Skip to main content

Singapura

Keadaan kesihatan jemaah SG rata-rata "memuaskan" menjelang ibadah wukuf di Arafah: Dr Fatimah Lateef

Klinik Pasukan Perubatan Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) di Shisha merawat sehingga 60 jemaah haji Singapura setiap hari.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Klinik Pasukan Perubatan Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) di Shisha merawat sehingga 60 jemaah haji Singapura setiap hari.

Perangkaan itu dikongsikan ketua pasukan perubatan itu, Dr Fatimah Lateef dalam wawancara berkenaan perkembangan terkini jemaah haji Singapura yang dalam persiapan berangkat ke Arafah.

"Di klinik kami, kami telah merawat kira-kira 40 hingga 60 pesakit setiap hari dengan masalah-masalah yang kecil seperti Jangkitan Saluran Pernafasan Atas, cirit-birit, kulit kering dan sebagainya," kongsi Dr Fatimah.

"Ada dua, tiga kes di mana kita terpaksa merujukkan mereka ke hospital dan mereka telah dirawat dan dibenarkan pulang juga," tambah beliau.

Secara keseluruhan, Dr Fatimah menyifatkan keadaan jemaah Singapura sebagai "memuaskan" di mana masalah kesihatan yang mereka hadapi dapat ditangani awal.

"Kami tangani secara awal dan dengan prihatin sekali sebab kami tahu jemaah kami ke Arafah jadi kami ingin menstabilkan keadaan mereka sebelum mereka berangkat," menurut Dr Fatimah.

Jemaah Singapura sudah mula berangkat ke Arafah pagi tadi bagi kemuncak ibadah haji esok (27 Jun).

LEBIH BERJAGA-JAGA DI ARAFAH

Dengan keadaan di Arafah yang sesak serta cuaca panas, jemaah dinasihatkan untuk lebih berjaga-jaga.

"Mereka harus prihatin dengan nasihat-nasihat dari pegawai-pegawai. Jangan kelam-kabut dan jangan terlari-lari sebab ini boleh membawakan kemudaratan seperti terjatuh, mabuk, pitam dan juga keletihan haba atau 'heat exhaustion'. Jadi kita telah memberitahu mereka bahawa mereka harus menjalankannya dengan stabil dan jangan kelam-kabut," nasihat Dr Fatimah.

"Memang ramai orang dan keadaan di Arafah sangat padat dan selain itu kalau mereka tidak minum air secukupnya, mereka boleh mendapat jangkitan pundi kencing dan juga sakit sembelit. Jadi untuk mereka yang datang ke klinik kita, kita telah memberi nasihat dan arahan kepada mereka cara untuk menghidratkan diri mereka dan juga memilih makanan-makanan yang sewajarnya jadi mereka dapat mengurangkan risiko mendapat sakit-sakit seperti ini," tambahnya lagi.

Tahun ini, SPAO menghantar pasukan perubatannya yang terbesar iaitu seramai 19 anggota.
Sumber : BERITA Mediacorp/NJ
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita