Kawalan dadah akan lebih mencabar disebabkan trend benarkan dadah di banyak negara: PM Lee
Usaha mengawal dadah di Singapura akan menjadi lebih mencabar pada masa hadapan disebabkan "trend" membenarkan dadah bagi penggunaan rekreasi dan pendedahan kepada media sosial di mana penyalahgunaan seumpama itu disensasikan.
SINGAPURA: Usaha mengawal dadah di Singapura akan menjadi lebih mencabar pada masa hadapan disebabkan "trend" membenarkan dadah bagi penggunaan rekreasi dan pendedahan kepada media sosial di mana penyalahgunaan seumpama itu disensasikan.
"Kami akan berdepan cabaran pada masa hadapan kerana pertama, trend di banyak negara adalah untuk membenarkan penggunaan dadah, khususnya, ganja, bagi penggunaan rekreasi," kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (7 Dis).
Berucap di acara ulang tahun ke-50 Biro Narkotik Pusat (CNB), Encik Lee berkata banyak negara itu tidak dapat mengawal keadaan dadah dalam negeri masing-masing.
Ini menyebabkan penggunaannya dibenarkan untuk mendapatkan semula "kawalan" ke atas keadaan, dengan beberapa negara juga "tertarik" dengan manfaat ekonomi daripada penggunaan dadah rekreasi.
Namun, keadaan boleh menjadi "tidak terkawal" walaupun tujuannya untuk memperjuangkan "pendekatan mengurangkan bahaya" terhadap dadah, tambah Encik Lee.
Beliau memberi contoh kajian terhadap keadaan di Singapura sendiri dari awal tahun 2000-an dulu.
"Pada 2022, Subutex diperkenalkan sebagai preskripsi yang sah untuk merawat ketagihan opioid, sejenis ubat sakit yang berkaitan dengan candu. Namun segelintir orang mula menyalahgunakan Subutex sebagai alternatif kepada heroin, menyuntik diri mereka sendiri untuk menjadi 'khayal'. Dalam masa beberapa tahun, jumlah penyalah guna Subutex dan kematian berkaitan Subutex meningkat dengan banyak," ujarnya.
"Kami memutuskan untuk menghentikan ini. Pada 2006, Singapura menyenaraikan Subutex sebagai dadah terkawal dan CNB melancarkan operasi kilat untuk menghapuskan Subutex dari negara kita."
PENGGUNAAN DADAH "DISENSASIKAN"
Satu lagi keprihatinan muncul daripada pendedahan kerap belia kepada gaya hidup alternatif di media sosial, kata Encik Lee.
"Penggunaan dadah boleh, memberikan gambaran bahawa penggunaan dadah tidak berbahaya atau bahkan ranggi."
Berdasarkan tinjauan tahunan yang dijalankan oleh Majlis Kebangsaan Terhadap Penyalahgunaan Dadah, sikap belia terhadap dadah secara beransur-ansur menjadi "lebih bebas", tambah beliau.
"Ini adalah trend amat membimbangkan. Kita mesti menentang dengan keras untuk mencegah anak-anak dan cucu-cucu kita daripada menjadi generasi penyalah guna dadah seterusnya."
UNDANG-UNDANG TEGAS, PENGUATKUASAAN TEGUH
Untuk melawan cabaran masa hadapan ini, Encik Lee menggariskan tiga strategi utama CNB.
Pertama, "undang-undang anti-dadah yang ketat" yang dikuat kuasakan dengan tegas oleh CNB terhadap pengedar serta penyalah guna dadah.
Pada 1973, Akta Penyalahgunaan Dadah diperkenalkan, menetapkan hukuman lebih berat terhadap keldai dan pengedar dadah serta membenarkan penahanan penagih dadah untuk rawatan dan pemulihan.
Namun "perubahan penting" berlaku pada 1975 apabila Singapura memperkenalkan hukuman mati bagi "kesalahan dadah yang paling serius", khususnya, mengedar lebih 15 gram diamorphine, atau heroin tulen, kata Encik Lee.
Tidak lama kemudian, "kesan pencegahan" hukuman berat itu dirasai. Pengedar dadah menjadi "kurang sanggup" untuk menyeludup dadah masuk ke Singapura. Penyalah guna dadah "yang terdesak untuk mendapatkan dadah" perlu ke Johor untuk membeli dan menyeludup dadah masuk ke dalam negara dalam jumlah yang kecil.
Pada masa yang sama, CNB meningkatkan kegiatan penguatkuasaan, tambah Encik Lee.
Baru bulan lalu, CNB menjalankan operasi di seluruh negara, memberkas 50 orang disyaki penyalah guna dadah dan merampas dadah bernilai lebih S$20,000.
"Sekarang ini, pengedar dan penyalah guna dadah menggunakan khidmat e-dagang serta aplikasi mesej seperti Telegram. CNB perlu terus menggunakan teknologi sepenuhnya untuk menangani ancaman baru dan kaedah pembekalan dadah," kata Encik Lee.
"Undang-undang ketat dan penguatkuasaantegas menyediakan pencegahan kuat yang membantu memastikan jumlah penyalah guna dadah di Singapura rendah."
REJIM PEMULIHAN YANG BERAT
Strategi utama kedua yang diambil oleh CNB adalah "rejim pemulihan yang berat" bagi penyalah guna dadah, tambah Encik Lee.
Bagi memastikan bekas penyalah guna dadah tidak menjadi bentan, mereka diletakkan di bawah satu skim penyeliaan selepas dibebaskan dari pusat pemulihan dadah atau penjara.
Saban tahun, CNB menyemak rejim penyeliaan itu untuk memberi lebih tumpuan kepada pemulihan yang berkesan, kata Encik Lee.
Ini termasuk melanjutkan tempoh penyeliaan maksimum dari dua tahun kepada lima tahun, mewajibkan kauseling ke atas penyalah guna dadah yang muda dan ibu bapa mereka serta membenarkan penyalah guna dadah kali pertama yang berisiko rendah untuk meneruskan pelajaran atau pekerjaan dan berbanding dihantar ke pusat pemulihan dadah.
"Inisiatif ini membantu penyalah guna dadah memecahkan kitaran ketagihan dan berintegrasi semula ke dalam masyarakat dengan lebih baik," ungkap Encik Lee.
Beliau juga berkongsi cerita seorang bekas penyalah guna dadah, mengambil ganja sejak dia berusia 15 tahun. Dengan bantuan seorang pegawai CNB, lelaki itu melanjutkan pelajarannya dan kini menjadi seorang doktor.
PENDIDIKAN AWAM "MENYELURUH", PERJUANGAN DIPIMPIN MASYARAKAT
Strategi utama ketiga adalah "program pendidikan awam yang menyeluruh dan mampan" yang memberi amaran kepada orang ramai tentang bahaya penyalahgunaan dadah, kata Encik Lee.
"Pendidikan awam adalah bahagian yang sama penting dalam perang ini, jika tidak, ia adalah bahagian yang amat penting. Melalui pendidikan awam yang berkesan, kita boleh membendung penyalahgunaan dadah dalam masyarakat sebelum ia menimbulkan masalah sosial yang lebih sulit."
Namun, CNB tidak boleh memenangi peperangan terhadap dadah ini secara sendirian, tambah Encik Lee.
Pendidikan awam memerlukan kerjasama rapat dengan agensi-agensi lain termasuk Kementerian Pendidikan, sekolah dan banyak pertubuhan bukan pemerintah. Bersama-sama, mereka menganjurkan pelbagai kegiatan termasuk ceramah di sekolah, pameran dan bahkan, peraduan menerbitkan video.
Mereka juga menghasilkan risalah dan produk media yang direka bentuk dengan baik, termasuk Aplikasi Mudah Alih Realiti Tambahan bagi kanak-kanak sekolah rendah.
CNB juga menggunakan "advokasi yang dipimpin masyarakat" dalam program pendidikan dadah, kata Encik Lee.
Ini termasuk menjalin kerjasama rapat dengan rakan-rakan masyarakat untuk memimpin Kempen Anti Penyalahgunaan Dadah, menganjurkan bersama seminar dan perjumpaan serta berganding bahu dengan relawan belia untuk mempengaruhi rakan-rakan sebaya mereka secara positif.
S'PURA HARI INI "AGAK BEBAS DADAH"
"Keadaan kita di bawah kawalan lebih baik berbanding banyak negara lain. Jumlah penyalah guna dadah yang diberkas setiap tahun di Singapura merosot kepada sekitar separuh daripada jumlah pada pertengahan 1990-an," kata Encik Lee. Beliau menambah Singapura pada hari ini "agak bebas dadah".
Beliau menarik perhatian masalah opoid di Amerika Syarikat, yang menyebabkan hampir 500,000 orang meninggal dunia dari 1999 hingga 2019 akibat pengambilan bahan itu yang berlebihan.
"Oleh kerana pendekatan anti-dadah yang ketat, Singapura mampu memastikan rakyat kita selamat daripada masalah," ujarnya.
"Hari ini, tiada pasaran dadah terbuka dan kawasan "ghetto" dadah di Singapura. Tiada juga masalah kematian akibat pengambilan dadah berlebihan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.