mengalami tekanan darah tinggi.
"Ia suatu pengalaman yang sangat buruk. Satu percutian yang paling malang sejak sekian lama."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.