Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kawalan mungkin bantu bendung kenaikan kes vape di SG, kata pakar

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mengawal penggunaan rokok elektronik atau vape, di Singapura mungkin membantu dalam membendung bilangan kes yang kian meningkat, tetapi maklumat lanjut diperlukan terlebih dahulu, kata para pakar.

Meskipun langkah kawalan boleh dilaksanakan, banyak soalan masih tidak dapat dijawab, kata pakar dalam perkara berkaitan berhenti merokok, Sean Ang.


"Adakah ia pengganti rokok hanya kepada para perokok sedia ada? Atau adakah anda mahu ia mengambil alih rokok sebagai bentuk penggunaan nikotin yang dominan? Atau adakah ia akan dianggap semata-mata sebagai bantuan perubatan bagi membantu seseorang berhenti merokok?" tanya beliau.

Perkara paling penting yang perlu diambil kira dalam persoalan tersebut dari segi mengawal vape adalah untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai para pengguna dalam kalangan para penduduk tempatan, kata Profesor Madya Bibhas Chakraborty dari Sekolah Perubatan Duke-NUS.

"Kita mempunyai dapatan tertentu penyelidikan daripada para penduduk lain. Tetapi apa yang berkesan di sini mungkin tidak sama dengan apa yang mungkin berkesan di negara lain."

"Kajian ini memerlukan pelaburan. Dan kajian ini akan membantu kami menyesuaikan usaha...Kami perlu memantau mereka, kami perlu menyediakan jenis-jenis sokongan yang tertentu, kami perlu melakukan uji kaji ke atas mereka, menyediakan alternatif untuk mereka. Dan kemudian hanya kami yang tahu dengan pasti apa yang mungkin berkesan untuk negara ini."

Import dan penjualan rokok elektronik itu sudahpun diharamkan, tetapi pada 2017, undang-undang tersebut dilanjutkan untuk merangkumi penjualan, penggunaan dan pemilikan peranti sebegitu. Enam tahun kemudian, masalah berhubung vape bertambah buruk.

Tahun lalu, 4,697 orang diberkas menggunakan dan memiliki vape, naik daripada 1,266 orang pada 2020. Sekitar satu daripada tiga orang ditahan tahun lalu, kerana berada di bawah umur 18 tahun.

BUKAN PRODUK "BEBAS UNTUK SEMUA"

Apa jua cara vape dikawal, ia "tidak boleh menjadi produk yang bebas untuk semua" yang boleh dibeli di kedai serbaneka, kata Encik Ang.


Sekiranya ia digunakan sebagai alat bantuan perubatan, penggunaannya akan diuruskan oleh karyawan jagaan kesihatan, katanya.

PENGGUNAAN VAPE DALAM KALANGAN BELIA

Sebab-sebab belia menggunakan vape dan merokok bertindih, salah satunya adalah faktor "cabaran", di mana remaja cuba merokok atau menggunakan vape di sekolah tanpa diketahui, menurut Encik Ang.

Prof Madya Chakraborty menambah bahawa vape dianggap "bergaya" dan "mengikut trend".

ADAKAH VAPE KURANG MEMUDARATKAN BERBANDING ROKOK?

Kajian yang dilaksanakan dalam jangka panjang diperlukan untuk menentukan sama ada vape lebih selamat berbanding merokok, kata Prof Madya Chakraborty.

Meskipun perbezaan masih perlu dikaji, ia adalah "mitos" semata-mata bahawa rokok elektronik selamat, katanya.

BAGAIMANA SINGAPURA TANGANI MASALAH VAPE?

Encik Ang menarik perhatian bahawa industri vape dan popularitinya bergerak pada rentak yang lebih pantas berbanding peraturan yang dapat ditetapkan. Beliau menambah bahawa pihak berkuasa belum memutuskan peranan apa yang mereka ingin mainkan dan bagaimana mereka boleh melaksanakan peranan tersebut.

"Budaya yang kita ada di sini dalam jagaan kesihatan jauh lebih konservatif, yang bermaksud bahawa kita akan lebih berwaspada. Kita akan lihat apa yang berlaku di tempat lain di dunia sebelum memutuskan sebarang keputusan," kata beliau.

Prof Madya Chakraborty menambah bahawa menjangkaui usaha kajian yang dilaksanakan mengenai dorongan para pengguna vape, pihak berkuasa perlu membangunkan sistem yang dapat membantu mereka menanganinya.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan