Skip to main content

Singapura

Kawasan pantai RWS berwajah baharu jelang 2030; tampil 2 hotel mewah, arca 88m

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Nov 2024 01:03PM Dikemas Kini : 15 Nov 2024 10:30PM
SINGAPURA: Pengunjung ke Sentosa akan disambut dengan landskap tepi pantai Resorts World Sentosa (RWS) yang berwajah baharu menjelang 2030.

Pembangunan di pusat peranginan bersepadu itu menampilkan sebuah ruang persiaran atau promenad, "laluan daki gunung" dan arca cahaya setinggi 88 meter yang akan dibina sebagai sebahagian daripada rancangan perluasan resort itu, sekali gus mencorakkan panorama RWS yang baharu.

Kawasan projek itu akan terletak berhampiran Akuarium SEA dan di belakang tempat jualan makanan Malaysia, Malaysian Food Street. Laluan promenad yang dirancang akan dihubungkan dengan Sentosa Boardwalk, yang digunakan oleh pelawat untuk berjalan kaki ke Sentosa dari pusat beli-belah VivoCity.

Salah satu mercu tanda utama projek tersebut ialah sebuah arca cahaya, yang "hidup" pada waktu senja untuk pertunjukan setiap malam, kata RWS dalam kenyataanmedianya pada Jumaat (15 Nov).

"Struktur menarik ini akan didirikan dalam kawasan taman tepi pantai yang luas untuk menghidupkan semula pemandangan bandar raya Singapura," kata resort itu.
Related article image
(Gambar: Resorts World Sentosa)
Struktur itu direka oleh Heatherwick Studio, syarikat berpangkalan di London yang telah memenangi anugerah. Ia juga mereka bentuk The Hive di Universiti Teknologi Nanyang danterlibat dalam projek terminal kelima Lapangan Terbang Changi.

Selain menyediakan lebih banyak pilihan runcit, tempat makan dan hiburan serta dua hotel baharu dengan 700 bilik, projek tepi pantai RWS itu juga termasuk pengalaman "mendaki gunung secara imersif yang menyeronokkan".

Pendakian itu sampai ke puncak setinggi 88 meter yang menjanjikan panorama keindahan alam semula jadi, kata resort itu.

"Sampai di puncaknya, pelawat akan dapat menikmati pemandangan kawasan pusat perniagaan Singapura dari selatan, serta Greater Southern Waterfront, Sentosa dan seterusnya," kata RWS.

Ketua Pegawai Eksekutif RWS Tan Hee Teck berkata pembangunan itu menekankan komitmen teguh syarikat itu untuk memperkukuh identiti Singapura sebagai destinasi gaya hidup global yang terulung.

Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Alvin Tan berkata projek pembangunan kawasan pantai itu satu suntikan menarik kepada landskap pelancongan Singapura.

“Saya tidak sabar menantikan projek itu siap dan pengalaman unik yang akan ditawarkan kepada pelawat antarabangsa dan tempatan,” katanya.
Related article image
(Gambar: Resorts World Sentosa)
RWS pertama kali mengumumkan projek menaik taraf kawasan tepi pantainya pada 2019 sebagai sebahagian daripada perluasan "RWS 2.0". Ketika itu, pusat peranginan itu mengumumkan bahawa projek itu akan menelan belanja S$4.5 bilion. Bagaimanapun, jumlah itu kemudiannya disemak semula kepada S$6.8 bilion, yang akan dilaburkan selama lapan tahun.

Keluasan lantai kasar RWS dijangka bertambah sebanyak 50 peratus, dengan lebih 164,000 meter persegi akan ditambah. Resort itu berkata, terdapat rancangan untuk membina Super Nintendo World di Universal Studios Singapore (USS), walaupun tiada kemas kini diberikan mengenai perkara ini.

Super Nintendo World pertama di dunia dibuka di Universal Studios Jepun di Osaka pada 2021.

Projek perluasan RWS 2.0 termasuk pembukaan Minion Land di USS dan sebuah hotel 'suite mewah' yang menggantikan Hard Rock Hotel Singapura pada suku pertama tahun depan.

Akuarium SEA akan dijenamakan semula sebagai Oceanarium Singapura - yang tiga kali lebih besar. Pembukaannya akan berlangsung pada separuh pertama 2025.
Sumber : CNA/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita