Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kawasan hutan seluas 43 padang bola sepak diperuntukkan bagi projek perumahan Bayshore

Anggaran Waktu Membaca:
Kawasan hutan seluas 43 padang bola sepak diperuntukkan bagi projek perumahan Bayshore

(Gambar: Penguasa Pembangunan Semula Bandar)


SINGAPURA: Singapura merancang untuk mula memugar sekitar 31 hektar kawasan perhutanan - iaitu sebesar 43 padang bola sepak - berdekatan dengan East Coast Park pada tahun depan.

Langkah ini bertujuan untuk memberi ruang kepada pembangunan perumahan dan menghubungkan jalan di kawasan Bayshore akan datang.

Kawasan Bayshore yang bertempat di tanah yang ditebus guna, sudah diperuntukkan bagi tujuan pembangunan perumahan sejak 2003. Rancangan bagi kawasan tersebut termasuk gabungan perumahan awam dan privet, yang akan dilengkapi dengan dua stesen MRT Laluan Thomson-East Coast - Bayshore and Bedok South - yang dijangka siap menjelang 2023.


Laporan penilaian kesan sekitaran yang bertarikh September dan diterbitkan minggu ini di laman Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), menunjukkan keseluruhan tapak pembangunan, terletak dalam kawasan Upper East Coast Road, Bayshore Road, East Coast Parkway (ECP) dan Bedok Camp.

Kerja-kerja pemugaran tapak akan dijadual bermula pada 2023 dalam tiga fasa, dan dijangka selesai menjelang 2029. Sementara itu, pembinaan pembangunan perumahan tersebut juga akan dimulakan secara berperingkat dan akan mengambil masa antara empat hingga enam tahun.

Demikian menurut satu laporan, yang disiapkan oleh Perundingan Air dan Alam Sekitar DHI bagi kedua-dua HDB dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Laporan itu mengandungi tinjauan ekologi asas yang dijalankan antara 25 April dengan 21 Julai, dan perancangan alam sekitar yang meliputi ekologi kawasan terjejas.

Laporan itu juga mendedahkan ramalan berhubung beberapa kesan ekologi "yang tidak boleh diundurkan", yang muncul disebabkan fasa-fasa pembinaan dan operasi, termasuk kehilangan habitat, kecederaan atau kematian fauna yang sedia ada, konflik manusia-hidupan liar dan burung-burung yang terlanggar bangunan.

Sekalipun demikian, menurut laporan tersebut kebanyakan kesan negatif disifatkan sebagai "sedikit" hingga "kecil", kecuali kesan kehilangan habitat flora dan fauna semasa kerja-kerja pembinaan dijalankan, yang sudah dijangka berada pada tahap "sederhana" meskipun langkah-langkah pengurangan kesan sudah diambil.

Antara langkah-langkah yang disarankan dalam laporan tersebut termasuk menanam spesies flora yang penting di tempat lain sebagai usaha pemuliharaan dan untuk mengelak penggunaan dawai berduri di sekitar tapak kerja-kerja pembinaan, untuk mengurang daripada berlakunya pemerangkapan haiwan.

Orang ramai boleh meninjau dan menghantar maklum balas mengenai laporan penilaian kesan sekitaran, menerusi laman HDB sehingga 29 November.

Pemugaran kawasan perhutanan di Bedok itu adalah tindakan terbaru yang diambil Singapura dalam meneruskan usaha mengimbangi antara pembangunan bandar dan pemuliharaan alam semula jadi.

Malah, pengumuman baru-baru ini untuk membangunkan kawasan Ulu Pandan mencetuskan kebimbangan mengenai nasib Hutan Dover, yang terletak dalam lingkungan tapak seluas 33 hektar itu.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan