Skip to main content

Singapura

Kawasan hutan pendaki ditemui tidak bergerak, dalam laluan pendakian berisiko tinggi

Kawasan hutan di Upper Bukit Timah Road di mana seorang wanita ditemui tidak bergerak dan kemudian meninggal dunia, bukanlah laluan khusus bagi kegiatan pendakian. Laluan itu juga sangat berisiko tinggi kerana masih terdapat bekas peninggalan sebuah kampung lama, menurut beberapa pendaki berpengalaman yang dihubungi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kawasan hutan di Upper Bukit Timah Road di mana seorang wanita ditemui tidak bergerak dan kemudian meninggal dunia, bukanlah laluan khusus bagi kegiatan pendakian. Laluan itu juga sangat berisiko tinggi kerana masih terdapat bekas peninggalan sebuah kampung lama, menurut beberapa pendaki berpengalaman yang dihubungi.

Selain itu, kawasan tersebut juga tersorok tumbuh-tumbuhan yang liar, tambah mereka.

Seorang wanita berusia 48 tahun, dipercayai seorang pegawai polis bantuan, Sarjan Melita Dollah, yang bekerja bersama syarikat keselamatan Aetos, ditemui dalam keadaan tidak bergerak di kawasan hutan tersebut pada petang Ahad (19 Dis). Beliau disahkan meninggal dunia di hospital.

Akhbar The Straits Times pada Selasa (21 Dis) melaporkan bahawa sebuah bongkah konkrit menghempap wanita itu dan kejadian tersebut berlaku di tanah milik pemerintah berhampiran Taman Semula Jadi Bukit Batok, iaitu bertentangan dengan Bukit Timah Hill.

Pendaki yang berpengalaman memberitahu Mediacorp bahawa kawasan hutan itu merupakan bekas tapak Kampung Mendoza, iaitu salah satu daripada kampung terakhir di Singapura yang dirobohkan pada tahun 1980-an di bawah rancangan Pemerintah untuk membersihkankawasan rumah setinggan dan kampung.

Menurut pelan Induk Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) 2019 kawasan tersebut diperuntukkan bagi kegunaan taman.

Seorang pendaki berpengalaman, Hidayat Zulkifli berkata meskipun tempat itu terletak berhampiran dengan Taman Semula Jadi Bukit Batok dan Hutan Simpanan Bukit Timah yang kerap dikunjungi ramai, ia tidak diketahui ramai atau diteroka pendaki kerana ia "secara keseluruhannya dimamah" hutan liar sejak kawasan kampung itu dirobohkan.

Encik Hidayat, 30 tahun, pernah mendaki di kawasan itu, dan berkata tidak ada tembok konkrit yang tinggi di sekitar kawasan itu, namun terdapat struktur-struktur konkrit lama yang menyerupai tembok, beranda dan tandas - kesemuanya petunjuk bahawa kawasan itu merupakan tempat tinggal pada suatu masa dahulu.

"Melihat pada betapa lama struktur-struktur konkrit itu dibiarkan terbengkalai dan mula reput, tidak hairanlah jika ia roboh pada bila-bila masa," katanya.

Pengasas kumpulan Facebook Singapore Hikers, Encik Joven Chiew, 50 tahun berkata apabila tanah menjadi kurang stabil, pendaki boleh sesat atau cedera, atau lebih buruk lagi, tidak boleh mendapatkan isyarat pada telefon bimbit untuk membuat panggilan bantuan.

Antara bahaya yang dihadapi pendaki apabila di laluan yang belum dibangunkan sepenuhnya termasuk terserempak dengan haiwan-haiwan liar seperti babi hutan dan tebuan, katanya.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melencong daripada laluan yang ditetapkan terutama sekali jika mereka tidak biasa dengan kawasan tersebut.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita