Skip to main content

Singapura

Keadaan semasa insurans dan jagaan kesihatan swasta tidak mampan: Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:
Keadaan semasa insurans dan jagaan kesihatan swasta tidak mampan: Ong Ye Kung

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berucap semasa sidang media di National Press Centre pada 21 Mei, 2025. (Gambar fail: CNA/Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 01 Jul 2025 08:03PM Dikemas Kini : 01 Jul 2025 08:09PM
SINGAPURA: Keadaan semasa insurans dan jagaan kesihatan swasta kini tidak mampan, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Selasa (1 Jul), semasa beliau bercakap tentang "kerumitan" dalam hubungan antara syarikat insurans dengan hospital swasta.

Encik Ong memberikan perspektif Kementerian Kesihatan (MOH) mengenai penggantungan sijil prakebenaran Great Eastern bagi kemasukan ke hospital-hospital Mount Elizabeth sejak 17 Jun.

Syarikat insurans tersebut menyatakan bahawa langkah itu adalah sebahagian daripada "usaha berterusan untuk menguruskan kos jagaan kesihatan yang meningkat dan memastikan kemampuan jangka panjang untuk semua pemegang polisi", sambil merujuk kepada pemerhatian mereka bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, "hospital swasta tertentu mengenakan bayaran yang jauh lebih tinggi untuk rawatan yang serupa".

Menerusi catatan di Facebook pada Selasa, Encik Ong berkata bahawa syarikat insurans kesihatan swasta dan hospital swasta "dibelenggu kerumitan, yang merugikan semua pihak berkepentingan, termasuk pesakit".

Sebahagian besar "kerumitan" tersebut timbul disebabkan oleh bentuk insurans, katanya. "Syarikat insurans tahu bahawa pemegang polisi bimbang tentang bil hospital yang besar dan tidak dijangka, jadi mereka melancarkan produk insurans yang menawarkan perlindungan yang murah hati untuk memenangi pelanggan dan bahagian pasaran."

Produk-produk itu termasuk perlindungan "seperti bayaran yang dikenakan" atau perlindungan tanpa had, serta manfaat tambahan kepada pelan insurans, yang akan melindungi hampir semua kos.

Dalam kes-kes sedemikian, apabila syarikat insurans menanggung hampir keseluruhan bil, terdapat kecenderungan untuk "menggunakan lebih daripada yang diperlukan", kata Encik Ong, sambil menyifatkannya sebagai "sifat semula jadi manusia".

Untuk menggambarkan perkara ini, beliau berkata bahawa kemungkinan seorang pesakit dengan manfaat tambahan sedemikian membuat tuntutan adalah 1.4 kali ganda lebih tinggi berbanding pesakit tanpa manfaat tambahan, dan saiz tuntutan juga secara purata 1.4 kali lebih besar.

Ini menyebabkan tuntutan yang lebih tinggi dan syarikat insurans menyedari bahawa premium yang mereka kutip tidak lagi dapat menampung tuntutan tersebut.

Syarikat insurans kemudian bertindak balas dengan memperkenalkan lebih banyak perlindungan dalam proses tuntutan, seperti menggantung prakebenaran untuk hospital dengan tuntutan yang lebih tinggi atau membuat aturan panel dengan doktor, katanya.

Mereka juga bertindak balas dengan menaikkan premium, katanya, sambil menyatakan bahawa premium untuk manfaat tambahan kini meningkat dengan mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini menyebabkan pemegang polisi, syarikat insurans, doktor, dan hospital terperangkap dalam satu "kerumitan".

"Pemegang polisi secara semula menjadi tidak gembira kerana mereka membayar premium yang semakin meningkat tetapi dengan lebih banyak sekatan. Penyedia penjagaan kesihatan mendapati ia lebih rumit untuk membuat tuntutan. Syarikat insurans swasta bergelut untuk kekal berdaya maju bagi portfolio kesihatan mereka.

"Bagi pemerintah, dengan semua perkembangan ini, kita dapat melihat bahawa lebih ramai pesakit dengan insurans swasta memilih untuk mendapatkan jagaan kesihatan awam yang diberi subsidi," kata Encik Ong.

Beliau menambah bahawa ini akan meningkatkan tekanan ke atas sistem jagaan kesihatan awam, sambil menyatakan bahawa jagaan kesihatan awam kini menyumbang kira-kira 80 peratus daripada katil hospital di Singapura tetapi menyediakan jagaan untuk 90 peratus daripada semua pesakit yang dirawat di hospital.

"Tiada sesiapa yang gembira."

CAMPUR TANGAN MOH TIDAK CUKUP SETAKAT INI

Untuk menangani isu ini, MOH campur tangan dalam beberapa cara, kata Encik Ong.

Salah satu cara ia berbuat demikian adalah dengan memperkenalkan penanda aras yuran untuk membimbing penetapan harga dan mencegah kos perubatan yang berlebihan. Sejak 2018, ia berbuat demikian untuk yuran pakar swasta.

Kini, lebih 90 peratus kes berada dalam lingkungan penanda aras yuran pakar bedah, berbanding 80 peratus pada 2018, kata menteri kesihatan itu.

Purata pertumbuhan tahunan dalam yuran pakar bedah swasta juga berkurang daripada 3 peratus bagi tempoh 2010 hingga 2018, kepada 0.4 peratus bagi tempoh 2019 hingga 2023.

"Kami kini sedang mengkaji kemungkinan untuk meluaskan selain yuran pakar, dengan memperkenalkan lebih banyak penanda aras untuk yuran hospital, untuk membimbing penetapan yuran oleh hospital swasta," tambah Encik Ong.

MOH juga campur tangan dalam kes-kes di mana doktor membuat tuntutan yang salah. Kementerian mengambil tindakan terhadap "sebilangan kecil" doktor yang melakukan kesalahan dengan mewajibkan mereka menghadiri "kursus ulang kaji tentang penetapan yuran" atau menggantung mereka daripada membuat tuntutan daripada Medisave dan MediShield Hayat.

Menyedari tentang perlunya pilihan hospital swasta yang lebih berpatutan, Encik Ong berkata bahawa kementerian sedang meneroka kemungkinan hospital swasta bukan untung yang baharu - yang pertama kali diperkenalkan pada Februari 2024 - tetapi langkah sedemikian masih akan mengambil masa beberapa tahun lagi.

Sekalipun demikian, tindakan MOH tidak mencukupi, kata Encik Ong. "Akhirnya, syarikat insurans swasta perlu memandang tegas dan bersikap realistik terhadap bentuk produk mereka, terutamanya yang berkait dengan manfaat tambahan."

PERANAN SYARIKAT INSURANS SWASTA

Encik Ong mengakui bahawa syarikat insurans swasta sudahpun membuat "beberapa usaha" untuk mereka semula bentuk pelan insurans mereka.

Kebanyakan syarikat insurans kini menawarkan alternatif manfaat tambahan yang lebih berpatutan yang tidak meliputi sepenuhnya pemotongan atau mempunyai komponen bayaran bersama yang lebih besar, katanya.

"Namun yang lebih penting, manfaat tambahan ini dapat membantu mengurangkan insentif untuk perkhidmatan dan yuran yang berlebihan namun masih memberikan perlindungan tambahan terhadap bayaran bersama tunai yang besar yang dihargai oleh pemegang polisi.

"Ia akan membantu memastikan tumpuan hospital swasta dan doktor swasta terhadap memberikan nilai dan memastikan kemampuan untuk pesakit mereka," kata Encik Ong.

"Dalam jangka panjang, pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital swasta akan mendapati bahawa mereka mendapat tawaran yang lebih baik daripada keadaan semasa, yang jelas tidak mampan."

Setiap pihak berkepentingan perlu memainkan peranannya supaya "kerumitan" ini dapat dileraikan secara bertahap-tahap, kata Encik Ong, sambil menambah bahawa MOH akan "memudahkan" proses itu.

"Langkah terkini oleh syarikat insurans mungkin menyebabkan gangguan, tetapi kita perlu melihatnya dalam konteks yang lebih luas serta adanya keperluan untuk meletakkan sistem pembiayaan jagaan kesihatan swasta di atas landasan yang lebih mampan. Jika tidak, semua orang akan rugi."

Encik Ong menambah bahawa langkah Great Eastern hanya menjejas pesakit yang mempunyai pelan insurans swasta dan yang berhasrat untuk menerima rawatan di hospital swasta.

Lebih 90 peratus rawatan pesakit dalam akut dijalankan di hospital awam, termasuk mereka yang memilih wad tidak bersubsidi, katanya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita