Skip to main content

Singapura

Kaunter maklumat VEP akan dibuka di Woodlands

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemandu warga Singapura yang mempunyai soalan mengenai Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) Malaysia tidak lama lagi boleh mendapatkan lebih banyak maklumat tentang proses permohonan melalui sebuah vendor rakan kerjasama di Woodlands.

Ini selepas Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke menekankan bahawa penguatkuasaan permit itu akan bermula pada 1 Oktober, bagi kenderaan yang masuk ke Malaysia melalui pusat pemeriksaan darat.

Di satu sidang media di Johor Bahru pada Khamis (1 Ogos), Encik Loke berkata bahawa sebuah kaunter maklumat akan dibuka di Woodlands untuk membantu pemandu yang mempunyai soalan.

Ia akan dikendalikan oleh sebuah syarikat Singapura dengan kerjasama TCSens, syarikat vendor dilantik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, untuk menangani soalan-soalan daripada pemandu Singapura, tambahnya.

Walau bagaimanapun, Encik Loke tidak memberi butiran lanjut mengenai syarikat rakan kerjasama tersebut atau lokasi kaunter maklumat yang bakal ditempatkan di Woodlands itu. Ia juga tidak jelas sama ada para pemandu boleh mendaftar VEP di Singapura.

Beliau menarik perhatian bahawa pemandu warga Singapura sudah ke pejabat TCSens di Danga Bay, Johor Bahru, untuk bertanya soalan mengenai VEP, namun mereka tidak membawa dokumen yang diperlukan.

Encik Loke menambah bahawa antara 28 Mei dengan 31 Jul, kira-kira 58,791 permohonan VEP sudah diterima pihak berkuasa Malaysia. Jumlah itu dua kali ganda seperti yang dilaporkan setakat 29 Jun.

Hampir 60,000 pemohon, iaitu kira-kira 40 peratus daripada mereka, atau 24,104 pemohon, membuat permohonan yang tidak lengkap, kata Encik Loke.

Beliau menekankan bahawa dokumen yang diperlukan bagi proses permohonan VEP termasuk sijil insurans kenderaan, salinan kad pengenalan serta Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE).

"Ketiga-tiga dokumen ini diperlukan (bagi proses permohonan). Kami mendapati 40 peratus pemohonan tidak lengkap dan tidak dapat diproses selanjutnya," kata Encik Loke.

Encik Loke menambah bahawa beliau menjangkakan lebih 50,000 permohonan VEP dalam dua bulan akan datang menjelang tarikh akhir penguatkuasaan pada 1 Oktober.

Menteri pengangkutan itu berkata pemandu yang sudah menerima tag VEP menerusi pos perlu mengaktifkannya dalam tempoh tujuh hari.

"Jika mereka tidak mengaktifkan tag itu dalam tempoh tujuh hari, ia bermakan tag tersebut sudah luput dan ia perlu diaktifkan semula," kata Encik Loke.

Mulai 2 Ogos, beliau berkata pemandu boleh mengaktifkan semula tag VEP melalui portal yang sama yang mereka gunakan untuk memohon pendaftaran tag tersebut.

Ketika ditanya pihak media mengenai rancangan penguatkuasaan yang disediakan untuk kenderaan yang masuk ke Malaysia tanpa VEP, Encik Loke berkata beliau akan berkongsi butirannya pada 1 Oktober.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita