Skip to main content

Singapura

Kawal selia lanjut terhadap syarikat insurans jagaan kesihatan boleh burukkan situasi, jejas pemegang polisi

Pengawalseliaan lanjut terhadap syarikat insurans jagaan kesihatan boleh memburukkan lagi trend seperti kenaikan kos dan premium, sekali gus menjejas para pemegang polisi, kata Menteri Negara Kesihatan Rahayu Mahzam pada Rabu (24 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Sep 2025 02:30PM Dikemas Kini : 04 Oct 2025 02:27PM
SINGAPURA: Pengawalseliaan lanjut terhadap syarikat insurans jagaan kesihatan boleh memburukkan lagi trend seperti kenaikan kos dan premium, sekali gus menjejas para pemegang polisi, kata Menteri Negara Kesihatan Rahayu Mahzam pada Rabu (24 Sep).

Berucap di parlimen, Cik Rahayu berkata trend-trend itu adalah "kesan akibat dan simptom" kepada "simpulan" yang dihadapi oleh syarikat insurans, doktor, hospital dan pemegang polisi.

"Pengawalseliaan tidak akan melonggarkan simpulan ini, ia sebaliknya akan memburukkannya lagi. Jika kita menyekat amalan pengurusan tuntutan syarikat insurans, kita mungkin akan melihat kenaikan premium yang lebih tinggi," katanya.

"Dan jika kita mengehad kenaikan premium, produk-produk itu tidak akan berdaya maju, yang akan menjejas para pemegang polisi."

Cik Rahayu menjawab soalan dari Anggota Parlimen (AP) mengenai syarikat insurans Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP), pengawasan kawal selia dan kos jagaan kesihatan.

Dalam jawapannya, Cik Rahayu menarik perhatian bahawa insurans jagaan kesihatan swasta kini berada dalam "keadaan tidak mampan" bukan kerana pakatan sulit atau tingkah laku anti-persaingan.

"Ia biasanya membawa kepada keuntungan luar biasa oleh pemain pasaran dan para pengguna kerugian," kata Cik Rahayu.

"Dalam hal ini, syarikat insurans sama ada akan menanggung kerugian atau hampir tidak dapat mencapai pulangan modal bagi portfolio kesihatan mereka. Situasi itu disebabkan oleh persaingan berlebihan yang tidak terkawal - satu lagi bentuk kegagalan pasaran."

Selain itu, Cik Rahayu menambah sudah ada Akta Persaingan bagi "melarang pakatan sulit dan tingkah laku anti-persaingan".

"Jika kita mengukuhkan pengawasan kawal selia, ia seharusnya bertujuan untuk membetulkan kegagalan pasaran akibat persaingan tidak mampan dan merugikan diri yang berlaku sekarang," katanya.

"Pengawalseliaan bagi menghalang syarikat insurans daripada membetulkan masalah yang dihadapi sekarang berkemungkinan akan memburukkan lagi keadaan, menjadikan insurans swasta lebih tidak mampan, dengan tiada mekanisme pembetulan pasaran."

Pada Jun, syarikat insurans Great Eastern (GE) menghentikan pengeluaran sijil pra-kebenaran bagi pemegang polisi yang dimasukkan ke hospital Mount Elizabeth di Novena dan Orchard.

Pra-kebenaran merujuk kepada kebenaran awal daripada syarikat insurans bagi kos rawatan sebelum rawatan dijalankan.

Ia mengurangkan jumlah deposit tunai yang perlu dibayar terlebih dahulu bagi kos-kos tertentu seperti kos kemasukan ke hospital, pembedahan, bayaran doktor, ujian hospital dan beberapa rawatan pesakit luar.

Syarikat insurans akan menjelaskan kos yang dibenarkan itu secara langsung dengan hospital.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap GE ketika itu berkata: “Kami mendapati bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa hospital swasta mengenakan caj yang jauh lebih tinggi untuk rawatan yang serupa.”

Langkah itu adalah sebahagian daripada “usaha berterusan syarikat untuk menguruskan kenaikan kos penjagaan kesihatan dan memastikan kemampuan jangka panjang untuk semua pemegang polisi.”

Dua hospital Mount Elizabeth itu adalah sebahagian daripada IHH Healthcare Singapore, penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar di Singapura.

Pada Rabu, Cik Rahayu berkata pra-kebenaran adalah satu “aturan pentadbiran” dan bukan “faedah kontraktual” yang ditawarkan oleh syarikat insurans.

“Ia membolehkan syarikat insurans untuk menyemak dan meluluskan rawatan perubatan dan caj berkaitan, bagi memastikan ia diperlukan dari segi perubatan dan dilindungi polisi, sebelum ia dijalankan. Aturan ini juga memberi jaminan kepada pesakit mengenai apa yang akan dilindungi,” kata beliau.

“Tanpa mengira pra-kebenaran, pemegang polisi IP tetap menikmati faedah kontrak penuh mereka dan boleh membuat tuntutan untuk rawatan mengikut terma dan syarat polisi mereka.”

“MELONGGARKAN” SIMPULAN

Untuk “melonggarkan dan membuka” simpulan itu “langkah demi langkah”, setiap pihak berkepentingan mesti memainkan peranan, dan Kementerian Kesihatan (MOH) akan memudahkannya, kata Cik Rahayu.

“Kami telah menggesa industri insurans supaya mengkaji semula reka bentuk polisi yang terlalu murah hati, seperti pembayaran bersama (co-payment) yang terlalu rendah.

"Syarikat insurans perlu mengimbangi antara memberi jaminan dan perlindungan, dan menggalakkan penggunaan dan perkhidmatan yang berhemah,” katanya.

Kementerian juga akan meningkatkan usaha untuk mendidik para pengguna tentang cara memilih perlindungan insurans kesihatan yang sesuai dengan keperluan mereka, dan akan melancarkan kempen pendidikan awam tidak lama lagi, tambah Cik Rahayu.

Untuk “mengawal kenaikan kos sektor”, MOH sudah membangunkan dan menerbitkan lebih 2,800 penanda aras bayaran doktor yang boleh dirujuk oleh penyedia perkhidmatan dan syarikat insurans bagi menetapkan bayaran dan mengkaji semula bayaran balik, katanya.

Kementerian juga akan meneliti apa lagi yang boleh dilakukan untuk membimbing penetapan yuran oleh hospital swasta, tambah beliau.

“MOH juga akan terus bekerjasama melalui Jawatankuasa Insurans Kesihatan Pelbagai Hala, yang menyatukan pihak-pihak berkepentingan utama daripada penyedia penjagaan kesihatan, karyawan perubatan, syarikat insurans dan wakil pengguna, untuk menangani isu-isu ini secara bersama,” kata beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita