Keadilan inklusif melangkaui bilik mahkamah, kata pengerusi Pro Bono SG
Bagi golongan kurang upaya, mengakses keadilan sering memerlukan lebih daripada sekadar peguam.
Pengerusi Pro Bono SG Dinesh Dhillon berkata pendekatan lebih inklusif diperlukan dalam dan di luar bilik mahkamah.
Pusat Undang-Undang Keadilan Inklusif pertama Singapura bertujuan untuk merapatkan jurang itu dengan membawa perkhidmatan undang-undang terus ke dalam masyarakat, di mana peguam bekerja bersama pekerja sosial, ahli psikologi dan karyawan bersekutu sektor kurang upaya yang lain.
Pusat itu - yang dilancarkan pada Mac - dikendalikan oleh Pro Bono SG, cabang amal Persatuan Undang-Undang Singapura.
Ia berusaha untuk meningkatkan akses kepada keadilan bagi golongan kurang upaya dengan ketidakupayaan yang kelihatan dan tidak kelihatan melalui agensi masyarakat rakan kongsi di seluruh Singapura.
Pengerusinya Dinesh Dhillon berkata pendekatan yang lebih inklusif diperlukan baik di dalam mahupun di luar mahkamah.
"Akses kepada keadilan adalah bukan hanya soal bentuk tetapi initipati isu itu. (Ia) perlu dilakukan secara berbeza – bukan hanya dengan melantik peguam dan anda mempunyai akses kepada keadilan dalam konteks itu," katanya kepada Mediacorp.
MENJANGKAU PERWAKILAN UNDANG-UNDANG
Daripada setiap 30 orang di Singapura, sekurang-kurangnya seorang dianggarkan mempunyai ketidakupayaan. Ramai hidup dengan ketidakupayaan yang tidak kelihatan, daripada mereka yang berada dalam spektrum autisme kepada mereka dengan keadaan kesihatan mental seperti skizofrenia dan gangguan bipolar.
Keadaan itu boleh mewujudkan halangan yang ketara apabila individu memerlukan bantuan undang-undang, sama ada sebagai mangsa, saksi atau orang yang tertuduh.
Sebagai contoh, sesetengah orang yang mengalami autisme mungkin bergelut untuk berkomunikasi.
"Mereka tidak boleh berkomunikasi dengan cara biasa. Tetapi itu tidak bermakna mereka tidak faham, (atau bahawa) mereka tidak mempunyai kisahuntuk diceritakan," kata Encik Dhillon.
"Undang-undang adalah tentang mencari bukti dan kebenaran, dan akses kepada keadilan adalah mengenai itu."
Untuk mencapainya, sokongan undang-undang sering perlu melangkaui peguam sahaja untuk merangkumi pekerja sosial, penjaga, pakar psikiatri dan rangkaian sokongan lain.
Karyawan bersekutu itu boleh membantu klien menyampaikan pengalaman mereka, sambil juga memberi peguam pemahaman yang lebih baik tentang keadaan yang dialami klien mereka.
Falsafah itu adalah teras Pusat Undang-Undang Keadilan Inklusif, kata Encik Dhillon. Daripada beroperasi dari satu lokasi, pusat itu akan menyampaikan perkhidmatan undang-undang melalui agensi rakan kongsi yang berakar dalam masyarakat.
Ia kini dalam perbincangan dengan kira-kira 20 pertubuhan, termasuk agensi perkhidmatan sosial MINDS, untuk mengenal pasti beberapa tapak rakan kongsi di seluruh Singapura.
Pakar undang-undang akan bergilir-gilir di lokasi ini, bekerja bersama karyawan bersekutu perkhidmatan sosial yang sudah menyokong klien dan memahami keperluan mereka.
MEMBINA KEPERCAYAAN MENGAMBIL MASA
Encik Dhillon mengakui bahawa bekerja dengan individu yang mempunyai ketidakupayaan yang tidak kelihatan memerlukan kesabaran dan kebolehsuaian yang lebih besar daripada karyawan undang-undang.
Selain daripada cabaran komunikasi, mereka mungkin mengalami keresahan atau kesukaran mempercayai individu yang tidak dikenali, menjadikan proses mengumpul maklumat lebih kompleks berbanding kes undang-undang konvensional.
"Apabila seseorang mempunyai ketidakupayaan yang tidak kelihatan ... mereka mungkin tidak biasa bercakap dengan anda dengan cara yang anda biasa bercakap dengan klien atau saksi lain," katanya.
"Anda perlu berusaha lebih untuk meraih kepercayaan mereka. Anda perlu bersabar. Jadi, ia adalah tentang menyesuaikan gaya anda, mungkin meluangkan lebih banyak masa."
Walaupun kerja itu mencabar, Encik Dhillon berkata ia juga sangat memuaskan.
"Anda berasa sangat dihargai dengan apa yang anda lakukan, jurang yang anda isi, perbezaan yang anda buat, bukan hanya kepada individu ... ia mempunyai kesan kepada keluarga mereka. Ia berterusan dan ia boleh mengubah kehidupan," katanya.
TANGGUNGJAWAB MELANGKAUI MAHKAMAH
Encik Dhillon menekankan bahawa mewujudkan sistem keadilan yang lebih inklusif bukan semata-mata tanggungjawab peguam dan hakim.
Beliau menyatakan kebimbangan tentang kecenderungan yang semakin meningkat untuk merakam insiden luar biasa di khalayak ramai dan menyiarkannya online tanpa memahami keadaan di sebalik tingkah laku seseorang.
Beliau menggesa orang ramai untuk menunjukkan belas kasihan dan mempertimbangkan sama ada seseorang mungkin mengalami episod kesihatan mental atau krisis berkaitan ketidakupayaan.
"(Sebagai) contoh – seseorang mungkin mempunyai (gangguan) bipolar dan jika dia mengalami psikosis, dia mungkin ganas. Dan ia akan menjadi lebih sukar bagi orang itu untuk pulih apabila dia sedar dan menyedari bahawa ini kini menjadi umum," katanya.
Encik Dhillon berkata pendidikan awam adalah penting dalam membantu rakyat Singapura lebih memahami ketidakupayaan yang tidak kelihatan dan bertindak balas dengan empati dan bukannya penghakiman.
Pada masa yang sama, beliau menekankan bahawa ketidakupayaan tidak mengecualikan kesalahan atau menghapuskan kemudaratan yang dialami oleh mangsa.
Walau bagaimanapun, beliau berhujah bahawa keadaan seseorang mesti dipertimbangkan dengan betul apabila menentukan hukuman yang sesuai.
"Tidak ada keadilan jika anda tidak mengambil kira keadaan itu, jika anda tidak mengambil masa untuk memahami bahawa apabila (orang ini) melakukan jenayah itu, itu bukan dia, itu adalah penyakit itu," katanya.
Dalam sesetengah kes, rawatan dan pemulihan mungkin lebih sesuai daripada pemenjaraan, tambahnya.
"Aspek perubatan dan pemulihan mesti disertakan sebagai soal keadilan. Itu penting bagi Hakim untuk menimbang semasa memutuskan hukuman yang sesuai," katanya.
Akhirnya, Encik Dhillon melihat keadilan inklusif sebagai cerminan jenis masyarakat yang ingin diraih Singapura.
"Di Singapura yang sangat makmur, kita telah berjaya dengan baik sebagai sebuah negara. Tetapi apakah maksud sebenar kebahagiaan, kemajuan dan kemakmuran sebagai sebuah negara?" soalnya.
"Dapat menjaga mereka yang paling kurang bernasib baik dalam kalangan kita akan menjadikan kita lebih kukuh."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.