Skip to main content

Singapura

Kategori Drama baharu SYF buka pentas buat murid Sekolah Rendah; usaha tingkatkan keyakinan, kemahiran bertutur pelajar

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 28 Apr 2026 05:07PM Dikemas Kini : 17 May 2026 01:02PM

SINGAPURA: Bagi Samir Syawqi Basalamah, 11 tahun, pentas drama bukan sekadar ruang persembahan, tetapi medan untuk beliau mencabar diri dan membina keyakinan baharu.

“Perkara yang paling menyeronokkan ialah saya dapat berlatih bersama rakan-rakan dan melakonkan watak,” katanya kepada wartawan Nurfazirah Azman.

Pengalaman itu hadir menerusi penyertaan Sekolah Rendah Angsana dalam Festival Belia Singapura (SYF) bagi Persembahan Seni yang berlangsung dari 30 Mac hingga 30 April 2026.

Tahun ini, festival itu memperkenalkan kategori drama khusus bagi Sekolah Rendah, sekali gus membuka peluang kepada lebih 1,600 murid dari 60 sekolah untuk membawa kisah-kisah mereka ke pentas.

Sekolah-sekolah juga diberi kelonggaran untuk mempersembahkan drama dalam pelbagai bahasa, termasuk Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil atau gabungan bahasa, mengikut tahap kesediaan pelajar.

Bagi Samir, peluang itu bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga mencabar.

Memegang watak 'Tok Penghulu' dalam kisah 'Kampung Lesung Sebatu', Samir perlu menghafal skrip yang panjang serta menyampaikan dialog dengan jelas dan penuh ekspresi bagi menghidupkan wataknya di atas pentas.

"Saya banyak berlatih dan saya banyak bekerjasama bersama rakan-rakan saya. Saya harus bercakap dengan jelas dan saya harus melantunkan suara saya, " kongsi Samir.

Related article image
Samir Syawqi Basalamah, 11 tahun. (Gambar: Nurfazirah Azman)
Namun, di sebalik keseronokan itu, terselit juga cabaran yang perlu ditempuh.

“Apabila saya duduk tegak lama, belakang saya sakit. Tapi yang paling mencabar ialah apabila saya harus menghafal skrip lebih dari orang lain,” katanya jujur.

Walaupun berdepan kesukaran, Samir kekal komited.

Setiap latihan membuka peluang untuk beliau belajar sesuatu yang baharu.

“Apabila saya baca skrip, saya pun baca perkataan- perkataan yang baharu. Saya akan terus terlibat kerana saya seronok belakon dan saya boleh belajar banyak perkara baharu," ujar Samir.

PERANAN GURU & PEMBELAJARAN

Di sebalik usaha para pelajar, bimbingan guru memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran keseluruhan proses.

Menurut guru Sekolah Rendah Angsana, Haslinah Osman, pihak sekolah menyambut baik pengenalan kategori drama itu sebagai satu wadah untuk menggilap bakat dan potensi murid.

“Sekolah kami memilih untuk menyertai kategori drama pada tahun ini kerana ia sejajar dengan usaha Sekolah Rendah Angsana untuk menyokong pembelajaran secara holistik dan menerapkan kemahiran abad ke 21,” jelasnya.
Related article image
Cikgu Haslinah Osman. (Gambar: Nurfazirah Azman)
Menurut beliau, pendekatan drama dalam pembelajaran memberi peluang kepada murid membina keyakinan diri dan kemahiran komunikasi secara menyeluruh.

"Drama membantu murid mengasah kemahiran bertutur mereka melalui drama, mereka belajar untuk berkomunikasi dan bertutur dengan yakin dan lancar. Mereka juga belajar untuk menggunakan intonasi suara yang sesuai dengan watak yang diberikan kepada mereka.

"Kami juga memberi ruang bagi mereka berfikir secara kreatif agar mereka dapat menhayati watak supaya mereka dapat menyampaikan kepada penonton dengan lebih berkesan lagi," kongsi Cikgu Haslinah.

Selain itu, murid juga dapat memperkaya kosa kata mereka melalui pendedahan kepada perkataan baharu yang tidak dipelajari di bilik darjah, di samping memupuk semangat kerjasama dalam kumpulan.

PERUBAHAN PADA PELAJAR DAN CABARAN

Perubahan positif dalam diri murid jelas terserlah sepanjang tempoh persiapan.

“Sepanjang persiapan, kami dapat lihat peningkatan yang ketara dalam keyakinan diri murid. Kalau dahulu mereka berasa takut, gementar untuk melontarkan suara atau pun beraksi di hadapan orang ramai. Namun kini kami lihat mereka semakin berani dan yakin,” kata Cikgu Haslinah.

Namun tidak semuanya indah, menurut Cikgu Haslinah proses persiapan turut menuntut komitmen tinggi daripada guru dan murid.

Guru dan 21 pelajar yang terlibat hanya ada dua bulan dan lebih kurang 10 sesi latihan sahaja untuk mempersiapkan diri.

“Antara cabaran yang kami hadapi sepanjang persiapan drama ini ialah kekangan masa. Kami harus adakan latihan selepas waktu sekolah dan selain daripada itu, kami juga harus mengolah skrip agar ianya sesuai dengan tahap murid,” jelas Cikgu Haslinah.

Beliau turut menaruh harapan agar lebih ramai pelajar merentasi pelbagai kelas dan peringkat dapat turut serta, agar lebih ramai berpeluang meraih manfaat daripada pengalaman ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita