Skip to main content

Singapura

Kawasan khusus untuk terbangkan pesawat tanpa pemandu dilancarkan di Kolam Air Pandan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Jul 2022 04:07PM Dikemas Kini : 17 Jul 2022 09:44PM
SINGAPORE: Sebuah kawasan khusus untuk menerbangkan pesawat tanpa pemandu dilancarkan di Kolam Air Pandan oleh Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, S Iswaran pada Ahad (17 Jul).

Kawasan Penerbangan Pesawat Tanpa Pemandu (UAFA) di Kolam Air Pandan akan "menyediakan ruang masyarakat untuk para penggemar pesawat tanpa pemandu berhimpun dan berinteraksi. Pada masa yang sama, ia akan memudahkan dan menyokong operasi menerbangkan pesawat tanpa pemandu dengan cara yang selamat dan bertanggungjawab".

Demikian menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dalam kenyataan medianya.

Contoh pesawat tanpa pemandu termasuk pesawat dikawal radio, dron dan layang-layang kawalan jauh.

Penubuhan UAFA adalah cadangan utama Panel Penasihat Sistem Pesawat Tanpa Pemandu.

"Pelaksanaan cadangan tersebut dan penubuhan UAFA di Kolam Air Pandan merupakan usaha berbilang agensi termasuk CAAS, agensi air negara PUB, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA)," menurut CAAS.

UAFA juga akan menganjurkan program-program dan bengkel secara berkala sebagai usaha pendampingan masyarakat dan mendidik penggemar pesawat tanpa pemandu mengenai penerbangan yang selamat dan bertanggungjawab.

Tempoh operasi UAFA adalah pada pukul 9.00 pagi hingga pukul 6.00 petang setiap hari.

Orang awam yang berminat boleh menyertaikan kumpulan sembang Telegram "UA Flying Areas" untuk menerima kemas kini berkala dan notis penting mengenai tapak tersebut.

Ketua Pengarah CAAS, Han Kok Juan, berkata: "Kawasan Penerbangan Pesawat Tanpa Pemandu (UAFA) itu akan membantu untuk mewujudkan budaya penerbangan yang selamat dan bertanggungjawab di Singapura sedang penerbangan bagi tujuan rekreasi semakin popular".

Beliau menambah bahawa "ia sangat penting memandangkan landskap bandar yang sangat padat dan penggunaan ruang udara yang bersaing".

Encik Han turut berkata bahawa UAFA sudah mendapat sambutan yang baik sebelum pelancaran rasminya.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita